Chahida Chekkafi, pengadil wanita yang pertama memakai tudung di Itali. (gambar: moeslema.com) |
Meskipun Brazil dan negara-negara Amerika Selatan seperti Argentina serta Uruguay merupakan antara pencabar terdekat negara-negara kuasa besar Eropah, namun para pemain mereka sendiri semahu-mahunya ingin berhijrah ke liga-liga utama Eropah. Pemain-pemain yang berhijrah pula selalunya bukan yang sembarangan, mereka boleh dikatakan yang terbaik di kalangan yang terbaik. Mengapa liga-liga di Eropah? Selain ianya lebih lumayan dan glamor, semestinya tarikan yang lebih utama adalah mereka mahu bermain serta bersaing dengan pemain-pemain yang paling baik dikumpulkan dari serata dunia. Malah, di Eropah mereka turut berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada para pengurus dan barisan jurulatih yang bertaraf dunia. Maka, hanya apabila sudah menghampiri penghujung kerjaya barulah liga bolasepak di negara-negara Timur Jauh, Timur Tengah, ataupun MLS (Major League Soccer) di Amerika Syarikat mendapat sedikit tumpuan.
Sebab itulah nama Pele sering disebut-sebut. Bagaimana pula pemain tersebut mencipta nama sedangkan beliau hanya bermain kebanyakan masanya di negaranya sendiri. Tanpa menyarung mana-mana jersi kelab ternama di Eropah, beliau ke Eropah pun hanyalah untuk mewakili tanah airnya. Sebut sahaja nama, Giuseppe Meazza, Matthias Sindelar, Larbi Benbarek, Alfredo Di Stefano, Ferenc Puskas, Diego Maradona, George Weah, Ronaldo, Zinedine Zidane, Ronaldinho, Cristiano Ronaldo, dan Lionel Messi. Begitu ramai sekali pemain-pemain lagenda dunia yang mengerah keringat bersama kelab-kelab di Eropah walaupun buat seketika. Pele adalah satu contoh pengecualian. Tidak perlu pun berhijrah ke benua orang putih untuk membuktikan kemampuannya. Seorang lagenda yang tiada tolok bandingnya. Edson Arantes do Nascimento, istimewanya individu ini hingga dikenali ke seluruh dunia hanya dengan nama pendeknya, Pele.
Pele, satu nama yang sinonim dengan sukan bolasepak. (sumber: Google Images) |
Di Asia, dua negara serantau iaitu Jepun dan Korea Selatan nampaknya mulai menampakkan taringnya. Tidak lagi gentar walaupun berhadapan dengan penyandang juara mahupun bekas juara dunia. Dahulu rata-rata pemainnya agak rendah dan bertubuh kecil seperti mana lazimnya orang-orang di benua Asia, kini sudah tinggi dan berbadan tegap, di samping turut berupaya mempamerkan mutu permainan yang semakin meningkat naik malahan kian menarik. Memanglah mereka masih jauh untuk mengejar pencapaian yang dicapai oleh negara-negara utama di Eropah, namun Jepun dan Korea Selatan juga telah jauh meninggalkan banyak negara dunia yang lain. Jadi, di mana letaknya Malaysia? Asia Tenggaralah, di mana lagi. Persoalannya, di mana kedudukan Malaysia di arena bolasepak dunia? Oh, masih terlalu jauh berbanding Jepun ataupun Korea Selatan, dan sudah tentulah lagi jauh berbanding negara-negara yang pernah memenangi pelbagai macam gelaran termasuklah gelaran terunggul, johan Piala Dunia.
Baru-baru ini, skuad kendalian Lim Teong Kim yang kecundang dalam Kejohanan Bawah-16 AFC 2018 di halaman sendiri telah memberikan tamparan hebat buat pihak-pihak tertentu yang sebelum ini dengan megahnya bercita-cita terlalu tinggi. Tamparan yang begitu kuat tersebut telah menyebabkan mereka terjaga lantas mengejutkan orang-orang di sekeliling bahawa mereka sebenarnya berangan-angan untuk mencipta nama bagi diri sendiri sahaja dan bukannya untuk mengharumkan nama negara. Lantaran itu, PPBN (Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia) atau lebih kerap disebut sebagai NFDP (National Football Development Programme) yang asalnya menunggu masa untuk dipuji melambung-lambung, kalau mencapai sasaran layak ke Piala Dunia Bawah-17 pada tahun hadapan di Peru sekiranya berjaya mara ke peringkat separuh akhir, tiba-tiba pula tersungkur lalu dihina dan dikeji. Hasil usaha yang bertahun-tahun lamanya oleh orang-orang yang bertungkus-lumus memberi khidmat bakti mudah sahaja hendak dipijak-pijak dan ditendang-tendang. Apakah para pemijak dan penendang tidak sedar bahawa yang dipijak dan yang ditendang itu terlalu besar nilainya kepada perjalanan sejarah bolasepak negara?
Muhamad Alif Abdul Mutalib, antara pemain muda yang masih panjang perjalanannya. (kredit: planetbola.my) |
Kalah tidak bermakna tewas. Apa maksudnya? Kalau jatuh, masih boleh bangun. Namun, kata-kata yang keluar dari mulut manusia tidak mengubah apa-apa, melainkan dengan usaha. Dengan izin Tuhan jua, budi yang baik akan dibalas baik juga. Sekiranya tiada dibalas baik, bererti sudah tiba masanya untuk bermuhasabah diri dan memperbetulkan niat.
No comments:
Post a Comment