Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, July 3, 2019

Liga Super tidak membosankan

Benar, Liga Super tidak membosankan. Liga Super (atau Liga Raya) sebenarnya sangat-sangat membosankan. Langsung tidak mencabar. Lebih-lebih lagi setelah Johor Darul Ta'zim FC (JDT) merangkul kejuaraan liga utama negara buat kali keenam berturut-turut. Pencapaian yang tidak dinafikan hebat itu turut menyamai rekod Selangor FA, yang sebelum ini satu-satunya pasukan yang pernah menjuarai liga sebanyak enam kali walaupun tidaklah berturut-turut seperti JDT.

Messi nak main tak di Liga Super?
(kredit: dunyanews.tv)

Maka, tidaklah pelik sekiranya dahulu Selangor adalah pasukan yang paling dibenci dan didengki, kini JDT pula menjadi mangsa terbaharu kesemua pasukan serta para penyokong lawan. Adakah Selangor berasa lega, atau rindu untuk dibenci dan didengki kembali? Atau mungkin ada pasukan lain pula yang teringin untuk menjadi pengganti JDT selepas ini? Kahkahkah.. kahak, tuihh! Maaf, tersengaja. Boleh jadi Pahang FA yang sudah lima kali memenangi liga hendak menambah satu lagi untuk menyertai kelompok elit yang terdiri daripada Selangor dan JDT, atau mungkinkah Terengganu FA mahu mengakhiri kempunan dengan merampas gelaran juara liga buat kali pertama?

Apa pendapat Ronaldo tentang Liga Super?
(gambar: gettyimages/Antonio Scorza)

Harap pihak-pihak yang berkenaan di Football Association of Malaysia (FAM) dan terutamanya di Malaysian Football League (MFL) tidak terasa hati apabila maklum balas yang diberikan terhadap Liga Malaysia (Liga-M atau M-League) tidak berkenan di hati. Bukannya apa, sebarang kritikan mahupun cadangan bernas ataupun tidak bernas, semuanya adalah positif belaka jika dilihat demi kebaikan dan kejayaan bersama. Apa-apa penambahbaikan yang perlu dibuat, buatlah. Akan tetapi, kalau ada apa-apa yang boleh merosakkan maka hentilah. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Jangan buat-buat lupa, para peminat, pemerhati, dan penggiat bolasepak tempatan adalah sebahagian daripada pemegang taruh yang pelbagai. Pemegang-pemegang saham jugalah yang akan rugi sekiranya sebahagian pemegang taruh tersebut merasakan rugi sahaja untuk terus mendukung Liga-M sebagai salah satu khazanah negara. Seandainya itu berlaku, tidak mustahil bagi bolasepak di peringkat tertinggi negara yang sepatutnya membekalkan para pemain kebangsaan untuk pasukan Harimau Malaya bungkus melingkup kerana dianggap sia-sia malahan tidak berguna lagi. Lagipun, buat apa masih hendak sakit hati melihat mutu bolasepak yang rendah jikalau terdapat banyak liga luar negara yang jauh lebih berkualiti?

Terima kasih kepada semua penonton yang hadir.
(sumber: utusan.com.my)

Hanya jauhari mengenal manikam. Oleh itu, jadilah seperti jauhari. Orang-orang yang bijaksana sahaja yang dapat memahami sesuatu keadaan dan menghargai nilainya. Bilamana kurang bijak, maka susahlah. Susah untuk ditegur, payah untuk dibawa berbincang. Lalu, laluan untuk menempa kecemerlangan dan kegemilangan menjadi semakin sukar. Sudah berkali-kali telah disebutkan, mana-mana liga bolasepak di luar negara sememangnya boleh dijadikan contoh, tetapi bukan untuk ditiru bulat-bulat. Andai kata ingin membuat perbandingan sekalipun, bandingkanlah dengan betul-betul. Bukan main taruk, bubuh sahaja. Meletak sesuatu biarlah di tempatnya.

Tengok Juventus dan Bayern Munich...

Baik, FC Bayern Munich memenangi Bundesliga sudah tujuh kali berturut-turut manakala Juventus FC pula memenangi Serie A sudah lapan kali berturutan. Hebat memanglah hebat, tetapi tidaklah sehebat mana. Tidak sehebat mana? Ya, dua pasukan tersebut sudah tentu hebat tetapi bukan yang terhebat dan tidak pula menghebatkan liga mereka. Liverpool FC dan Tottenham Hotspur FC (Spurs) adalah dua kelab Premier League yang lebih hebat daripada FC Bayern Munich dan Juventus FC, sekurang-kurangnya di benua Eropah meskipun kedua-duanya bukanlah juara liga.

Mohamed Salah seperti terhalang untuk pergi ke Liga Super.
(kredit: Google Images)

Spurs mengakhiri kempen liga musim 2018-19 di tangga ke-4, atas Manchester United FC dan Arsenal FC (The Gunners) dan cuma berada di bawah Chelsea FC (The Blues), Liverpool FC, dan juara liga, Manchester City FC (The Citizens). Namun begitu, Spurs berjaya juga menundukkan The Citizens di peringkat suku akhir kejohanan UEFA Champions League hingga mara ke perlawanan akhir. Itu barulah hebat. Bukan juara di England tetapi boleh juga muncul naib johan di kalangan pesaing-pesaing di seluruh Eropah. Malah, bukan itu sahaja, kehadiran The Blues dan The Gunners dalam final UEFA Europa League tahun 2019 merupakan kali pertama dalam sejarah yang menampilkan finalis dua perlawanan terbesar Eropah dari sebuah negara yang sama. Premier League memang hebat, cukup hebat. Haa tepuk tangan.

Nasib baik tak sapu semua trofi

Walaupun begitu, hidup ini ibarat roda. Begitu jugalah dengan bola. Ada masanya naik, ada masanya turun. Yang di atas tidak selamanya di atas dan yang di bawah tidak selamanya di bawah. Berapa lama di atas atau di bawah, terpulanglah kepada kehendak Ilahi. Kita hanya mampu merancang strategi dan berusaha, tetapi Tuhan jualah yang akan menentukan. JDT selepas ini mungkin boleh memenangi liga lebih daripada enam kali berturut-turut namun bukan semua pertandingan yang berjaya digondolnya setiap tahun. Oleh yang demikian, pasukan-pasukan lain juga perlu memainkan peranannya yang masing-masing. Jangan sampai satu pasukan sahaja yang bolot kesemuanya. Bagaimana hendak maju kalau asyik kecam dan cemuh, dan lepas itu cemuh dan kecam lagi? Tolonglah. Tolonglah berubah.

Ada pasukan lain nak buat perlawanan amal?
(sumber: johorsoutherntigers.com.my)

Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Terus-terang cakap, Liga-M serta pihak-pihak yang terlibat sebetulnya belum bersedia untuk penswastaan. Lihat sahaja kepada keadaan semasa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (Government-Linked Companies), adakah negara ini betul-betul mampu mendepani kekangan penswastaan? Masalah yang sebenarnya bukan berpunca daripada penswastaan itu sendiri, tetapi bagaimana penswastaan diuruskan itulah yang menjadi masalahnya. Apakah yang menjadi punca kepada masalah tersebut? Antara puncanya ialah sikap. Sikap yang terburu-buru. Bolasepak di Malaysia bukan sahaja belum bersedia untuk penswastaan tetapi juga belum bersedia untuk menjadi profesional. Semi-profesional juga belum tentu. Amaturkah?

Hanya 6 daripada 12 pasukan yang bertaraf Super

Menginginkan kerjaya sebagai seorang pemain bolasepak? Adakah pasti akan dibayar gaji setiap bulan untuk bermain bolasepak secara sepenuh masa? Di mana padangnya? Stadium, tempat latihan, dan akademi semua cantik? Tak 'kanlah semua pemain kena pergi ke JDT. Sudah tiba masanya dunia bolasepak tanahair untuk menyajikan persaingan yang lebih sihat. Jika bukan sekarang, bila lagi? Cita-cita untuk menswastakan bolasepak Malaysia adalah satu langkah yang pertama. Cuma, jika selama ini hanya boleh merangkak, jangan pula dipaksa untuk berlari. Apabila tumbangnya kerajaan lama baru-baru ini, sedikit sebanyak turut mengucar-ngacirkan sukan bolasepak. Haru-biru, huru-hara jadinya. Mana tidaknya, kucar-kacir disebabkan tiada asas yang kukuh. Sebaik sahaja hilang payung politik dan dana awam, hilang jugalah tempat bergantung untuk sumber kewangan.

'Harapan Baru untuk Satu Malaysia'
(sumber: amkselangor.blogspot.com)

Penjualan tiket dan jersi pasukan, tajaan serta pengiklanan, hak penyiaran atau geran tahunan, semua itu nampaknya seolah-oleh belum cukup untuk menampung perbelanjaan. Kenapa dan mengapa? Ini belum lagi masuk tentang topik integriti dalam permainan bolasepak, mengenai rasuah, sogokan, perjudian, pertaruhan, dan mengatur perlawanan. Karang bila ulas terlalu panjang lebar, nanti jadi celoteh pula. Cuma satu lagi nak tambah, terdapat beberapa cadangan supaya Liga Super dikembangkan menjadi lebih daripada 12 pasukan yang ada sekarang ini. Sekiranya alasan jadual padat menjadi penghalang, bagaimana pula Thai League 1 (T1) boleh sahaja mempunyai 16 pasukan? Oh, sebab Thailand tak macam Malaysia. Malaysia sekarang apa pun tak boleh ke? Dah alang-alang hanya 6 pasukan sahaja yang layak menjadi pasukan Liga Super manakala 6 lagi belum layak sepenuhnya, apa salahnya tambah 2 atau 4 lagi?


No comments: