Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, July 13, 2018

Malaysia masih mempunyai harapan

Meskipun harapan tinggi ingin diletakkan di atas bahu seorang
pemain seperti Wan Kuzain sebagai anak perantauan, bolasepak
masih lagi sukan yang dimainkan secara berpasukan.
(kredit: Google Images)

Harapan sentiasa ada. Harapan itu ada bagi yang belum berputus asa. Kalau jatuh, boleh bangun semula. Sesudah bangkit dan berdiri tegak, kuatkan langkah dan terus berlari. Terus sahaja berlari sekuat hati sampai mana mahu berhenti. Dalam sesebuah perlawanan bolasepak, dua pasukan yang akan menentang antara satu sama lain masing-masing mempunyai peluang yang sama untuk menang. 50-50. Sebelum tiupan wisel untuk sepak mula, kebarangkalian untuk mana-mana antara dua pasukan tersebut memperoleh keputusan akhir tidak pernah berubah. Salah satu pasukan mesti muncul pemenang dan satu lagi mesti kecundang sekiranya perlawanan kalah mati. Jika bukan kalah mati, serilah jawabnya kalau tidak kalah atau menang.

Pertembungan David Beckham dan Diego Simeone
semasa Piala Dunia 1998 di Perancis.
(kredit: thetimes.co.uk)
Apa yang nak dimalukan kalau jatuh? Okeylah, memang agak
memalukan apabila jatuh, terjatuh, atau dijatuhkan. Tapi, hidup
ini tidak sentiasa begitu kerana bila ada jatuh, ada bangunnya.
(kredit: huffingtonpost.com)

Namun begitu, sebaik sahaja wisel ditiup dan perlawanan pun bermula, kadangkala ilusi boleh sahaja mengatasi realiti. Di atas kertas, sebelas pemain tetap melawan sebelas pemain. Kesebelasan utama bagi setiap pasukan mempunyai seorang penjaga gawang dan sepuluh pemain yang lain. Sebiji bola menjadi rebutan untuk dimasukkan ke dalam gol lawan melebihi yang dibolosi jikalau boleh. Pengurus, ketua jurulatih, atau wakilnya hadir di tepi padang. Baju jersi, seluar, sarung kaki, alas tulang kering, kasut but, malah sarung tangan penjaga gol semuanya ada. Pengadil, penolong pengadil (penjaga garisan), pegawai perubatan, dan pengutip bola (budak milo) pun ada. Kalau nak, Video Bantuan Pengadil (VAR) pun boleh ada. Penonton, penyokong, penyorak, dan mungkin wartawan sedikit sebanyak juga ada. Jadi, mengapa pula tidak boleh menang? Kemungkinan 50% untuk menang bertukar menjadi 100% kalah hanya akan terjadi apabila langsung tidak yakin untuk menang ataupun terlalu yakin untuk kalah.

Liga-M sebagai batu loncatan buat para pemain negara

Rata-rata penduduk Malaysia mula bermain bolasepak ketika berada di bangku sekolah. Kebanyakan mereka adalah lelaki walaupun perempuan juga ada. Walaupun sudah ada di kalangan mereka yang diperkenalkan kepada sukan nombor satu negara dan juga paling popular di dunia ini sewaktu masih kecil lagi, tidak semua yang tahu bermain bolasepak akan bermain secara sepenuh masa. Untuk menjadi seorang pemain profesional, bukan sahaja memerlukan kecekapan, kemahiran, atau kehandalan, tetapi juga tawaran kontrak daripada mana-mana kelab bolasepak yang profesional. Di Malaysia, Liga Malaysia (Liga-M atau M-League) sudah tentulah menjadi saingan tertinggi bagi dunia bolasepak tanahair. Sudah semestinya ramai juga yang mengidam-idamkan kerjaya bolasepak di luar negara namun ternyata sukar, sekalipun buat pemain yang sudah menyarung jersi kebangsaan. Maka, tiada jalan mudah melainkan bermula dari bawah yakni, mewakili peringkat sekolah, daerah, negeri, dan begitulah seterusnya hingga boleh mewakili negara.

Kejayaan kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT FC) merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali ke-5 berturut-turut sememangnya wajar dipuji. Selepas menewaskan pencabar terdekatnya Perak di gelanggang lawan iaitu Stadium Perak di Ipoh pada hari Selasa, 10 Julai 2018, JDT FC telah pun mengesahkan kejuaraan liga walaupun masih berbaki empat perlawanan. Dengan kejuaraan tersebut, JDT FC juga telah sah menempah tempat automatik ke Liga Juara-juara AFC bagi musim 2019 itupun setelah sudah lima kali percubaan yang gagal sebelum ini. Meskipun kejayaan hebat tersebut sudah pasti dicemburui oleh pasukan-pasukan yang lain namun dari sudut yang positif, ini adalah permulaan tanda aras yang perlu dicontohi dalam era baharu arena bolasepak Malaysia. Kejayaan tidak datang bergolek, hanya dengan sikap seperti amanah, jujur, serta telus barulah ada peluang untuk berjaya. Jika tidak, lumrahnya akan terus ketinggalan di belakang.

Proses penswastaan bolasepak negeri Johor bergerak
dengan begitu pantas. Selepas tertubuhnya Southern Tigers
Sdn. Bhd., kini Yayasan JDT pula sudah diwujudkan.
(kredit: Azmil Aziz)

Di sebalik kejayaan yang tercipta, memanglah ada harga yang dibayar sebagai suatu bentuk pengorbanan. Tidak dinafikan bahawa setiap perkara di dunia ini ada baik dan buruknya. Begitu jugalah yang berlaku apabila dominasi yang melampau akan memberi impak atau kesan besar terhadap keseluruhan pembangunan bakat bolasepak negara. Sekiranya hanya pelajar-pelajar yang dikumpulkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang sahaja yang mempunyai peluang istimewa untuk menjadi pemain atau atlet kebangsaan padahal terdapat beribu-ribu sekolah lagi dalam Malaysia maka sudah tentulah ramai yang akan terpinggir akibat kekurangan tempat. Mungkin benar lebih ramai yang kurang berbakat berbanding yang betul-betul berbakat namun apa gunanya merungut atau mengeluh di kemudian hari jika sejak awal-awal lagi pilihan sudah menjadi terhad? Sudah berapa kali telah ditegaskan bahawa negara Malaysia, dengan izin Allah jua, tidak pernah ketandusan bakat bolasepak. Hanya bakat-bakat sahaja yang nampaknya banyak telah, sedang, dan akan disia-siakan.

Selain itu, pada ketika seluruh dunia sedang heboh dalam kerancakan Piala Dunia, di Malaysia pula masih kalut dan kelam kabut untuk menghabiskan musim bolasepak tempatan. Memanglah pasukan negara tidak layak ke pentas dunia pada waktu ini tetapi tidakkah mahu bersedia untuk adanya kemungkinan untuk layak pada masa hadapan? Ia menimbulkan persepsi, terutamanya bagi yang kurang ambil tahu, bahawa pasukan bolasepak kebangsaan seolah-olahnya langsung tiada harapan untuk layak maka sebab itulah ditumpukan sahaja perhatian kepada bolasepak domestik. Padahal, terdapat beberapa lagi liga di Asia yang turut masih berjalan antaranya Thai League (Thailand), J.League (Jepun), dan K League (Korea Selatan). Jepun dan Korea Selatan nampaknya boleh sahaja mengatur jadual supaya dapat memberi ruang untuk Piala Dunia meskipun liga tempatan masih lagi belum selesai. Berbeza dengan Persian Gulf Pro League (Iran), Saudi Professional League (Arab Saudi), dan liga negara dari benua Australasia yang bertanding ke Piala Dunia atas tiket Asia, A-League (Australia) yang mengambil jalan yang jauh lebih mudah apabila liga tempatan tamat sebelum Piala Dunia dan akan bermula semula selepasnya seperti liga-liga utama di Eropah.

Keperluan merancang sebagai persediaan selepas persaraan

Berdasarkan contoh-contoh yang boleh diambil dari luar negara di samping beberapa pengalaman Malaysia sendiri sebelum ini, sukan bolasepak samada peringkat lokal atau global yang berlangsung hampir sepanjang tahun pada setiap tahun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan manusia. Sebelum tahun 1930, Piala Dunia pun belum ada lagi, hanya ada pertandingan bolasepak dalam Sukan Olimpik. Akibat Perang Dunia Kedua pula, tiada Piala Dunia yang dianjurkan pada tahun 1942 dan 1946. Malah, Premier League di England yang sering digembar-gembur itu pun hanya bermula sejak 20 Februari 1992 selepas dipisahkan daripada Football League (ada 3 divisyen iaitu Championship, League One, dan League Two) yang didakwa merupakan liga bolasepak tertua di dunia apabila diwujudkan pada tahun 1888. Ini bermakna, sejarah telah membuktikan bahawa manusia boleh sahaja hidup tanpa permainan bolasepak tidak kiralah samada sesaat, 90 minit, mahupun bertahun-tahun. Ada atau tiadanya bolasepak bukanlah suatu masalah yang besar jikalau hendak dibandingkan dengan krisis seperti kebuluran yang boleh menyebabkan kematian ramai orang di beberapa tempat di atas muka bumi ini.

Zainal Abidin Hassan merupakan bekas kapten skuad
kebangsaan yang berjaya menceburi bidang perniagaan
apabila membuka sebuah restoran.
(sumber: kosmo.com.my)
Azman Adnan, bekas penyerang kebangsaan yang boleh
menggalas tugas sebagai jurulatih mahupun pengulas bolasepak.
(gambar: bhplus.com.my)

Masa itu emas. Masa yang sudah terlepas tidak boleh berundur kembali. Masa tidak menunggu siapa-siapa dan terus bergerak tanpa henti. Jadi, selagi masa masih ada maka harapnya jangan dibazirkan lagi selepas ini. Majoriti penduduk Malaysia adalah Muslim maka keputusan untuk mengadakan beberapa perlawanan Liga-M dalam bulan Ramadan, yang lazimnya dikhususkan untuk beribadat serta peluang bersama keluarga, semestinya lebih banyak merugikan daripada menguntungkan. Jika ada sekalipun negara-negara lain yang lebih gemar kepada perkara yang merugikan berbanding perkara yang menguntungkan, kenapa pula harus ditiru? Kerugian di sini bukan sekadar kekurangan penonton di stadium atau menyusutnya jumlah tontonan di televisyen, tetapi lebih kepada kerugian yang menyeluruh. Bukan setakat kerugian masa, tenaga, dan juga wang ringgit, kerugian yang dimaksudkan juga meliputi kehidupan manusia itu sendiri. Bukankah setahun mempunyai 12 bulan, penting sangatkah bolasepak sehingga diutamakan lebih daripada yang sepatutnya?

Karier seorang pemain bolasepak secara umumnya dianggarkan selama 10 hingga 15 tahun sahaja. Kalau pun lebih daripada itu, belum tentu seseorang pemain itu dapat mempamerkan aksi yang terbaik sepanjang kariernya. Bolasepak juga adalah sukan yang berisiko agak tinggi untuk mengalami kecederaan manakala proses pemulihan atau penyembuhan pula mengambil masa yang lama memandangkan rawatan yang diterima di dalam negara tidaklah secanggih ataupun sebaik di luar negara, terutamanya jika dibandingkan dengan negara-negara maju di hemisfera utara. Justeru itu, amat wajar sekali bagi mana-mana pemain bolasepak untuk melihat jauh ke hadapan melangkaui keseronokan bermain bolasepak yang sementara. Terpulanglah kepada masing-masing, jika tidak mahu menceburi bidang perniagaan atau pengiklanan misalnya, sukan bolasepak juga menawarkan pelbagai lagi skop pekerjaan. Jurulatih belia, ahli fisioterapi, pakar psikologi, pencari bakat, pengulas sukan, jurugambar, jurukamera, pengendali laman sesawang, dan sebagainya, yang kalau diikutkan tidaklah lari jauh dari dunia bolasepak.

Seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal turut
menerima jemputan untuk menjadi seorang pengulas bolasepak.
(kredit: Facebook)
Ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim bukan sahaja
bijak membuat hantaran di atas padang malah turut bijak
mengambil peluang dalam bidang pengiklanan.
(kredit: oldtraffords.com)

Oleh yang demikian, jika 12 pemain muda dan seorang jurulatih pasukan bolasepak Moo Pa (The Wild Boars) yang terperangkap selama lebih dua minggu dalam gua Tham Luang Nang Non yang dimasuki air di Chiang Rai, Thailand pun berjaya keluar setelah berpegang erat dengan harapan untuk terus hidup, maka adalah tidak mustahil bagi rakyat Malaysia seluruhnya terus bergantung harap untuk bukan sahaja hidup tetapi menggunakan nikmat kehidupan untuk mencapai sesuatu aspirasi yang lebih tinggi lagi malahan kelak juga boleh menjadi sebagai sumber inspirasi pula. Tidak kiralah yang muda ataupun yang kurang muda, kesemuanya mempunyai peranannya yang masing-masing terhadap pembangunan modal insan, termasuklah sebahagiannya untuk sukan bolasepak negara. Tiada siapa yang tahu entah bilalah negara kerdil Malaysia boleh melahirkan pemain seperti Cristiano Ronaldo, tatkala sudah berumur 33 tahun pun masih lagi dibeli oleh Juventus FC dengan harga kira-kira £100 juta dari Real Madrid CF. Tetapi percayalah, mempunyai pemain terbaik dunia atau tidak, Malaysia masih mempunyai harapan.


No comments: