Nelo Vingada diumum sebagai ketua jurulatih negara yang baru. (gambar: aspapoilasdobiscaia.blogspot.my) |
Risau, gusar, dan bimbang. Lebih kurang sama sahaja maksudnya tetapi kegelisahan yang sedikit sebanyak dialami oleh skuad kebangsaan sebelum pergi ke Pyongyang untuk melawan pasukan Korea Utara memang ada asasnya. Lagipun bukankah pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak awal-awal lagi sudah mengemukakan permohonan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bermain di gelanggang berkecuali demi kepentingan bersama atas dasar serta faktor keselamatan? Jadi mengapa pula pihak AFC masih lagi teragak-agak untuk membuat keputusan yang bertimbang rasa berkenaan rayuan tersebut?
Apabila Korea Utara sudah pun diberi tempoh masa yang cukup untuk mencadangkan tempat perlawanan neutral namun gagal memberikan jawapan, keadaan yang telah pun rumit itu tidak sepatutnya dirumitkan lagi oleh pihak AFC. Selepas perlawanan kelayakan Piala Asia ini telah ditunda dari 28 Mac 2017 ke tarikh 8 Jun 2017 atau 13 Ramadan 1438H (terkini: ditangguhkan buat kali ketiga selepas tarikh baru 5 Oktober 2017 juga dibatalkan berikutan arahan sekatan perjalanan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia), Malaysia yang telah pun berusaha mencari ikhtiar yang terbaik kini hanya menanti giliran pihak AFC sahaja untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil serta saksama.
Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan telah menyerahkan kepada Kementerian Luar Negeri untuk menasihatkan samada Malaysia boleh ke Pyongyang atau tidak. (gambar: themalaysiantimes.com.my) |
Umum mengetahui bahawa pasukan bolasepak negara langsung tidak terlibat dengan kes pembunuhan Kim Jong-nam, dan jauh sekali daripada hendak memberikan ulasan mengenai berita ujian peluru berpandu di negara yang mengamalkan ideologi Juche tersebut. Di sebalik ketidaktentuan yang sedang berlaku, Malaysia hanya mahukan sebuah perlawanan bolasepak yang dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah, tiada halangan perjalanan dan seumpamanya. Seandainya pihak AFC dan juga Korea Utara benar-benar mampu menjamin kebebasan serta keselamatan dengan teratur maka barulah kita boleh menyaksikan satu permainan bolasepak yang penuh dengan semangat kesukanan.
Namun begitu, hingga setakat ini belum ada jaminan yang diberikan maka sebab itulah perlawanan tidak seharusnya diadakan di Pyongyang. Ia kurang sesuai buat masa ini berdasarkan logik akal. Sudah tentu perkara ini memerlukan kerjasama yang utuh daripada semua pihak terbabit, tetapi sekiranya pihak AFC berkeras mahu memaksa Malaysia bermain di Pyongyang maka Malaysia akan membuat pilihan. Membuat pilihan samada menarik diri serta berhadapan dengan risiko denda dan sebagainya, ataupun pergi juga ke Pyongyang dengan membawa misi yang berkaitan dengan bolasepak sahaja.
Wisma Putra akan menyatakan pendiriannya sebelum FAM membuat keputusan bersabit dengan perlawanan tersebut. (gambar: kekandasatria.blogspot.my) |
Pergi atau tidak pergi ke Pyongyang, Malaysia barangkali sudah tahu bahawa ia berkemungkinan tinggi akan menanggung beban sejumlah kerugian. Cuma apa yang perlu diketahui dengan lebih mendalam adalah yang mana satu yang lebih merugikan agar dapat ditangani dengan sewajarnya. Soalan yang boleh ditanya adalah, rugi tetap rugi tetapi setakat mana? Terus terang boleh dikatakan, Korea Utara dikenali sebagai negara yang mempunyai pasukan bolasepak yang lebih kuat berbanding Malaysia. Lihat sahajalah kepada ranking Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan lihat jugalah pencapaian Korea Utara dalam sejarahnya. Tidak pelik jikalau Korea Utara dianggap sebagai pilihan untuk menumpaskan Malaysia, dan keputusan yang sebaliknya samada Korea Utara hanya seri apatah lagi kalah semestinya akan mengejutkan banyak pihak. Tidak perlu diragukan lagi, itulah jangkaan atau gambaran kasar sekiranya Malaysia ingin terbang ke Pyongyang untuk perlawanan tersebut.
Jika memilih untuk tidak pergi, maka Malaysia sampai bila-bila pun tidak akan tahu adakah sejarah baru akan tercipta ataupun sejarah lama akan terus berulang kembali. Meskipun Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pasukannya baru sahaja membawa masuk Nelo Vingada, seorang warganegara Portugis yang juga bekas pengurus sebuah kelab dari India iaitu NorthEast United FC sebagai ketua jurulatih negara, jawatan yang sebelumnya diisi oleh Datuk Ong Kim Swee itu masih lagi tetap menggalas harapan besar sebilangan besar rakyat Malaysia. Harapan tersebut bermula dengan para pemain tempatan yang terbaik dikumpulkan secara merit dari seluruh negara untuk mewakili skuad kebangsaan. Seterusnya, pasukan Harimau Malaya yang dibentuk berupaya menjaringkan gol melebihi gol yang dibolosi dan kemudiannya memenangi perlawanan-perlawanan penting sebelum dinobatkan sebagai gergasi rantau Asia Tenggara, bakal johan benua Asia, mahupun calon juara dunia.
Mampukah Eduardo Manuel Vingada memberikan perubahan yang positif buat Malaysia seperti mana yang beliau lakukan untuk juara Piala Asia tahun 1996 iaitu Arab Saudi? (gambar: midialab.org) |
"You can't win if you don't play." - Jimmy Chance
No comments:
Post a Comment