Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, October 5, 2017

Usah terlalu berharap

Perlawanan terakhir kempen kelayakan Piala Asia 2019
dijadualkan pada 28 Mac 2018 menentang Lubnan di Beirut.
(kredit: foxsportsasia.com)

Selepas gagal untuk bersaing bagi melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia, pasukan bolasepak Malaysia yang dianggap kerdil di peringkat dunia juga dijangka mempunyai peluang tipis untuk layak ke Piala Asia AFC 2019 yang akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti. Peluang semestinya ada dan ramalan boleh jadi salah, tetapi usahlah terlalu berharap. Harapan yang tinggi menggunung hanya akan lebih mengecewakan dan biarlah harapan diletakkan pada tahap yang realistik sahaja. Apabila gagal tetap kecewa, tetapi kecewa yang bertempat, kecewa yang munasabah. Maka, adalah tidak keterlaluan sekiranya Malaysia sudah boleh mula merancang untuk persiapan awal bagi Kejohanan AFF 2018 pada hujung tahun hadapan.

Kegembiraan buat sementara apabila gol dijaringkan
tetapi lebih bermakna jika memperoleh kemenangan.
(kredit: stadium.my)

Harapan yang realistik adalah, menyedari setakat mana usaha dan tenaga yang boleh digemblingkan bagi membangunkan bolasepak negara dengan asas-asas yang kukuh. Ini bermakna seluruh warga bolasepak tanahair dari pemain hingga jurulatih, penyokong hingga petugas media, staf medik hingga pegawai keselamatan, malah tidak terkecuali adalah presiden, setiausaha agung, ahli jawatankuasa eksekutif, mahupun menteri dan yang lain-lainnya, harus berganding bahu agar bersama-sama dapat mengangkat taraf bolasepak negara hingga ke tempat yang sepatutnya. Pepatah Perancis ada mengatakan, Rom tidak dibina dalam sehari (Rome ne fut pas faite toute en un jour), maka untuk meraih kejayaan dengan corak permainan yang bermutu tinggi memang memerlukan masa di samping perlunya ada ikhtiar dan juga kegigihan.

Mengikut undang-undang FIFA, jikalau lima kad merah
dilayangkan maka perlawanan akan dihentikan serta-merta.
(youtube.com)

Tidak terlalu berharap tidak pula bermakna harus mengibar bendera putih tanda menyerah kalah. Malah, jangan sesekali menyerah kalah. Berusahalah sehingga sebelum ke titisan peluh yang terakhir. Selepas itu, minum air untuk kekal hidrat dan terus berjuang habis-habisan. Begitulah seterusnya sehingga suatu masa yang telah ditentukan oleh Tuhan yang Maha Esa. Hidup di dunia ini hanya sekali dan akhirat pula sedang menanti, maka tanyalah diri sendiri samada berbaloikah melibatkan diri dengan kesalahan-kesalahan besar seperti dadah, rasuah, atau jenayah lain yang bukan sahaja merosakkan diri malah turut menyebabkan orang lain terasa rugi. Oleh itu, sesusah mana sekalipun, sepayah mana sekalipun, kembalilah kepada tujuan asal permainan bolasepak. Bolasepak hanya akan menjadi aktiviti sukan yang menyeronokkan sekiranya masing-masing mahu berusaha menghidupkan suasana dengan penuh semangat kesukanan.

Malaysia perlu belajar dengan lebih mendalam mengenai
cara-cara untuk menangani perang psikologi.
(thestar.com.my)

Selain itu, apa gunanya menegakkan benang yang basah? Sekadar ingin disebutkan di sini, bolasepak hanyalah sebuah permainan. Ada yang menang, ada yang kalah, kadangkala seri. Selepas tamat sahaja 90 minit permainan dan tambahan masa, hidup mesti diteruskan. Pemain-pemain serta jurulatih perlu balik berehat dan sambung berlatih, wartawan perlu menyiapkan laporan, para penonton pula perlu bekerja atau mengulangkaji pelajaran, tetapi bolasepak tetap menjadi bolasepak dan tidak lebih daripada itu melainkan boleh dijadikan sebagai sumber hiburan dan mungkin juga suatu bentuk perniagaan. Namun, belum pernah lagi terjadi dalam sejarah malah tidak mungkin pun, hanya dengan bermain bolasepak, manusia boleh membina kapal roket atau mencari penawar untuk penyakit barah. Jadi, mengapa perlu rosakkan kehidupan hanya semata-mata kerana obses dengan permainan bolasepak yang hanya sebesar atau sekecil itu?

Sudah berapa ramai sudah sebelum ini yang telah hilang kebebasan mahupun mata pencarian (di Indonesia ia disebut "mata pencaharian") akibat membiarkan ketaksuban melampau terhadap bolasepak hingga memakan diri. Dek kerana terlalu teruja untuk mendapatkan sesuatu, mungkin hendak menang agaknya, tidak kiralah dengan cara yang betul atau tidak maka habis semua benda atau orang dicari untuk dijadikan mangsa. Botol minuman dibaling-dibaling, kerusi dilambung-lambung, pengadil ditolak-tolak, pemain lawan ditumbuk-tumbuk atau diludah-ludah, penyokong lawan diherdik serta dicerca, dan bermacam-macam lagi yang adakalanya sampai tidak terjangkau di akal fikiran. Kita semua (patutnya) tahu, perkara-perkara buruk tersebut tidak sepatutnya berlaku dan ia berkemungkinan besar tidak akan berlaku andai kata setiap daripada kita teringatkan anak-anak atau adik-adik kecil di rumah. Apalah yang hendak dibanggakan kalau masuk televisyen, keluar radio, dan terpampang di surat khabar tetapi berita-beritanya banyak yang kurang menyenangkan.

Para penonton menunjukkan pelbagai reaksi
yang terkejut dengan tindakan Cantona ini.
(kredit: telegraph.co.uk)
Zidane bertindak balas terhadap Materazzi, si mulut celupar.
(kredit: ftw.usatoday.com)

Kesimpulan yang ingin disampaikan adalah, teruskan berharap serta melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara kebaikan namun jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan jangan pula berputus harap. Jangan lebih sangat, jangan kurang sangat, cukup-cukup sudah. Bersederhana. Saudara saudari sekalian, jangan pernah berputus asa. Ingatlah, selagi ada kesempatan, kita sentiasa boleh berdoa, berusaha, dan bertawakal pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.


No comments: