Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, July 20, 2016

Malaysia ketandusan pemain berbakat? Oh, tidak...


Berita persaraan awal empat orang pemain dari kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang ingin berhenti menyarung jersi kebangsaan sememangnya mencetuskan pelbagai reaksi terutamanya daripada beberapa pihak yang masih mengambil berat tentang senario bolasepak tanahair. Setiap kali ada isu yang melibatkan pasukan kebangsaan 'Harimau Malaya', maka akan timbullah semula ketidakpuasan hati orang ramai terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Penukaran nama pasukan kebangsaan kepada "Harimau Malaysia" yang diumumkan oleh FAM dan penajanya tidak lama dahulu nampaknya telah terbukti tidak memberi apa-apa makna.

Safiq Rahim, Aidil Zafuan, dan Tunku Ismail (TMJ) bersama Piala AFC.
(kredit: www.bharian.com.my / johorsoutherntigers.com.my)

Apabila Mohd Safiq Rahim (29 tahun), Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak (29 tahun), Kunanlan a/l Subramaniam (30 tahun), dan Mohd Amirulhadi Zainal (30 tahun) membuat keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan walaupun masih lagi boleh berbakti, ia merupakan satu tamparan hebat buat barisan kepimpinan di FAM. Samada mereka sedar setelah ditampar dengan begitu hebat atau tidak, entahlah. Selepas ini, janganlah terlalu hairan sekiranya Datuk Ong Kim Swee pula yang akan menerima nasib yang serupa dengan Dollah Salleh, seorang jurulatih yang sangat berwibawa dan juga bekas pemain kebangsaan yang bertaraf bintang pun terpaksa meletakkan jawatan kerana dipersalahkan sebagai ketua jurulatih kebangsaan. Semua orang dengan mudahnya ditolak ke tepi dan dibuang kecuali anda tahu siapa, yang bertali leher berbelang kuning-hitam!

Lazimnya, seseorang pemain kebangsaan tidak mengumumkan persaraan daripada bolasepak antarabangsa melainkan sudah terlalu tua atau mengalami kecederaan yang sangat serius. Selain daripada itu, seseorang pemain itu tidak pernah bersara secara rasmi daripada mewakili negara. Cuma, apa yang terjadi adalah mereka tidak lagi dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan. Hanya apabila seseorang pemain itu menggantung but dan tidak lagi bermain dalam mana-mana liga maka umum mengetahui bahawa pemain tersebut secara automatiknya terus bersara daripada arena bolasepak profesional. Oleh itu, sekiranya seseorang pemain kebangsaan yang masih berada di kemuncak prestasi, apatah lagi merupakan ketua pasukan atau timbalan ketua pasukan bersara secara mengejut itu bermakna terdapat masalah besar yang sedang menimpa.

Peletakan jawatan seorang presiden belum mampu
menyelesaikan masalah kerana punca masalah
adalah memberi amanah kepada bukan ahlinya.

Walau bagaimanapun, adalah tidak adil seandainya Presiden FAM iaitu Tengku Mahkota Pahang, DYTM Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah sahaja yang dibidas memandangkan tanggungjawab mempertahankan maruah bolasepak negara tidak terletak di atas bahu seorang presiden semata-mata. Tanggungjawab mempertahankan maruah serta mengangkat martabat bolasepak negara sebenarnya dipikul oleh semua yang terlibat bermula dari para pemain sehinggalah kepada para penyokong. Namun begitu, pihak yang berada di tengah-tengah yang menghubungkan antara para pemain dengan para penyokong itu adalah para pegawai. Para pegawailah yang memainkan peranan paling besar sekali dalam memastikan kedua-dua belah yakni para pemain dan para penyokong sentiasa mendapat apa yang sewajarnya. Tanpa para pemain maka tiadalah yang akan bermain bolasepak dan tanpa para penyokong maka tiadalah yang akan menonton perlawanan bolasepak. Tanpa kedua-duanya, tiada gunanya lagi untuk melantik sebarang pegawai walaupun dibayar gaji buta.

Oleh yang demikian, kalaulah para pegawai hanya mementingkan kehidupan mewah dengan bercuti ke luar negara serta bekerja sambil lewa, kenapa pula hendak terkejut jika ada pihak yang marah sehingga mahu beri penyepak (dengan tangan) dan penyepak (dengan kaki)? Memanglah kekerasan dan keganasan bukan boleh menyelesaikan masalah tetapi mengapa pula harus membuka ruang dan peluang untuk semua itu? Tidakkah mengundang masalah namanya itu? Hatta, masalah jangan dicari, tetapi bila ada masalah jangan pula lari. Jelas sekali, sudah tiba masanya untuk para pegawai di FAM berubah jika tidak mahu diubah dari kedudukan mereka sekarang. Selagi mana yang tidak bersalah dipersalahkan dan yang bersalah boleh terlepas, selagi itulah sejarah kegemilangan bolasepak negara semakin jauh dari penglihatan.

Tugas berat kini menanti Ong Kim Swee untuk melaksanakan
perubahan drastik dalam merubah wajah skuad kebangsaan.
(gambar: says.com)

Selepas aksi Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor-Leste awal bulan Jun yang lalu, skuad kebangsaan sepatutnya sudah mula membuat persiapan untuk Piala Suzuki AFF 2016 pada penghujung November nanti. Namun, apa yang berlaku hanyalah gangguan yang bakal merencatkan persediaan Malaysia sahaja. Dalam siri beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa dalam Jelajah Oceania baru-baru ini, sudahlah negara tewas 0-2 kepada Papua New Guinea (naib juara Piala Negara-negara Oceania 2016 dan ranking ke-193 dunia), kemenangan tipis 2-1 bertemu New Caledonia (ranking ke-183 dunia) pula tidak diiktiraf FIFA atas kesilapan teknikal tuan rumah khabarnya. Mujurlah dapat juga satu keputusan seri 1-1 dalam perlawanan dengan Fiji (ranking ke-186 dunia). Dengan ketiadaan kapten Safiq Rahim dan tiga rakan-rakannya, selepas ini cuma tinggal empat perlawanan persahabatan antarabangsa sahaja lagi dalam bulan September dan Oktober sebelum pasukan negara memberikan cabarannya di peringkat Asia Tenggara. Samada pasukan negara mampu bersaing atau tidak, kita tunggu dan lihat sahajalah nanti.

Sudah tentu, ketiadaan pemain-pemain tonggak dan berpengalaman pastinya menggusarkan para peminat bolasepak tempatan. Menggantikan mereka dengan pemain-pemain lain bukanlah perkara yang mudah kerana memang susah untuk mencari mahupun mengenal pasti bintang-bintang baru manakah yang akan bersinar sama cerah kalau tidak lebih terang daripada bintang-bintang terdahulu. Maka akan timbul persoalan di benak fikiran orang-orang yang tertentu, adakah Malaysia ketandusan pemain berbakat? Jawapannya, (inshaaAllah) sudah tentu tidak. Betulkah Malaysia masih mempunyai pemain-pemain berbakat? Ya, samada sedar atau tidak, tahu atau tidak tahu, negara kita yang bertuah ini sentiasa dianugerahkan dengan pemain-pemain berbakat sejak dahulu lagi. Hanya orang-orang yang tidak menghargai mereka sahaja yang tidak nampak dan membazirkan bakat mereka. Agak-agak, siapakah calon-calon pemain yang harapnya boleh menggantikan tempat para pemain "pencen" awal yang sungguh telah banyak berjasa selama ini?

Adakah sirih akan pulang ke gagang?
(sumber: www.slsgsoccer.com)


No comments: