Penjaga gol muda Malaysia, Azri Ab Ghani muncul pemain terbaik perlawanan ketika menentang Indonesia di separuh akhir. (kredit: harnas.co) |
Dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, pasukan Garuda Muda turun dengan penuh semangat apabila kesebelasan utamanya turut dibintangi oleh pemain muda yang semakin meningkat naik iaitu Egy Maulana Vikri. Bintang muda tersebut menjadi kebanggaan seluruh Indonesia kerana telah menandatangani kontrak untuk bermain di Poland bersama kelab Lechia Gdańsk dan namanya kian menjadi sebutan lebih-lebih lagi sesudah menjaringkan gol pembukaan perlawanan separuh akhir pada minit pertama menerusi jaringan penalti. Pasukan Malaysia B-19 kemudiannya dapat juga mengikat kedudukan melalui gol daripada ketua pasukan Muhammad Syaiful Alias yang juga pemain pertahanan tengah Kelantan FA pada minit ke-15. Permainan yang kekal buntu dengan jaringan satu sama terus berlanjutan sehinggalah penentuan sepakan penalti.
Egy Maulana menjadi penjaring terbanyak apabila mencetak 8 gol dalam edisi Kejohanan Remaja B-19 AFF 2017 yang lalu. (kredit: liputan6.com) |
Sebelum bermulanya penentuan sepakan penalti bagi menentukan pasukan mana yang akan menjadi finalis, Egy Maulana telah pun dikeluarkan oleh jurulatihnya Indra Sjafri pada minit ke-88 bagi memasukkan pemain gantian Hanis Saghara Putra. Pertukaran pemain tersebut dilihat gagal membuahkan hasil memandangkan pemain gantian tersebutlah yang menjadi pemain Indonesia terakhir yang gagal menjaringkan penalti. Kesudahannya, Malaysia menang penentuan sepakan penalti dengan jaringan 3 berbalas 2. A. Shivan Pillay, Nabil Hakim Bokhari, dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, kesemuanya berupaya menjaringkan penalti dan hanya Muhammad Zafuan Azeman sahaja yang terlepas peluang. Lanjutan daripada itu, kemenangan yang diperoleh Malaysia hanya sempat diraikan sebentar sahaja. Kegembiraan tiba-tiba berubah menjadi ketakutan selepas sebilangan penonton di stadium telah bertindak di luar batasan sehingga mengganggu sedikit ketenteraman. Mujurlah tidak berlaku apa-apa yang terlalu serius melainkan gangguan keselamatan yang boleh sahaja menjadi kritikal tanpa kawalan.
Tanpa semangat kesukanan, dukacita akibat kekalahan boleh membawa kepada rasa sedih atau marah yang berlebihan. (kredit: liputan6.com & siakapkeli.my) |
Walau bagaimanapun, pihak penganjur setakat ini masih lagi mendapat kepercayaan ramai untuk memastikan perlawanan akhir pada hari Sabtu, 14 Julai 2018 jam 8 malam (waktu Malaysia) dapat berjalan dengan lancar serta aman. Meskipun skuad anak didik Bojan Hodak akan merindui kelibat ayam tambatan Akhyar Abdul Rashid yang sudah dihantar pulang bersama-sama pemain pertahanan skuad Piala Presiden Sabah FA iaitu Gerald Gadit akibat kecederaan, pemain-pemain utama seperti Muhammad Anwar Ibrahim, Mohd Norfais Johari, Muhammad Nizarruddin Jazi, K.Thivandaran, Muhammad Zahril Azri, Muhammad Hadi Fayyadh, dan yang lain-lainnya dijangka mampu menggalas tugas masing-masing dengan baik demi kepentingan bersama sepasukan. Myanmar (bekas juara 2 kali, tahun 2003 dan 2005) sebagai seteru di perlawanan akhir pula tidak sewajarnya dipandang enteng. Walaupun mereka sudah pernah ditewaskan dalam peringkat kumpulan, perlawanan akhir adalah perlawanan yang berbeza. Mereka juga mempunyai seorang penyerang berbisa yang perlu dikekang sehabis-habisnya, Win Naing Tun namanya. Jika dapat bermain secara berpasukan dan bukannya individu yang berseorangan, itu pun sudah dikira sebagai kejayaan walau apa pun keputusan.
Win Naing Tun kini berkongsi kedudukan teratas bersama Bounphachan Bounkong dari Laos dalam carta penjaring terbanyak dengan 6 gol setakat ini. (kredit: bongdanet.vn) |
#MalaysiaBoleh #MalaysiaBerjaya #MalaysiaBolehBerjaya
No comments:
Post a Comment