Namun, apabila kekalahan demi kekalahan sering kali dialami maka dorongan tersebut nampaknya asyik tewas bukan di tangan pihak lawan tetapi di dalam minda diri sendiri. Lantas, rakyat Malaysia umumnya hanya mampu berangan apabila semangat yang lemah membuatkan semakin berputus asa dan tidak ingin lagi meletakkan harapan yang tinggi. Sebelum hilangnya terus sedikit harapan yang masih berbaki, jadi lebih baik mengalihkan perhatian kepada pasukan-pasukan kuasa besar bolasepak dunia.
Malaysia yang mara dari pusingan pertama diundi ke Kumpulan G dalam kelayakan ke Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023. (kredit: FIFA TV/stadiumastro.com) |
Memandangkan Inggeris (atau British) pernah menjajah tanahair yang tercinta ini, entah bagaimana ramai juga yang tertarik malahan meminati pasukan England. Sejarah lama kini sudah menjadi kisah lampau. Tiada lagi kebencian, yang ada hanyalah kekaguman terhadap pasukan handalan yang digelar The Three Lions. Jika bukan pasukan bolasepak kebangsaan England yang digemari maka salah satu daripada kelab-kelab seperti Manchester United, Chelsea, Manchester City, Arsenal, Liverpool, Tottenham Hotspur, Leicester City, Blackburn Rovers, dan yang sewaktu dengannya akan disokong dengan sepenuh hati.
Walau bagaimanapun, prestasi pasukan England sejak kebelakangan ini juga amat mengecewakan. Di sebalik nama-nama besar di arena antarabangsa, kali terakhir ia memenangi Piala Dunia adalah pada tahun 1966, itu pun di halaman sendiri. Jauh sebelum Malaysia menyertai pusingan kelayakan Piala Dunia buat pertama kali. Maka, ramai juga yang tidak meminati England dan lebih meminati negara-negara seperti Brazil, Jerman, Itali, Argentina, Perancis, Uruguay, Sepanyol, Belanda, Portugal, mahupun yang lain-lain. Pasukan-pasukan yang diminati tersebut biasanya merupakan antara pilihan utama serta dianggap berpeluang ke pentas final.
England berjaya menghasilkan ramai pemain ternama tetapi baru sekali menjadi juara dunia. (gambar: Google Images) |
Meskipun benua Asia lazimnya diwakili oleh Jepun, Korea Selatan, Iran, Arab Saudi, atau mungkin beberapa lagi ke Piala Dunia, mana-mana negara dari Asia langsung tidak menjadi pilihan untuk muncul johan. Sama seperti negara-negara dari benua Amerika Utara, Afrika, dan Australasia, Asia sentiasa dipandang rendah oleh kuasa-kuasa besar dari Amerika Selatan dan lebih-lebih lagi Eropah. Malaysia sebagai negara yang tidak pernah layak ke Piala Dunia bukan sahaja dipandang rendah, mungkin dipandang pun tidak. Seolah-olah hilang dari pandangan. Adakah kian lenyap di peta bolasepak dunia? Mujurlah sempat juga menggenggam kejuaraan Asia Tenggara pada tahun 2010 yang lalu.
Kalau Piala Dunia begitu susah, bagaimana dengan Piala Asia? Sebenarnya, Malaysia boleh sahaja layak ke Piala Dunia, malah hendak menjuarainya pun boleh. Andai cukup syarat-syaratnya, antaranya kerja keras dan tuah, memanglah tidak mustahil cuma kurang realistik. Jikalau Piala Asia dijadikan sasaran, ia bukan sahaja lebih realistik tetapi juga logik. Selepas pernah menjadi yang terbaik di peringkat rantau di samping terus mahu menjadi yang terbaik berkali-kali lagi, langkah paling hampir yang seterusnya sudah tentulah peringkat benua pula. Yang terdekat itu ialah melayakkan diri ke Piala Asia buat kali keempat terlebih dahulu sebelum menanam azam untuk berdiri di atas podium.
Hai-O semasa beraksi menentang Uzbekistan pada 2007, kali terakhir Malaysia di Piala Asia. (gambar: Google Images) |
Kadang-kadang warga bolasepak boleh jadi terlupa, bahawa diangkat sebagai juara dunia bukanlah segala-galanya. Ada masanya kita menang, ada masanya kita kalah. Ada masanya kita di atas, ada masanya kita di bawah. Apa yang hendak dibanggakan sangat apabila dapat menewaskan pasukan-pasukan tercorot kalau mudah sangat menjadi sombong? Apa gunanya kemasyhuran dan kekayaan jika solat fardu senang sahaja ditinggalkan, ataupun puasa bulan Ramadan boleh pula diabaikan? Gagal memenangi permainan bolasepak memang agak menyedihkan tetapi tidaklah sesedih apabila memakai seluar pendek yang gagal menutup aurat. Daripada sedih atau marah, baik takut dan berharap kepada Allah. Ini cuma sekadar mengingatkan bagi yang lupa.
No comments:
Post a Comment