|
gambar hiasan
(sumber: frim.gov.my) |
Ini adalah sebuah kisah. Suatu kisah di sebuah kampung yang mempunyai satu padang. Meskipun padang tersebut berada di hujung kampung, ia tetap menjadi tempat bermain sekumpulan kanak-kanak yang merupakan anak-anak penduduk kampung. Dahulunya, di situ jugalah ibubapa kepada anak-anak tersebut bermain semasa kecil. Tidak pernah pula ditanya siapa empunya padang tersebut. Yang mereka tahu, ia hanyalah sebuah kawasan lapang yang membolehkan kanak-kanak bermain.
Di padang itulah tempat untuk orang melihat betapa meriahnya budaya orang-orang kampung di situ. Selepas para petani yang kebanyakannya adalah pesawah berpenat lelah sejak awal pagi sampai keringat membasahi bumi, petang-petang pula turun beberapa anak muda ke padang tersebut untuk mempamerkan kehebatan bermain sukan yang diwarisi turun-temurun iaitu sepak raga. Selain sepak raga yang menjadi kegemaran ramai, secara selang-seli mereka akan bermain permainan-permainan lain. Jika di rumah bermain congkak, di luar rumah bermain gasing dan wau.
|
Sepak raga telah berevolusi menjadi sepak takraw.
(gambar: leverade.com) |
Lama-kelamaan, gasing dan wau dilihat semakin berkurangan dimainkan. Boleh jadi barang hilang atau mungkin yang pandai membuatnya sudah tiada lagi. Namun, ia tidak menghalang kanak-kanak untuk terus bermain. Galah panjang, teng-teng, polis sentri, nenek nenek si bongkok tiga, pukul berapa datuk harimau, dan bermacam-macam lagi. Main guli, layang-layang, dan sepak bulu ayam menjadi alternatif, yang lain daripada permainan-permainan seperti gasing, wau, dan sepak raga. Yang nakal-nakal sedikit berbeza, lebih suka bermain lastik.
|
Permainan tradisi, sepak bulu ayam.
(gambar: google.com) |
Kampung sebelah agak jauh tetapi tidaklah terlalu jauh. Mereka duduk di perkampungan nelayan. Walaupun mereka ada anak-anak yang sebaya, mereka mempunyai tempat bermain yang lain. Hanya satu atau dua anak-anak petani yang pernah bermain di situ, itupun kerana datang melawat saudara-mara. Oleh sebab itu, mereka cuma bermain bersama kawan-kawan sekampung dan tidak perlu lawan antara dua kampung. Masing-masing mempunyai tempatnya yang masing-masing, tanpa sebarang perebutan. Akan tetapi, tanpa mereka sedar, keadaan tersebut bakal berubah. Perubahan itu pula langsung tidak seperti mana yang mereka bayangkan.
Tahun bersilih ganti, yang muda menjadi tua dan yang lebih muda pula muncul. Hari demi hari, yang dahulunya tua kini tiada lagi di depan mata. Memandangkan ajal tidak mengenal usia, kadangkala yang masih muda pun ada yang pergi terlebih dahulu. Apa yang hendak dihairankan, begitulah lumrah dunia. Kalau hendak merasa pelik sekalipun, adalah betapa cepatnya dunia berubah. Perkembangan teknologi bukan sahaja memudahkan kehidupan manusia tetapi pada masa yang sama turut menyusahkan kehidupan manusia. Angin perubahan tidak dapat dielakkan lagi. Mahu tidak mahu, manusia di seluruh dunia terpaksa berubah.
Negara sudah merdeka, tidak lagi dijajah. Yang tinggal hanyalah kesan-kesan penjajahan. Setelah tenaga elektrik menggantikan lampu pelita, kotak ajaib yang dipanggil televisyen mula memasuki rumah. Barang-barang semakin banyak yang dibeli dan jika tidak mampu dibeli dengan tunai, dibeli pula dengan hutang. Sekiranya dahulu batok atau tempurung kelapa dibuat gayung dan pelepah kelapa digunakan untuk main tarik upih, bola sepak raga yang asalnya diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa kini kian pupus ditelan zaman yang terlalu banyak menggunakan plastik.
Warga dunia semakin materialistik. Kehidupan di kawasan-kawasan pedalaman Orang Asli pun sudah semakin dihimpit dengan berbagai-bagai pencemaran samada membabitkan alam sekitar mahupun minda. Sungai tidak lagi boleh berfungsi seperti dahulu manakala laut dengan rakusnya ditambak, kononnya atas nama pembangunan tetapi langsung tidak menghiraukan punca pendapatan penduduk tempatan. Jurang pendapatan semakin meluas, adab sopan semakin menipis. Tiadakah seorang pun yang bertanya, ke mana pergi budi bahasa?
|
Semangat kesukanan memadamkan api permusuhan.
(gambar: nationmultimedia.com) |
Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Pepatah tersebut sebenarnya tidaklah sukar untuk difahami jikalau benar-benar mahu memahami. Yang boleh memahaminya bukan sahaja yang dewasa, kanak-kanak juga boleh memahaminya. Begitulah yang terjadi di satu padang di sebuah kampung. Kampung petani yang telah diceritakan berjiran dengan kampung nelayan awal tadi. Berhampiran dengan kampung tersebut adalah sebuah pekan. Pekan tersebut nampaknya berkembang dengan agak pesat hinggakan beberapa taman perumahan baru dibuka di sekitarnya.
Lazimnya, sesebuah taman perumahan baru turut dilengkapi dengan sebuah taman permainan untuk kanak-kanak, namun taman perumahan yang akan dibina betul-betul hampir dengan kampung itu tiada taman permainan. Ini adalah kerana kedudukan tapak taman perumahan baru tersebut bersebelahan dengan padang yang berada di hujung kampung. Pemaju taman perumahan tersebut mungkin beranggapan bahawa padang tersebut sudah cukup untuk aktiviti riadah. Mungkin juga pemaju tidak pun peduli tentang aktiviti riadah dan hanya memikirkan tentang keuntungan semata-mata melalui penjimatan kos. Tiada apa yang pasti melainkan niat yang tersorok.
Seperti biasa, kanak-kanak yang duduk di kampung tersebut keluar bermain di padang pada waktu petang. Begitulah keadaannya hampir setiap hari. Apabila beberapa tahun telah berlalu, taman perumahan baru yang sudah agak lama siap mulai diduduki orang. Orang daripada berbilang kaum, berbilang agama. Pada waktu ini, kanak-kanak dari kampung yang dahulunya suka bermain di padang bukan setakat sudah meningkat remaja tetapi sebahagiannya telah pun menginjak dewasa. Yang berkahwin awal sudah pun beranak pinak, yang tinggal cuma adik-adik kecil di bangku sekolah. Zaman pada waktu ini menonjolkan sebuah generasi yang baru. Generasi yang kononnya tidak boleh hidup tanpa Internet.
|
Bolasepak kertas, permainan yang dilupakan
tetapi senang untuk dimain dan juga percuma.
(gambar: funtvkids.com) |
Bermula dengan televisyen yang saiznya sebesar bagak yakni sebelum hadirnya skrin rata, permainan video sudah mula mengurangkan masa kanak-kanak bermain di luar. Kemudian, daripada komputer peribadi hinggalah ke telefon pintar, lebih banyak masa yang telah dihabiskan sehingga hanya terperuk di dalam rumah. Tidak lagi kelihatan kanak-kanak bermain di padang yang pernah suatu ketika dahulu begitu ceria, serta dipenuhi dengan pelbagai permainan yang memerlukan kecergasan dan juga kecerdasan. Justeru, mulalah keluar cerita-cerita nostalgia yang menggamit kenangan. Salah seorang yang membesar di kampung tersebut dan kini telah dewasa menceritakan pengalamannya.
|
Permainan arked banyak terdapat
di gedung-gedung membeli belah.
(gambar: arcadebelgium.be) |
Pengalaman yang diceritakan adalah mengenai sebiji bola. Bukan bola raga tetapi bola yang dimainkan dalam sukan bolasepak. Pada suatu hari, seorang daripada kawan sekolah yang juga kawan sekampungnya baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran dan ayah kawannya itu telah menghadiahkan sebiji bola. Bola itu kemudiannya dibawa ke padang hujung kampung untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan yang lain. Tanpa berlengah, kawan-kawannya terus mahu bermain bola itu bersama-sama dengannya. Masing-masing pada ketika itu hanya memakai selipar, bukannya kasut apatah lagi kasut but. Selipar dibuka dan berkaki ayam sahaja. Dua pasang selipar telah diletakkan sebagai tiang gol, sepasang di hujung sini dan sepasang lagi di hujung sana.
Memandangkan main untuk seronok-seronok maka sendiri-sendiri pilih untuk main sebelah mana. Sama sahaja kedua-dua belah kerana semuanya kawan. Adil atau tidak adil datang secara spontan tanpa ada pengadil. Belah mana yang bolos dahulu, kena buka baju. Yang jaring dahulu, boleh pakai baju sampai habis main. Kadang-kadang main semua pakai baju, kadang-kadang semua buka baju. Hentam sahajalah, malas hendak berkira sebab seronok tidak terkira. Gaduh sikit-sikit itu biasalah, tidaklah sampai yang teruk-teruk. Hendak dijadikan cerita, kawan yang pemunya bola itu tiba-tiba beritahu bahawa hari Sabtu sahaja boleh main bola. Katanya, emak dia yang cakap begitu. Entahlah, mungkin dimarahi emaknya dek tidak buat kerja sekolah sebab hari-hari main bola.
|
Antara permainan yang dimainkan di atas
kertas kalau tidak fokus buat kerja sekolah.
(gambar: pulsk.com) |
Jadi, hari Sabtu petang secara tidak langsung menjadi waktu khusus untuk bermain bola. Main bola sepuas-puasnya tetapi sebelum waktu Maghrib masing-masing kena balik. Siapa yang pulang ke rumah lewat, biasanya minggu depan tidak nampak muka sebab kena denda tidak boleh main bola. Padang itu selalunya orang kampung situ sahaja yang guna, rupa-rupanya pada sebelah pagi Sabtu ada pula sekumpulan lain yang main bola di situ juga. Kumpulan tersebut datang naik basikal dari pekan yang berdekatan. Tidak pernah siapa pun yang tahu sampailah pada hari bertemu dengan kumpulan ini. Pertemuan tersebut adalah tanpa dirancang, hanya terserempak apabila musim tengkujuh telah mengubah jadual yang diatur sebelum ini.
Pada suatu petang hari Sabtu, hujan turun dengan selebat-lebatnya, diiringi kilat dan petir. Bukan rintik-rintik, bukan renyai-renyai. Keesokan harinya pun begitu juga, seolah-olah ada orang menyanyi dengan sumbang ibarat katak berbunyi memanggil hujan. Terlepas peluang untuk main bola pada minggu tersebut. Tiba hari Jumaat yang berikutnya, rasa kian gelisah. Takut-takut hujan lebat seperti petang Sabtu lepas. Jadual pun diubah, semuanya bersetuju untuk turun main bola pada pagi Sabtu kalau cuacanya cerah. Berasa amat lega, pagi Sabtu tidak hujan dan tidak pula mendung. Cuma terdapat satu kejutan yang tidak diduga. Sudah ada orang lain di atas padang. Tidak kenal, dan belum pernah berjumpa. Saling memandang sesama sendiri, satu dengan yang lain. Reaksi yang seterusnya sukar untuk dijangka.
Lalu, datang salah seorang daripada orang asing itu membawa bola yang berjenama. Di tangan kawan sendiri hanyalah sebiji bola yang tidak berjenama. Apa kesudahannya? Alangkah gembira rasanya apabila diajak bermain bersama-sama dengan mereka. Bukannya ajak bergaduh. Di samping itu, tiada siapa yang menghalau sesiapa. Selepas itu, buat pertama kalinya ditubuhkan sebuah pasukan bagi menentang pasukan lawan yang juga menjadi kawan baharu. Bertuah sungguh apabila padang yang percuma tersebut menjadi tempat untuk kenal-mengenal dan selanjutnya dapat pula mengenal erti ataupun makna perpaduan yang sebenar. Menurut yang bercerita itu lagi, kini semuanya berbayar, samada menonton perlawanan bolasepak melalui TV kabel atau TV satelit, bermain aplikasi permainan di atas talian, mahupun menyewa gelanggang untuk bersukan. Masa benar-benar telah berubah.
|
eSports kini merupakan suatu bentuk
pertandingan yang hadiahnya agak lumayan.
(gambar: hmetro.com.my) |
Samada cerita ini diinspirasikan daripada kisah benar atau tidak, rekaan atau tidak, bukanlah persoalan yang utama. Yang lebih penting daripada itu adalah pengajaran di sebalik cerita. Apakah pengajarannya? Terpulanglah kepada mana-mana pihak bagaimana hendak menafsirkannya. Apa-apa pun, baik atau buruknya sesuatu perkara sememangnya terletak di atas pilihan masing-masing. Maka, sebaiknya pohonlah kepada Tuhan sekalian alam, agar kita yang menyedari kelemahan diri seboleh-bolehnya dari awal hingga akhir dapat memilih yang baik dan bukannya yang buruk. Seandainya tersilap langkah, mudah-mudahan boleh kembali kepada jalan kebaikan. Aamiin.
#duniabolasepak
No comments:
Post a Comment