Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Sunday, September 6, 2015

MALAYSIA: Sepuluh perkara yang perlu dirombak

Berita buruk mengenai skuad kebangsaan yang tewas dengan sepuluh jaringan tanpa balas di tangan Emiriah Arab Bersatu dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 (yang juga menentukan kelayakan ke Piala Asia 2019) betul-betul mendukacitakan seluruh warga Malaysia samada yang peduli atau tidak tentang bolasepak. Kekalahan yang paling teruk dalam sejarah bolasepak negara pada 3 September 2015 yang lalu di Stadium Mohammed bin Zayed, Abu Dhabi ibarat menabur garam di atas luka apatah lagi selepas Malaysia turut ditundukkan dengan jaringan yang besar oleh Thailand dalam Kejohanan Remaja B-19 AFF di peringkat separuh akhir (sebelum ditewaskan pula oleh pasukan tuan rumah Laos dalam penentuan tempat ketiga).

Walaupun ramai yang kecewa, berang, dan malu dengan keputusan tersebut, duniabolasepak.blogspot.com (DBS) tetap mahu menyatakan penghargaan kepada bekas ketua jurulatih negara Dollah Salleh atas sumbangan beliau, salah satunya membawa pasukan negara muncul sebagai naib johan dalam Kejohanan AFF edisi ke-10 pada tahun lepas yang nampaknya kian dilupakan. Begitulah lumrah kehidupan, bila menang dipuji, bila kalah dikeji. Semoga pengganti Dollah Salleh, Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara dapat meneruskan tugas dengan baik bagi memastikan kelangsungan skuad negara di peringkat antarabangsa.

Dollah Salleh: Seorang yang berjiwa besar kerana berani bertanggungjawab
walaupun masalah yang dipikul bukan sepenuhnya di atas bahu beliau.
(gambar: www.bharian.com.my)

Jika dilihat dari sudut yang negatif, prestasi semasa pasukan kebangsaan hanya mengesahkan bahawa Malaysia adalah pasukan belasahan. Lebih memarahkan keadaan, maruah negara mudah sahaja diperkotak-katikkan sehingga tiada gol yang dijaringkan ke atas pasukan lawan. Setidak-tidaknya 2 gol dapat dijaringkan ketika menentang New Zealand dalam rekod kekalahan terbesar sebelum ini (Malaysia tewas 8-2 dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur pada 16 November 1967). Adakah Malaysia sudah sampai pada tahap nyawa-nyawa ikan, hidup segan mati tak mahu? Tiada siapa yang boleh menyalahkan takdir kerana apa yang terjadi adalah disebabkan oleh tangan-tangan (bukan dua tangan sahaja) yang lebih suka merosakkan daripada melakukan apa yang betul.

Akan tetapi, jika dilihat dari sisi yang positif, hikmah terciptanya satu rekod yang langsung tidak membanggakan ini sebenarnya mampu menjadi titik tolak bagi satu anjakan paradigma. Anjakan paradigma yang hanya boleh berlaku sekiranya tumpuan diberikan kepada menyelesaikan masalah dan bukannya mencari masalah dengan menyalahkan orang lain. Menjurus kepada punca sebenar bagi pelbagai masalah yang sedang dihadapi, terdapat sekurang-kurangnya sepuluh perkara yang perlu dirombak dengan segera. Sudah pasti ada lebih daripada sepuluh perkara yang perlu diperbaiki atau ditukar ganti namun cukup sekadar dua digit yakni 10 sahaja yang perlu disenaraikan buat masa ini.

  1. Aspirasi negara - Sungguh aneh apabila pasukan-pasukan luar negara lebih dekat di hati para penyokong bolasepak di negara ini walaupun hasrat (objective), tujuan (aim), sasaran (target), dan matlamat (goal) pasukan-pasukan tersebut langsung tiada kena-mengena dengan kepentingan negara sendiri. Apabila rakyat mula memakai jersi negara selepas merangkul kejuaraan Asia Tenggara pada tahun 2010, sudah tiba masanya untuk Malaysia melangkah ke peringkat Asia pula sebelum ke peringkat dunia. 
  2. Jadual perlawanan - Jadual pertandingan tempatan tidak semestinya diselaraskan betul-betul mengikut jadual antarabangsa. Cukuplah sekadar diatur dengan baik supaya tidak berlaku lagi kekalutan seperti baru-baru ini, antaranya episod perlawanan yang kurang sesuai dalam bulan Ramadan, perlawanan pertunjukan dengan kelab-kelab dari luar yang mengganggu persiapan skuad kebangsaan, dan sebagainya.
  3. Format Liga-M - Sebuah liga profesional yang mengumpulkan kesemua persatuan-persatuan negeri berpotensi menarik minat lebih ramai peminat dari negeri-negeri yang terlibat. Pengasingan pasukan-pasukan negeri daripada pasukan-pasukan kelab juga boleh mengawal bilangan pasukan-pasukan yang dibubarkan akibat masalah kewangan.
  4. Kejurulatihan - Keupayaan jurulatih tempatan adalah setara dengan mana-mana jurulatih asing jika diberi kepercayaan yang sepatutnya. Malah, mereka mempunyai kelebihan dalam memahami kemampuan serta sifat para pemain tempatan seperti yang ditunjukkan oleh Datuk Rajagopal Krishnasamy, satu-satunya jurulatih negara yang pernah memenangi kejuaraan utama.
  5. Pembangunan akar umbi - Tidak dinafikan bahawa cadangan mengambil pemain-pemain naturalisasi dilihat sebagai satu jalan pintas untuk menghasilkan kejayaan. Walaupun begitu, lebih banyak faedah berbaloi yang bakal diperoleh melalui pelan jangka masa panjang yang menyeluruh. 
  6. Pencarian bakat - Rancangan-rancangan televisyen realiti mungkin baik dari segi pembangunan komersial tetapi pencarian bakat yang sebenar tidak dapat dilakukan kerana tempohnya yang sangat singkat. Pelbagai program yang berbeza-beza juga tidak banyak membantu dalam penyelarasan antara peringkat lokal hingga ke peringkat kebangsaan.
  7. Kecergasan pemain - Jika diperhatikan, para pemain tempatan secara umumnya masih lagi bergelut untuk mengekalkan kecergasan dalam tempoh 90 minit waktu permainan biasa. Sekiranya perkara-perkara asas seperti pemakanan, kesihatan, pemulihan, dan psikologi terus diabaikan maka semakin sukarlah bagi para pemain tempatan untuk bertahan sehingga wisel penamat.
  8. Pemain import - Satu penyelesaian alternatif kepada kebanjiran awang import adalah dengan melahirkan pemain eksport. Dengan cara ini, pemain-pemain tempatan mempunyai peluang untuk bermain secara kerap di tempat orang kalau tidak di tempat sendiri.
  9. Pengiktirafan - Anugerah Bolasepak Kebangsaan adalah suatu inisiatif yang amat baik bagi mengiktiraf pemain-pemain terbaik pada masakini. Walau bagaimanapun, pemain-pemain terdahulu juga perlu diiktiraf dan dihargai dengan sebaiknya kerana tiada yang lama, tiadalah yang baru.
  10. Pengurusan - Skuad kebangsaan tidak seharusnya dibubarkan kerana para pemainlah yang berhempas-pulas dan berpenat lelah berjuang di atas padang semasa latihan mahupun dalam perlawanan. Sekiranya mahu dibubarkan juga sesuatu, pembubaran pihak atasan dalam pentadbiran (para pegawai) adalah yang paling wajar.


Sebagai rumusan, isu yang paling penting sekali adalah memastikan bahawa sokongan yang tidak berbelah bahagi hendaklah diberikan kepada negara yang tercinta ini (negara mana lagi, kalau bukan Malaysia). Hendaklah difahami juga bahawa semangat patriotik adalah kepada negara, bukannya kepada segolongan yang tamakkan kuasa. Oleh itu, memburuk-burukkan tanahair sendiri tanpa memberikan apa-apa sumbangan yang membina hanya mencerminkan betapa buruknya peribadi. Begitu jugalah apabila bercakap tentang para pemain kebangsaan yang menyarung jersi negara. Sedarlah bahawa mereka adalah yang terbaik dan yang paling layak mewakili negara di kalangan kita. Kalau benarlah mereka teruk seperti yang dikatakan, seteruk-teruk mereka, teruk lagilah kita. Namun, bukankah lebih baik jika mereka disokong dan didokong menjadi hebat, maka hebat jugalah kita?


#RefugeesWelcome

No comments: