Piala Pestabola Merdeka yang asal ialah Piala Perdana Menteri sebelum diganti dengan piala baru mulai 1958. (gambar: Google Images) |
Tidak mengapalah. Lagipun hierarki bolasepak negara yang begitu terkenal dengan sikap profesionalnya bukankah dimiliki dan dikawal oleh mereka yang layak sahaja? Rakyat bukannya tahu apa-apa. Tiada demokrasi dalam sukan bolasepak, bolasepak bukan milik rakyat! Cuma, harap-harapnya tiada lagi janji yang dimungkiri selepas ini. Rakyat (termasuk para netizen) juga perlu sedar, perkara-perkara yang baik harus dipuji. Bukan hanya melihat pada perkara-perkara yang hendak dikritik. Mengkritik itu boleh tetapi biarlah berpada-pada. Seharusnya kritikan atau teguran itu membina, bukannya untuk membinasa.
Antara perkara yang harus dipuji adalah bagaimana kerja tetap diteruskan walaupun menghadapi berbagai-bagai masalah. Meskipun masih terlalu banyak masalah yang hendak diteliti dan diselesaikan, namun perhatian kepada Liga-M apatah lagi keutamaan yang diberikan terhadap pasukan bolasepak kebangsaan negara secara keseluruhan nampaknya agak kemas tersusun. Sudah tentu banyak lagi yang boleh diperbaiki dan ditambahbaik, namun jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lepas maka beberapa kemajuan sudah mula boleh dilihat sedikit demi sedikit.
Sebagai contoh, jarang sekali berlaku situasi di mana pasukan pelapis atau skuad bawah 23 tahun menjadi lebih utama (buat sementara sahaja dan bukannya seperti skuad 'Olimpik 2000' yang dahulunya mengambil alih terus) daripada skuad senior. Keadaan tersebut boleh jadi berlaku pada bulan Mac tahun ini apabila hadirnya pusingan kelayakan ke Kejohanan B-23 AFC 2020. Keputusan yang dibuat untuk mengutamakan yang utama dan menyegerakan yang segera sewajarnya dipuji. Mengapa saingan kelayakan ini sangat-sangat penting buat rakyat dan negara? Tanpa mahu meletakkan beban yang berlebihan buat Datuk Ong Kim Swee serta anak-anak buahnya, kelayakan ke kejohanan tersebut tidak lain dan tidak bukan merupakan medan terakhir untuk menebus kehampaan sebelum menjelangnya tahun 2020.
Selepas tewas di tangan Vietnam dalam perlawanan akhir Kejohanan AFF 2018, kekecewaan yang dirasai sejak tertinggal tiket untuk beraksi dalam Piala Dunia FIFA 2018 masih belum terubat. Malah, kedukaan tersebut semakin bertambah parah apabila peluang ke Piala Asia AFC 2019 juga terlepas. Maka, tidak ada pilihan lain buat Harimau Muda (Malaysia B) sebagai adik melainkan untuk menyelamatkan muka si abang iaitu Harimau Malaya (Malaysia A) daripada terus dihina dan dimalukan. Misi ini tidaklah sampai antara hidup dengan mati, tetapi tetap penting bagi terus menjaga serta memelihara maruah bolasepak negara untuk tahun-tahun yang mendatang. Satu per satu, mudah-mudahan Malaysia bukan sahaja layak, tetapi juga mara ke perlawanan akhir Piala B-23 AFC 2020 untuk menjuarainya. Hanya dengan cara itu, Malaysia akan kembali ke Sukan Olimpik dan mencipta sejarah yang baharu.
Selamat berjuang diucapkan!
#MalaysiaBoleh #Wawasan2020 #MerdekaFootballFiesta
No comments:
Post a Comment