Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Tuesday, September 8, 2015

Isu tunggakan gaji pemain

Selepas tamat tingkatan lima, Mokhtar Dahari pada awalnya bekerja di Cold Storage buat sementara waktu sebelum menerima tawaran sebagai kerani di Majlis Amanah Rakyat (MARA). Lebih setahun di MARA, beliau juga terpilih bermain bolasepak untuk pasukan belia Malaysia. Pada tahun 1971, beliau ditawarkan pula menyertai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Di samping bertugas sebagai seorang kerani, beliau turut bermain untuk kelab bolasepak PKNS. Beraksi bersama rakan-rakan seperti R. Arumugam, Santokh Singh, Reduan Abdullah, dan Zulkifli Norbit, beliau tidak mempunyai masalah untuk menyerlah sehinggakan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terpanggil untuk mengarahkannya melapor diri. Apa yang lebih menarik, jurulatih Selangor pada waktu itu adalah Raja Bola Malaysia iaitu Abdul Ghani Minhat. Selebihnya, sudah menjadi sejarah.

Gambar Supermokh di meja pejabatnya dalam buku
'Mokhtar Dahari: Lagenda Bola Sepak Malaysia'.
(sumber: Zinitulniza Abdul Kadir)

Jika melihat keadaan pada masakini, banyak perkara yang sudah jauh berubah. Para pemain bolasepak di Malaysia secara umumnya bermain bolasepak sepenuh masa. Apabila Liga Malaysia (Liga-M) kononnya telah memasuki era "profesional", pemain-pemain bolasepak tidak perlu lagi bersusah payah mengimbangi dua kerjaya seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Mokhtar Dahari dan lain-lain pemain yang segenerasi dengannya. Pendapatan seorang pemain bolasepak kini pula boleh mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, malah ada juga yang gaji bulanannya sampai enam angka! Walaupun ada yang mempelbagaikan sumber pendapatan mereka, masih sedikit yang melibatkan diri dalam perniagaan, pengiklanan, mahupun penajaan korporat. Maka, hasil yang mereka peroleh daripada bermain bolasepak selama beberapa tahun itulah yang menjadi periuk nasi untuk menanggung perbelanjaan keluarga mereka di rumah.

Namun begitu, apabila sesebuah pasukan bolasepak sebagai majikan melengah-lengahkan atau lebih dahsyat lagi gagal melunaskan pembayaran gaji maka di situlah bermulanya berbagai-bagai masalah yang menjadi salah satu punca utama kemerosotan bolasepak negara. Sebutlah apa sahaja, rasuah, mengatur keputusan perlawanan, perjudian, pecah amanah, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga, kecurian, dan sebagainya boleh berlaku disebabkan kelewatan membayar gaji. Jika benarlah pasukan benar-benar kehabisan wang, mengapa jarang sekali, atau mungkin tidak pernah pun para pegawai (barisan kepimpinan) mengadu perkara yang sama? Kenapa hanya jurulatih dan para pemain sahaja yang sering menyuarakan kebimbangan mereka? Apa yang tidak kena, wang tidak diuruskan dengan cekapkah atau sebab lain?

Masalah tidak kenal siapa. 2015 menjadi tahun yang
menghimpit FIFA dengan skandal rasuah.
(gambar: www.telegraph.co.uk)

Memang diakui bahawa lebih mudah bercakap daripada melakukan sesuatu. Tugas pengurusan juga bukan sesuatu yang mudah, bukan semua orang yang boleh melakukannya. Oleh yang demikian, sudah tentu kritikan sahaja tidak memadai memandangkan semua pihak yang terlibat perlu bekerjasama dan berganding bahu untuk menyelesaikan sebarang masalah. Tidak perlu lagi menyorok atau bersembunyi daripada masalah. Tidak perlu juga menuding jari mencari siapa yang salah. Masalah perlu dihadapi dan usahlah berpura-pura seperti tiada masalah. Jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah, jujurlah terlebih dahulu. Apabila menghadapi masalah, tiada guna cuba menafikannya. Tiada siapa pun yang sukakan masalah tetapi bila datangnya masalah, memang tiada jalan lain melainkan berusaha untuk menyelesaikannya dengan apa jua cara yang dibenarkan syarak (undang-undang). Kebajikan kedua-dua belah pihak, yang membayar dan yang dibayar, hendaklah difahami dan dijaga. Jika tidak, sudah pastilah hanya menambahkan masalah.

Yang sebenarnya, apa yang membingungkan adalah isu tunggakan gaji pemain ini kerap kali berulang. Berulang dan terus berulang. Seolah-olah ianya bukan satu masalah yang besar. Percayalah, gaji yang tak berbayar adalah masalah yang sangat besar. Mungkin apa yang boleh disimpulkan di sini adalah, masing-masing buatlah apa yang termampu. Jangan sampai lebih sudu dari kuah. Cuma, adalah lebih baik sekiranya setiap pasukan dapat menyemak kembali struktur gaji, meningkatkan jualan tiket atau jersi, mendapatkan lebih banyak penajaan, dan juga menuntut hak penyiaran. Bagi para pemain pula, sudah tiba masanya untuk merancang demi masa hadapan. Tidak rugi kalau menyambung pelajaran, menceburkan diri dalam perniagaan, membuat simpanan atau pelaburan, dan juga mengambil lesen kejurulatihan. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

No comments: