Harapan rakyat adalah negara dibawa keluar dari masa lampau yang gelap ke arah masa depan yang lebih cerah. (gambar: www.rojakdaily.com) |
Walaupun bekas penyerang kebangsaan awal tahun 2000an dahulu iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli telah pun menggantungkan butnya dan mula menjinakkan diri sebagai pengulas sukan pula, namun terdapat beberapa rakan seperjuangannya yang masih lagi bermain sehingga kini. Meskipun sudah dianggap sebagai pemain senior dan mungkin semakin jauh daripada panggilan untuk menyertai skuad negara tetapi Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, mahupun Mohd Shukor Adan (yang telah bersara di peringkat antarabangsa) kekal sebagai tonggak penting buat pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Malaysia sememangnya sering dianugerahkan dengan ramai pemain bolasepak tempatan yang berbakat, namun seringkali juga bakat tersebut disia-siakan begitu sahaja. Selepas beberapa tahun sahaja, banyak sekali pemain-pemain muda berbakat mulai hilang daripada pandangan. Mereka bukannya menjadi orang halimunan atau ke luar negara tetapi telah diketepikan bagi memberi ruang kepada pemain-pemain import yang entah apa-apa. Padahal, kebanyakan awang import yang kini beraksi di Liga-M langsung tidak setaraf dengan pemain-pemain bintang yang lalu seperti Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, Baichung Bhutia, Kiatisuk Senamuang, Worrawoot Srimaka, Mehmet Durakovic, Stephen Keshi, Vyacheslav Melnikov, Mouhamadou Moustapha Mane, Felipe Melo, Dani Guiza, Pablo Aimar, Luciano Figueroa, Ali Ashfaq, Merzagua Abderrazak, Scott Ollerenshaw, Alistair Edwards, Abbas Saad, Zsolt Bücs, dan lain-lain. Jangan katakan Tony Cottee, skuad NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) pun nampak lebih hebat lagi berbanding awang import yang bukan sahaja tidak dikenali tetapi juga belum pun menyarung jersi kebangsaan negara mereka. Pengecualian kalau hendak diberikan pun hanya boleh kepada dua, tiga pemain sahaja seperti Liridon Krasniqi, Mohammed Ghaddar, dan entahlah.. mungkin Patrick "Ronaldinho" Wleh?
Angan-angan sahaja: Barisan kesebelasan utama negara dalam alam maya. (kredit: eurosport.com) |
Oleh sebab itu, transisi atau peralihan daripada kelompok pemain senior kepada kelompok pemain junior sejak kebelakangan ini tidak dapat berjalan dengan lancar. Jika dahulu ada Dol Fatah, kemudian Dollah Don sebagai perintis, Abdul Ghani Minhat telah berhasil menyerahkan obor perjuangan kepada Mokhtar Dahari sebelum diberikan pula kepada Hassan Sani. Masuk tahun 1990an, gejala rasuah (bookie, kelong) yang entah mana datangnya telah dikantoikan secara berleluasa. Bukan hendak salahkan satu pihak sahaja, tetapi disebabkan sindiket menjual permainan untuk perjudian telah melenyapkan bakat-bakat yang istimewa seperti Matlan Marjan dan Azizol Abu Haniffah. Mujurlah masih terselamat beberapa pemain seperti Khairul Azman Mohamed, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Hashim Mustapha, dan Azman Adnan. Kalau tidak, bertambah pudarlah, tawar, dan malapnya kancah bolasepak negara.
Kemudian, sedikit demi sedikit, bakat bolasepak tanahair mula berputik semula. Nama-nama yang tidak kurang hebatnya mula kedengaran. Zulfakri Ashaari, Nidzam Adzha Yusoff, Che Zambil Ahmad, Rafdi Abdul Rashid, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Rusdi Suparman, Anuar Abu Bakar, Shamsurin Abdul Rahman, S. Paidiya Rau, Liew Kim Tu, Zami Mohd Noor, Azmi Mohamad, Rosdee Sulong, Azizul Kamaluddin, Wan Rohaimi Wan Ismail, Sapian Abdul Wahid, Harun Laban, Bobby Pian, Suharmin Yusof, dan beberapa nama lagi. Elok-elok baru hendak bangun, tiba-tiba skuad senior kebangsaan dibubarkan. Gantinya, adalah sekumpulan pemain belia yang dinamakan sebagai skuad projek Olimpik 2000. Masih mentah dan kurang berpengalaman pada waktu itu telah menyebabkan bakat-bakat muda yang berpotensi tinggi seperti Khalid Jamlus, V. Saravanan, Tengku Hazman Raja Hassan, Chow Chee Weng, Gilbert Cassidy Gawing, Megat Amir Faisal, dan Jamsari Sabian terbantut di tengah jalan. Tanpa memenangi sebarang kejohanan yang melepasi peringkat nasional, mereka juga dipersalahkan sepenuhnya kerana gagal mencapai sasaran (yakni mara ke Sukan Olimpik tahun 2000 di Sydney, Australia).
Akmal Rizal Rakhli dan Khalid Jamlus, malah Shawal Johadi pun, telah jalankan tugas mereka. (sumber: ww1.utusan.com.my) |
Maka, yang berpengalaman diabaikan, dan yang berpotensi dirosakkan. Inilah yang dikatakan 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'. Hasilnya, zaman kegemilangan bolasepak negara berlalu begitu sahaja dan semakin sukar untuk dikembalikan. Walaupun begitu, bibit-bibit keyakinan kembali kelihatan apabila sebuah generasi baru (sebahagiannya merupakan lepasan skuad Olimpik 2000) telah membersihkan jalan yang sebelum ini begitu banyak halangan. Sekalipun kejayaan besar tidak dicapai pada zaman mereka, sekurang-kurangnya mereka membantu memberikan laluan kepada generasi-genarasi yang akan datang untuk memperoleh kejayaan yang amat ditunggu-tunggukan. Generasi yang dimaksudkan tersebut adalah generasi Akmal Rizal, termasuklah Hairuddin Omar, Liew Kit Kong, Mohd Nizaruddin Yusof, dan rakan-rakan. Dengan tunjuk ajar yang mereka kongsikanlah, maka Safee Sali, Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, serta yang lain-lainnya berjaya juga meraih kejuaraan Asia Tenggara (Piala AFF 2010) yang sangat bermakna buat negara.
Kini, tanggungjawab besar menanti di bahu pemain-pemain generasi muda masakini. Tak 'kanlah hanya berpuas hati apabila menang menentang negara-negara Asean sahaja. Sudah tiba masanya untuk kembali menyaingi negara-negara Asia yang lain. Jepun dan Korea Selatan sudah tentulah, tetapi juga negara-negara seperti Arab Saudi, Iran, China, dan sebagainya. Selagi masih terkebelakang di benua Asia, usah bermimpilah untuk bertandang ke benua Eropah atau benua Amerika Selatan. Oleh itu, jangan lagi menyorok di belakang tirai yang lutsinar, memang tiada gunanya. Para peminat serta para penyokong bolasepak yang tertentu adakalanya tertanya-tanya ke mana perginya pemain-pemain harapan seperti Titus James Palani, Ahmad Aminuddin Shaharuddin, dan Samransak Kram. Adakah masih boleh berbakti untuk negara? Jika tidak, adakah kerana tidak mampu atau tidak mahu? Soalan yang sama akan ditanya kepada Nazmi Faiz Mansor, Irfan Fazail, Afiq Fazail, Syahrul Azwari Ibrahim, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Rozaimi Abdul Rahman, Ashri Chuchu, Matthew Davies, Fazly Mazlan, Amer Saidin, Kogileswaran Raj, S. Kumaahran, Faisal Abdul Halim, Ariff Farhan Md Isa, Mohd Ridzuan Abdunloh, Farhan Abu Bakar, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Haziq Nadzli, Mohd Syamer Kutty Abba, Adib Zainuddin, Faiz Nasir, Najmuddin Samat, dan kesemua pemain bolasepak profesional negara yang belum ada keinginan untuk bersara.
#academicscomebeforefootball #isthewayforward
1 comment:
Thanks Jelly Gamat QnC Cara Menghilangkan Bekas Herpes Cara Mengobati Penyakit Abses
Post a Comment