Tidak kiralah Melayu, Cina, India, Dayak, Serani, atau yang lainnya, bolasepak atau ringkasnya "bola" dengan mudahnya menjadi alat perpaduan rakyat apabila pasukan bolasepak kebangsaan negara beraksi di arena antarabangsa. Akan tetapi, lain ceritanya apabila mengupas tentang bolasepak di peringkat nasional yakni perseteruan antara persatuan-persatuan bolasepak negeri. Catatan sejarah telah merekodkan bahawa Singapura adalah jaguh yang pertama dalam dunia bolasepak tanahair, setelah Singapore FA muncul juara dalam kejohanan bolasepak tempatan yang paling berprestij iaitu Malaya Cup edisi sulung pada tahun 1921. Malaya Cup yang kini telah berevolusi menjadi Piala Malaysia tidak lama lagi pula akan memasuki tahun ke-100 menjelang 2021.
Piala Malaysia telah menyaksikan kelahiran pemain lagenda Selangor dan juga negara, Mokhtar Dahari. (kredit: mycreativevsb.blogspot.com) |
Pertandingan yang diadakan saban tahun itu acap kali menjadi tumpuan hampir seluruh warganegara Malaysia, lebih-lebih lagi bagi penyokong dua pasukan yang berentap di pentas final. Memandangkan perlawanan akhir Piala Malaysia adalah penutup bagi kalendar bolasepak negara pada setiap tahun maka pemenangnya turut dijulang sebagai juara keseluruhan musim. Menjuarai Piala Malaysia bererti menjadi juara bolasepak di peringkat negara. Walau bagaimanapun, disebabkan kurangnya kesedaran dan penghargaan terhadap sejarah panjang bolasepak negara maka perkara ini seringkali diremehkan malah diketepikan begitu sahaja oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Berkepentingan bukan untuk negara tetapi untuk kepentingan peribadi.
Jika Piala Malaysia yang sejarahnya bermula secara rasmi pada tahun 1921 itu sudah pun dianggap agak tua, janganlah terkejut seandainya diberitahu terdapat sebuah entiti yang lebih tua daripadanya. Apakah entiti yang dimaksudkan tersebut? Ia bukannya hantu, mambang, atau jembalang, tetapi sebuah entiti yang bernama Malaya Football Association. Buktinya, sebuah penerbitan yang bertajuk 'The rules of the Malaya Football Association' yang dicetak oleh Denodaya Press pada tahun 1909. Pada tahun 1909, badan induk bolasepak negara sebenarnya belum lagi ditubuhkan sepenuhnya, dan secara fizikal hanya wujud di atas kertas. 17 tahun kemudian iaitu pada 1926, barulah idea yang tercetus itu dapat direalisasikan dengan lima persatuan negeri (Singapura, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, dan Selangor) menjadi pengasas kepada Malayan Football Association (MFA).
Entah kenapa, MFA tidak dapat bertahan lama selepas penubuhannya, lalu ditubuhkan semula sebagai sebuah entiti yang diberi nafas baru. Berpangkalan di Singapura, Football Association of Malaya (FAM) yang dibentuk pada tahun 1933 menjadi pendahulu bagi Football Association of Malaysia atau Persatuan Bolasepak Malaysia yang sekarang ini beribu pejabat di Kelana Jaya. Sejarah turut mencatatkan, Singapura adalah pasukan yang kedua paling berjaya sepanjang sejarah Piala Malaysia dengan 24 kejuaraan. Berikutan terkeluarnya Singapura daripada saingan bolasepak domestik pada waktu ini, pencabar terdekat kejuaraan Selangor sebanyak 33 kali dalam Piala Malaysia adalah Perak, yang jauh ketinggalan dengan hanya 8 kejuaraan.
Skuad kebangsaan tidak diwakili oleh pemain-pemain Selangor sahaja tetapi dari seluruh pelosok negara. (sumber: The Star Online) |
Selangor juga sedang mendahului senarai pemenang liga utama negara iaitu sebanyak 6 kali. Namun begitu, pasukan kelab dari Johor iaitu Johor Darul Ta'zim FC (JDT) dijangka bakal menyamai rekod tersebut sekiranya dapat memenangi liga pada tahun ini buat 6 kali berturut-turut. Lebih menakjubkan, JDT yang bergelar johan Piala AFC pada tahun 2015 turut menjadi kelab (bukan persatuan negeri) yang kedua dalam sejarah yang berjaya memenangi Piala Malaysia selepas Selangor MPPJ FC. Walaupun Selangor dicatat sebagai naib juara dalam Kejohanan Kelab Asia tahun 1967, Liga Juara-juara AFC setakat ini masih belum lagi dimenangi oleh mana-mana pasukan dari Malaysia. Mungkin kejayaan tersebut boleh dan akan dicapai dalam masa beberapa tahun lagi jika bukan berdekad atau berabad lamanya.
Tatkala Selangor sudah pun 6 kali memenangi liga utama, Terengganu pula satu-satunya persatuan negeri yang belum memenangi liga sejak ia mula diperkenalkan dengan lengkap pada tahun 1982. Itu belum lagi membandingkan rekod Selangor sebagai pemenang terbanyak Piala FA dan Piala Sumbangsih, masing-masing sebanyak 5 dan 8 kali. Hanya Kelantan yang dapat mengatasi rekod Selangor dalam Piala Presiden, iaitu 7 berbanding 5 kejuaraan. Selain itu, Kelantan juga berkongsi rekod bersama Selangor dalam Piala Belia dengan 2 kejuaraan. Piala Tun Sharifah Rodziah pula, Selangor terikat dengan Polis DiRaja Malaysia FA (PDRM) dengan 3 kejuaraan di belakang Johor (4), Singapura (8), dan Sabah (11).
Pada ketika ini, pasukan JDT ada logiknya dipandang lebih kuat daripada Selangor samada dari segi pengurusan, kewangan semasa, mahupun keupayaan untuk memenangi sesebuah perlawanan. Kemudian, apabila timbulnya spekulasi di sebalik penafian bahawa kemungkinan MISC-MIFA yang telah dijenamakan semula (melalui pemilikan oleh QNET) dan menjadi Petaling Jaya City FC sedang diintai sebagai salah satu pasukan yang mahu dibeli oleh City Football Group, maka Selangor tidak seharusnya berdiam diri. Apa sahaja rekod yang lalu akan kehilangan makna sekiranya rekod-rekod baharu dicipta, lantas memadam segala yang lama daripada ingatan. Oleh itu, bersedialah Selangor, JDT, serta pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga-M) dengan kedatangan para pelabur dari luar yang mampu mengubah lanskap bolasepak lokal menjadi global. Bersedia atau tidak, mereka semakin menghampiri.
PJ City berjaya mendapatkan Safee Sali yang dilepaskan dari pasukan Perlis. (gambar: sports247.my) |
No comments:
Post a Comment