Raja Bola Malaysia (gambar: Google Images) |
Setelah 61 tahun merdeka, Abdul Ghani Minhat ajaibnya masih lagi memegang gelaran tersebut memandangkan belum ada yang benar-benar mampu mengambil alih tempatnya hingga setakat ini. Walau bagaimanapun, generasi demi generasi terus muncul dan bersambung apabila yang baru menggantikan yang lama. Apabila yang baru menjadi lama, yang lebih baru pula akan muncul. Begitulah keadaannya dari dahulu hingga sekarang, sehinggalah ke hadapan ini. Selepas generasi Abdul Ghani Minhat, telah muncul apa yang dikatakan sebagai generasi emas buat negara Malaysia. Sebut sahaja Mokhtar Dahari, hampir seluruh rakyat Malaysia samada meminati bolasepak atau tidak, mengenali akan namanya. SuperMokh adalah nama timangannya. Memori indah yang dilakar pada zaman Mokhtar Dahari bersama rakan-rakannya terus mekar hingga ke hari ini.
"BANGKIT SEMUA UNTUK NEGARA" (gambar: Google Images) |
Meskipun generasi emas yang pertama tidak menjejakkan kaki ke Piala Dunia, misi untuk layak malah memenangi Piala Dunia tetap akan diteruskan. Gagal sekali tidak bererti gagal selama-lamanya. Hanya yang berputus asa sahaja yang tidak akan menempa kejayaan. Selagi mana usaha terus dilakukan tanpa henti, kegagalan masa lalu boleh sahaja dianggap sebagai persediaan untuk meraih kejayaan pada masa yang akan ditentukan nanti. Malang sekali apabila berakhirnya era SuperMokh, tempoh yang berikutnya dilabel sebagai zaman gelap. Benar, tidak banyak yang boleh dibanggakan dalam tempoh tersebut malahan skandal rasuah yang dibongkar secara besar-besaran terhadap liga bolasepak negara pada tahun 1994 telah memburukkan lagi keadaan. Oleh sebab itu, kejayaan negara layak ke Piala Dunia Futsal pada tahun 1996 dan Piala Dunia Bolasepak Pantai pada tahun 1999, masing-masing diwakili oleh generasi-generasi yang sezaman dengan Azman Adnan dan Hassan Sani, berlalu begitu sahaja tanpa sebarang ingatan yang bermakna bagi sesetengah orang.
Sungguhpun bukan juara yang sebenar, mereka adalah juara di hati peminat-peminat tegar skuad Harimau Malaya. (gambar: goal.com) |
Begitu jugalah situasinya semasa skuad Olimpik 2000 dengan penyerang bernama Khalid Jamlus di barisan hadapan negara dalam Kejohanan Belia Dunia tahun 1997, yang kini namanya sudah pun ditukar menjadi Piala Dunia B-20. Tanpa meninggalkan sebarang impak besar walaupun mempunyai kelebihan sebagai pasukan tuan rumah, sasaran untuk layak kali ketiga ke Sukan Olimpik yang berlangsung di Sydney, Australia pada tahun 2000 juga tidak kesampaian. Kegagalan yang seolah-olah tiada berpenghujung betul-betul melemahkan semangat. Entah bagaimana, kemudiannya boleh pula lahir satu generasi yang akan tertulis dalam lembaran sejarah sebagai pencetus kebangkitan bolasepak negara biarpun mereka sendiri gagal menemui kejayaan yang diimpi-impikan. Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjadi watak utamanya, kelak dia dan kawan-kawannya menjadi mentor yang terdekat bagi generasi emas kedua negara. Jika protege mereka tidak dipanggil generasi emas kedua negara sekalipun, generasi tersebutlah yang membangunkan para penyokong bolasepak tanahair daripada tidur lena yang panjang.
Akmal Rizal mengetuai generasi awal alaf baru, abad ke-21. (gambar: Google Images) |
Di peringkat awal era kebangkitan, kemarau yang begitu lama menyelubungi bolasepak negara belum lagi berakhir. Namun, bibit-bibit awan mendung telah mula kelihatan apabila suatu pertandingan yang sudah agak terlalu lama tidak diadakan pulang ke tangan rakyat yang bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku. Pada tahun 2007 itulah, berkebetulan dengan ulangtahun ke-50 kemerdekaan negara, skuad kebangsaan memenangi Pesta Bola Merdeka. Dua tahun kemudian, pingat emas Sukan SEA pula kembali ke genggaman Malaysia setelah 20 tahun menunggu. Ibarat hujan rahmat yang selama ini sering dinanti-nantikan akhirnya turun mencurah-curah untuk menamatkan kemarau panjang, persis sewaktu ketua pasukan Safiq Rahim menjulang Piala AFF pada tahun 2010 yang disambut dengan kibaran Jalur Gemilang.
Lanjutan daripada itu, tuah nampaknya terus berada di sebelah pihak Malaysia apabila kejayaan diulangi dalam Sukan SEA pada tahun 2011 dan Pesta Bola Merdeka pada tahun 2013. Tidak terhenti setakat itu, kejayaan-kejayaan baru terus diukir Malaysia dengan memenangi Kejohanan B-15 AFF pada tahun 2013, Kejohanan Bolasepak Pantai AFF pada tahun 2014, Bolasepak 5-sebelah Sukan Para ASEAN pada tahun 2015, dan Kejohanan B-18 AFF pada tahun 2018. Turut membanggakan adalah Johor Darul Ta'zim FC menjadi johan Piala AFC 2015, di samping Anugerah Puskas FIFA 2016 yang dihadiahkan kepada Mohd Faiz Subri.
Malaysia dinobatkan sebagai juara Asia Tenggara buat pertama kali pada tahun 2010. (gambar: gettyimages.com) |
Sekiranya Syamsuri Mustaffa, Subri Sulong, Irwan Fadzli Idrus, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabudin Hussain, Nanthakumar Kaliappan, Liew Kit Kong, Shukor Adan, Akmal Rizal Rakhli, Hairuddin Omar, serta Indra Putra Mahayuddin mempunyai pengganti mereka seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Asraruddin Putra Omar, Yong Kuong Yong, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Shakir Shaari, Amirul Hadi Zainal, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha Abdul Radzak, dan Kunanlan Subramaniam antara lainnya, maka hanya tinggal masa sahaja bagi setiap pengganti tersebut turut mempunyai pengganti mereka sendiri. Apabila tiba masanya, Haziq Nadzli, Syahmi Safari, Syazwan Andik, Dominic Tan Jun Jin, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Nor Azam Azih, Syafiq Ahmad, Kumaahran Sathasivam, Safawi Rasid, dan mungkin yang lain-lain pula bakal menggalas tugas sebagai pengganti yang seterusnya.
Akhyar Abdul Rashid sebagai bintang baru yang paling bersinar diharapkan mampu mengangkat semangat juang rakan-rakan sepasukannya, tidak kiralah kalah atau menang. (gambar: mstar.com.my) |
No comments:
Post a Comment