Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, March 21, 2019

MALAYSIA: Skuad Olimpik 2020

Bolasepak mempunyai makna, maksud, atau pengertian yang bermacam-macam bagi pelbagai orang. Ada yang menganggapnya sebagai sukan, yakni pertandingan antara beberapa pasukan untuk menentukan siapa yang jaguh, dan pasukan yang menjadi juara atau johan itulah yang jaguh. Ada pula yang menganggapnya sebagai suatu permainan, dimainkan bukan untuk apa-apa melainkan untuk keseronokan iaitu hiburan semata-mata. Selain daripada itu, ada yang menganggap bolasepak sebagai aktiviti riadah untuk menyihatkan tubuh badan, atau sebagai hobi untuk mengisi masa lapang mahupun menjadikan masa tidak lapang, atau sebagai peluang perniagaan termasuklah yang membabitkan penjanaan duit melalui penajaan korporat, dan berbagai-bagai lagi.

Pasukan Malaysia tewas 3-0 kepada pasukan Jerman Barat 
di Olympiastadion, Munich pada 27 Ogos 1972.
(gambar: bazookapenaka.my)

Tidak kurang juga, ada yang menganggap bolasepak sebagai suatu gangguan kepada masyarakat - memandangkan terdapat terlalu banyak perkara yang lebih penting serta mustahak untuk dihadapi di atas muka Bumi ini berbanding menghabiskan masa kira-kira satu setengah jam setiap kali menghadap sebiji bola yang ditendang-tendang oleh sekumpulan manusia. Kemudian, ada segolongan lagi yang mungkin langsung tidak ambil kisah atau tidak peduli pun tentang kewujudan bolasepak - tidak kiralah samada terdapatnya perlawanan bolasepak di atas padang, di dalam stadium, di kaca televisyen, ataupun di skrin telefon pintar, bolasepak bukan sebahagian daripada hidup. Hanya yang obses, atau dengan kata yang lain, yang fanatik sahaja yang boleh dimanipulasi pemikiran serta perasaannya untuk sekadar makan bola, tidur bola, dan tidak buat apa-apa padahal sudah tentu ada perkara lain yang lebih utama.

Justeru, rencana yang dikarang ini niat asalnya hanyalah untuk dijadikan sebagai bahan bacaan sahaja, dan itupun bagi yang mahu membacanya. Jika tidak mahu, terpulanglah. Tiada sesiapa pun yang memaksa atau menghalang untuk membacanya. Baiklah, apa yang ingin disampaikan di sini adalah sedikit latar belakang di sebalik cerita persiapan negara yang merancang untuk sekali lagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Bagi yang belum tahu, Malaysia sudah dua (2) kali layak ke Sukan Olimpik dalam pertandingan bolasepak tetapi yang pergi hanya sekali dan satu lagi tidak pergi. Yang pertama dan satu-satunya yang pergi adalah pada tahun 1972 di Munich, Jerman Barat manakala kali kedua pada tahun 1980 pula tidak dapat pergi ke Moscow, Kesatuan Soviet atas sebab berlakunya campur tangan politik.

Kegembiraan singkat yang diraikan di Stadium Merdeka 
setelah Malaysia menumpaskan Korea Selatan 2-1 
dalam kelayakan pra-Olimpik pada 6 April 1980.
(kredit: star2.com)

Memanglah, yang lepas sudah pun menjadi sejarah lampau. Maka, yang tinggal hanyalah waktu sekarang ini dan waktu sekarang inilah yang akan mencorak bagaimana lembaran sejarah baru bakal tercipta untuk pelajaran serta pengajaran pada masa hadapan. Oleh itu, anggaplah sebarang kegagalan atau kesukaran pada masa lalu itu cuma sebahagian daripada perjalanan menuju ke arah kejayaan agar kita boleh bersiap sedia. Bukankah kita hanya mampu merancang? Tuhan jualah yang berhak untuk menentukan. Akan ditentukan samada segala ikhtiar, usaha, dan titik peluh yang dicurahkan benar-benar melayakkan kita meraih apa yang diidam-idamkan. Supaya kita terus bangun dan sedar bahawa angan-angan tidak berubah menjadi realiti sekiranya masih tidur lena, nyenyak dibuai mimpi.

Selepas penganjuran Sukan Olimpik musim panas pada tahun 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, tuan rumah yang seterusnya adalah di Tokyo, Jepun. Bila ia akan diadakan? Tahun 2020. Menurut Tun M (Tun Dr. Mahathir Mohamad), Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh dan juga yang keempat, 2020 merupakan tahun sasaran bagi Malaysia untuk muncul sebagai salah sebuah negara maju. Biarpun maju yang dihasratkan melalui 'Wawasan 2020' pada awalnya itu lebih terarah kepada bidang perindustrian, hatta kelayakan ke Sukan Olimpik pula tidak disebut secara khusus, namun bukankah tahap pencapaian sukan bolasepak juga boleh dijadikan sebagai ukuran? Sudah pasti penanda aras yang tertinggi bagi bolasepak ialah Piala Dunia tetapi lihatlah betapa gembiranya warganegara Brazil, juara dunia lima kali, apabila pertama kali memenangi pingat emas Sukan Olimpik pada edisi yang lalu.

Selepas Piala Dunia Remaja 1997, Henry dan beberapa lagi 
muncul sebagai bintang-bintang bertaraf dunia manakala 
Malaysia sekadar membentuk skuad Olimpik 2000.
(gambar: bleacherreport.com)

Perhatikan juga negara-negara yang pernah menjadi juara dunia setakat ini. Sebahagian besarnya adalah negara-negara maju. Itali (4 kali), Jerman (4 kali), Perancis (2 kali), England (1 kali), dan Sepanyol (1 kali). Meskipun negara-negara seperti Belanda, Portugal, Belgium, Sweden, Amerika Syarikat, Rusia, Jepun, Kanada, Australia, malahan China belum lagi dapat menjulang Piala Dunia, sekurang-kurangnya mereka pernah juga layak ke pentas terulung tersebut. Kalaupun tiga bekas juara dunia dari benua Amerika Selatan iaitu Brazil (5 kali), Uruguay (2 kali), dan Argentina (2 kali) tidak tergolong dalam kategori negara-negara maju, tidak dinafikan bahawa mereka sememangnya maju dalam sukan bolasepak. Mereka merupakan antara kuasa-kuasa besar dalam dunia bolasepak.

Mengapa Uruguay FA mempunyai 4 bintang di logonya walaupun hanya dua kali memenangi Piala Dunia (tahun 1930 & 1950)? Ini kerana sebelum diadakan Piala Dunia yang pertama pada tahun 1930, negara Uruguay sudah pun pernah diangkat sebagai juara dunia sebanyak dua kali apabila merangkul pingat emas Olimpik tahun 1924 dan 1928 yang turut diiktiraf FIFA pada waktu itu sebagai Kejohanan Dunia. Jadi, walaupun pertandingan bolasepak lelaki di Sukan Olimpik kini sudah terhad kepada umur bawah 23 tahun, ia masih lagi bermakna. Lebih-lebih lagi buat tanahair yang tercinta, Malaysia apabila kelayakan buat kali ketiga ke Olimpik samada pada tahun 2020 atau setelah itu mempunyai maknanya yang tersendiri.

Di samping itu, berikut adalah pemain-pemain yang dijangka akan membintangi pasukan B-23 negara menjelang tahun 2020 dan berkemungkinan besar sebilangan daripada mereka akan turut menjadi tonggak bagi skuad senior kebangsaan.

1. Haziq Nadzli
Posisi: Penjaga gol
Tahun lahir: 1998
Kelab: JDT FC

(gambar: Power Sport Images/Getty Images)

2. Syahmi Safari
Posisi: Bek kanan, Sayap kanan
Tahun lahir: 1998
Kelab: Selangor FA

(gambar: Stanley Chou/Getty Images)

3. Dinesh Rajasingam
Posisi: Bek kiri
Tahun lahir: 1998
Kelab: Pahang FA

(gambar: foxsportsasia.com)

4. Dominic Tan Jun Jin
Posisi: Bek tengah
Tahun lahir: 1997
Kelab: JDT FC

(gambar: Power Sport Images/Getty Images)

5. Shahrul Nizam Ros Hasni
Posisi: Bek tengah
Tahun lahir: 1998
Kelab: Kelantan FA

(gambar: Berita Harian)

6. Syamer Kutty Abba
Posisi: Pemain tengah, Bek tengah
Tahun lahir: 1997
Kelab: JDT FC

(gambar: Allsport Co./Getty Images)

7. Akhyar Rashid
Posisi: Pemain sayap, Penyerang
Tahun lahir: 1999
Kelab: JDT FC

(gambar: Power Sport Images/Getty Images)

8. Nik Akif Syahiran Nik Mat
Posisi: Pemain tengah
Tahun lahir: 1999
Kelab: Kelantan FA

(gambar: Berita Harian)

9. Jafri Firdaus Chew
Posisi: Penyerang
Tahun lahir: 1997
Kelab: PKNS FC

(gambar: footballchannelasia.com)

10. Faisal Halim
Posisi: Penyerang, Pemain sayap
Tahun lahir: 1998
Kelab: Pahang FA

(gambar: The Star)

11. Safawi Rasid
Posisi: Pemain sayap, Penyerang
Tahun lahir: 1997
Kelab: JDT FC

(gambar: Stanley Chou/Getty Images)

Lain-lain:
Damien Lim Chien Khai, Azri Abdul Ghani, Evan Wensley Wenceslaus, Shivan Pillay Asokan, Thivandaran Karnan, Danial Amier Norhisham, Nik Azli Nik Alias, Kogileswaran Raj Mohana Raj, Hadi Fayyadh Abdul Razak, Luqman Hakim Shamsudin, Wan Kuzain Wan Kamal


#Sukma2018   #MFL2019   #2020AFCu23   #Tokyo2020

No comments: