Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, January 23, 2020

Liga-M dan Harimau Malaya

Pasukan manakah yang menjuarai Piala Malaysia yang pertama, adakah pasukan yang muncul sebagai johan pada tahun 1921? Kemudian, mengapa pula pasukan Brunei dijemput menyertai Liga Malaysia sedangkan tidak pernah berada dalam Persekutuan Malaysia? Apa, siapa, di mana, bila, kenapa, dan bagaimana adalah bentuk-bentuk soalan yang boleh dan patut ditanya seandainya seseorang itu mahu tahu tentang sesuatu perkara. Begitu jugalah halnya dalam dunia bolasepak. Samada bolasepak tempatan mahupun antarabangsa, beberapa persoalan sekarang (masa kini) mahupun akan datang (masa depan) berkemungkinan tinggi boleh dijawab sekiranya turut mengetahui jawapan kepada persoalan sejarah silam (masa lampau). Tanpa masa lalu, tiadalah masa sekarang ini. Jikalau masa sekarang ini tiba-tiba terhenti bermakna masa hadapan sudah pun berakhir, sekurang-kurangnya setakat di dunia ini.


Pasukan yang menjuarai Piala Malaysia yang pertama ialah Perak, memandangkan Piala Malaya bertukar namanya kepada Piala Malaysia pada tahun 1967. Namun, sebelum itu Singapura muncul sebagai johan pada tahun 1921 apabila Malaya Cup, yakni nama lama bagi Piala Malaysia, buat pertama kali diadakan. Brunei kini tidak lagi menghantar pasukannya ke Liga Malaysia, tetapi juara Piala Malaysia tahun 1999 itu dahulu pernah dijemput bersaing sekali berikutan rentetan sejarah penglibatannya bermain dalam Piala Borneo di samping Sabah dan Sarawak. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Piala Malaysia, Liga-M, Harimau Malaya dan sebagainya, sebarang persoalan yang boleh jadi timbul hendaklah dicari sendiri jawapannya. Di sini, hasratnya hanyalah untuk membangkitkan semangat ingin tahu kepada sesiapa yang berkenaan. Secara ringkas, berikut ini adalah beberapa catatan sejarah yang sempat direkodkan oleh duniabolasepak.blogspot.com sebagai tatapan.


1824: Sebuah pasukan yang dinamakan Kuching Wanderers dibentuk dengan kebanyakan pemainnya merupakan warga Eropah.

1892: Penubuhan Persatuan Bolasepak Singapura (Singapore Amateur Football Association).

1895: 'Risalat peraturan bola sepak yang dinamai Inggeris futbul' (A guide to the rules of the ball game called in English football) yang diterjemah oleh Mahmud bin Sayid Abdul Kadir al-Hindi diterbitkan di Singapura.

1899: Negeri-negeri Melayu Bersekutu mengadakan liga antara negeri yang pertama.

1905: Selangor Amateur Football League (SAFL) diwujudkan bagi penganjuran liga dalam negeri Selangor.

1909: Sebuah penerbitan yang bertajuk 'The rules of the Malaya Football Association' dicetak oleh Denodaya Press di Singapura. Gabenor Negeri-negeri Selat pada ketika itu ialah Sir John Anderson.

1920: Pasukan bolasepak Pulau Pinang dan Angkatan Tentera mulai dibentuk.

1921: Pasukan bolasepak Perak, Negeri Sembilan, dan Melaka mulai dibentuk.

1921: Perlawanan sulung Malaya Cup adalah pada 20 Ogos ketika Selangor mengalahkan Pulau Pinang 5-1. Piala pertandingan merupakan hadiah yang diberikan oleh Kapten Henry Tritton Buller apabila kapal perang HMS Malaya singgah di perairan negara.


1921: Malaya Cup buat julung kalinya mempunyai juara apabila Singapura muncul pemenang setelah menewaskan Selangor di perlawanan akhir dengan jaringan 2-1 di Padang Kelab Selangor (sekarang adalah Dataran Merdeka) pada 1 Oktober.

1921: Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (Football Association of Penang) ditubuhkan secara rasmi pada 21 Oktober.

1923: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (Negeri Sembilan Football Association) ditubuhkan.

1924: Persatuan Bolasepak Kedah (Kedah Darul Aman Football Association) ditubuhkan pada 27 April.

1924: Persatuan Bolasepak Melaka (Malacca Amateur Football Association) ditubuhkan.

1926: Persatuan-persatuan bolasepak Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, dan juga Singapura telah bergabung untuk membentuk Malayan Football Association (MFA) pada 11 September dengan John Middleton Sime sebagai presiden.

1926: Berikutan krisis politik dalaman di dalam SAFL, beberapa pegawainya telah keluar dan menubuhkan pula Selangor Football Association (SFA).

1928: Kuching Wanderers berubah menjadi Kuching Football Club pada 16 Januari.

1933: Sir Andrew Caldecott, seorang pentadbir kolonial British menjadi presiden yang pertama bagi Football Association of Malaya (FAM) yang menggantikan MFA. Sejak awal penubuhannya, ia berpangkalan di Singapura.

1933, Malaya Cup dinamakan semula menjadi HMS Malaya Cup.

1934: Kuching Football Club menjadi Kuching Football Association.

1936: Persatuan Bolasepak Selangor (Football Association of Selangor) ditubuhkan apabila SAFL dan SFA bergabung pada 22 Februari.

1940: Pentadbiran FAM dipindahkan dari Singapura ke semenanjung.

1941: Jawatan setiausaha agung FAM diwujudkan dengan pelantikan A.R. Singham.

1946: Persatuan Bolasepak Kelantan (Kelantan Amateur Football Association) ditubuhkan.

1946: Pasukan bolasepak Sarawak dan Borneo Utara mulai dibentuk.

1947: Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung diasaskan pada 19 April.

1948: Piala Malaya kembali dipertandingkan selepas 6 tahun terhenti dari 1942 hingga 1947 akibat Perang Dunia Kedua.

1951: Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menjadi Presiden FAM yang pertama bukan daripada kalangan warga British.

1951: Persatuan Bolasepak Perak (Perak Amateur Football Association) secara rasminya didaftarkan pada 18 April sebagai badan pentadbir bolasepak negeri Perak.

1952: Pasukan bolasepak Polis mulai dibentuk.

1954: FAM di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman menjadi antara 14 anggota pengasas Asian Football Confederation (AFC) pada 8 Mei.

1955: Persatuan Bolasepak Negeri Johor (Johor Darul Takzim State Football Association) ditubuhkan pada 29 Disember.

1956: Persatuan Bolasepak Terengganu (Terengganu Amateur Football Association) ditubuhkan pada 22 November.

1957: Kejohanan Pestabola Merdeka (Merdeka Tournament) mula diadakan sebagai salah satu acara utama sambutan kemerdekaan.

1959: Persatuan Bolasepak Pahang (Pahang Football Association) ditubuhkan.

1960: Persatuan Bolasepak Borneo Utara (North Borneo Football Association) ditubuhkan pada 22 Oktober.

1961: Pembukaan rasmi ibu pejabat FAM di Birch Road (kini Jalan Maharajalela), Kuala Lumpur oleh Tunku Abdul Rahman pada 7 Disember sebelum berpindah ke Wisma FAM di Kelana Jaya tahun 1980.

1963: FAM menukar namanya daripada Football Association of Malaya kepada Football Association of Malaysia.


1963: Persatuan Bolasepak Perlis (Perlis Football Association) ditubuhkan.

1963: Persatuan Bolasepak Borneo Utara ditukar namanya menjadi Persatuan Bolasepak Sabah (Sabah Football Association).

1967: Piala Malaya diperkenalkan semula sebagai Piala Malaysia.

1967: Selangor tewas 1-2 kepada Hapoel Tel Aviv FC dalam perlawanan akhir Kejohanan Kelab Asia edisi yang pertama di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok pada 19 Disember.

1972: Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ Football Club) ditubuhkan.

1972: Buat pertama kalinya, pasukan bolasepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman Barat.

1974: Persatuan Bolasepak Sarawak (Football Association of Sarawak) ditubuhkan semula selepas pengurusan yang lama telah jatuh muflis.

1974: Persatuan Bolasepak Wilayah Persekutuan (Federal Territory Football Association) ditubuhkan.

1980: Pasukan bolasepak Malaysia sekali lagi layak ke Sukan Olimpik di Moscow tetapi kemudiannya memboikot tuan rumah Kesatuan Soviet akibat tekanan politik.


1986: Persatuan Bolasepak Wilayah Persekutuan dinamakan semula menjadi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Football Association).

1989: Pemindaan nama Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung kepada Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia.

1992: Kelab Bolasepak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ Football Club) ditubuhkan.

1993: Kedah Langkasuka FC atau lebih dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) FC merupakan pasukan kelab dari Malaysia yang pertama yakni bukan pasukan negeri yang bermain dalam Kejohanan Kelab Asia (sebelum dijenamakan semula menjadi Liga Juara-juara AFC) di edisi 1992-93.

1996: PKENJ FC diubah namanya menjadi Kelab Bolasepak Johor (Johor Football Club).

1999: Brunei menjuarai Piala Malaysia, satu-satunya pertandingan yang dimenangi pasukan jemputan tersebut sepanjang pembabitannya dalam Liga-M.

2000: Selain daripada persatuan-persatuan negeri, Piala Malaysia mulai dibuka kepada pasukan-pasukan kelab untuk masuk bertanding.

2003: MPPJ FC mencipta sejarah baharu apabila tampil sebagai pasukan kelab pertama dan bukan dari kalangan persatuan-persatuan negeri yang berjaya meraih kejuaraan Piala Malaysia.

2006: Pembubaran MPPJ FC pada 31 Ogos.

2005: Pahang tumpas 2-4 di tangan Tampines Rovers FC dari Singapura dalam perlawanan akhir Kejohanan Kelab ASEAN di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan pada 31 Julai.

2007: Kelab Bolasepak Felda United (Federal Land Development Authority United Football Club) ditubuhkan pada 19 Januari.

2008: Kedah menjadi pasukan yang pertama memenangi tiga kejohanan tempatan iaitu Piala Malaysia, Liga Super, dan Piala FA sebanyak dua kali berturut-turut pada musim 2006-2007 dan 2007-2008.

2010: Pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia dinobatkan sebagai jaguh nusantara buat kali pertama pada 29 Disember di Stadium Bung Karno, Jakarta apabila pasukan Indonesia dikalahkan 4-2 secara agregat untuk membawa pulang Piala AFF yang turut dikenali sebagai Kejohanan Bolasepak ASEAN.


2012: Johor FC membuat perubahan nama menjadi Kelab Bolasepak Darul Ta'zim (Darul Ta'zim Football Club).

2013: Penjenamaan semula melalui Southern Tigers Sdn Bhd menyebabkan Johor FA diturunkan status menjadi skuad simpanan bagi JDT FC sahaja dan mula disebut sebagai Johor Darul Ta'zim Football Club II. Johor Darul Ta'zim Football Club I adalah nama yang diberikan kepada pasukan kelab Darul Ta'zim FC.

2013: Melaka FA dijenamakan semula menjadi Melaka United Soccer Association.

2015: Kuching FA dihidupkan semula.

2015: Sejarah tercipta apabila JDT FC menumbangkan FC Istiklol dengan jaringan 1-0 untuk menjulang Piala AFC pada 31 Oktober di Stadium Pamir, Dushanbe. Sebagai rekod, ini merupakan pasukan pertama dari Malaysia yang memenanginya dan juga yang pertama dari rantau Asia Tenggara.

2016: JDT FC mencipta rekod sebagai pasukan yang pertama memenangi divisyen tertinggi Liga-M melebihi dua kali berturut-turut iaitu pada tahun 2014, 2015, dan 2016.

2018: Terengganu FA dipanggil Terengganu Football Club berikutan proses penjenamaan semula  manakala T-Team FC menjadi Terengganu FC II sebagai skuad simpanannya.

2018: Mohamadou Sumareh dari Gambia menjadi pemain naturalisasi yang pertama bagi skuad kebangsaan Malaysia dalam era moden. Dalam penampilan sulungnya yakni perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Sugathadasa, Colombo pada 12 Oktober, beliau turut menjaringkan 2 gol dengan keputusan akhir 4-1 berpihak kepada Malaysia.

2019: Selangor FA berubah menjadi Selangor Football Club apabila diserahkan pengurusannya kepada Red Giants FC Sdn Bhd pada 9 Oktober. Di samping itu, PKNS FC juga diambil alih untuk dijadikan sebagai skuad simpanan yang dinamai sebagai Selangor FC II (atau Selangor FC 2).

2021: Piala Malaysia atau nama lamanya, Piala Malaya menyambut ulangtahunnya yang ke-100.



Monday, January 20, 2020

Mengapa buang yang jernih, ambil yang keruh?

Dari 1982 hingga sebelum liga semi-pro dibentuk pada 1989, semua pasukan negeri bertanding dalam liga yang satu. Zaman semi-pro merupakan liga yang mula-mula sekali dipecahkan kepada dua divisyen. Apabila liga profesional diperkenalkan pada 1994, liga kembali disatukan selama empat musim sebelum dipecahkan kepada dua divisyen buat kali kedua yang bertahan sehingga kini. Hendak dijadikan cerita, Perlis telah disingkir hampir serta-merta dari Liga Premier pada tahun 2019. Tahun 2020, Sarawak hanya bertanding di Liga M3 manakala Melaka dan Kelantan pula nampaknya masih lagi terumbang-ambing nasibnya.

Tiadakah penaja yang lebih kaya daripada
syarikat rokok untuk menaja Liga-M?

Katakanlah sepuluh tahun lagi yakni tahun 2030, adakah kesemua pasukan-pasukan negeri bakal ditendang keluar dari Liga Super? Inikah yang pihak FAM dan MFL mahukan supaya pasukan-pasukan kelab seperti PJ City, Felda United, Sarawak United, Kelantan United, Manjung City, KT Rovers, Harini, Langkawi City, dan yang seangkatan dengannya sahaja yang mencabar JDT untuk kejuaraan liga yang paling penting di peringkat kebangsaan? Jika benar, ini umpama mahu menghidupkan balik Liga Nasional yang pernah wujud dan juga lenyap pada 1992. Betulkah mahu begitu?

Pasukan-pasukan di Liga Nasional, selain kelab Perbadanan Johor (Johor Corporation) yakni PKENJ yang menjadi JDT, mana yang lain?
  • Hong Chin SC
  • Muar FA
  • Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)
  • Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
  • Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
  • Bank Simpanan Nasional (BSN)
  • Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN/BERNAS)
  • Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB/CIMB)
  • Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad (PROTON)
  • Penang Port Commission (PPC/SPPP)
  • Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ/JCorp)

Juara Piala Malaysia tahun 2003, MPPJ FC. Juara Liga Perdana 2 tahun 2003, Public Bank FC. Juara Piala FAM tahun 2018, Terengganu City FC. Di mana mereka semua pada ketika ini? Ke mana perginya NS Chempaka? Sudah lupa jugakah apa yang terjadi kepada Marcerra Kuantan FA? FAM ada sekurang-kurangnya 14 ahli gabungan, tidak termasuk ATM, PDRM, MCFA, MISC dan PBMM. Kenapa tidak dipusatkan segala usaha kepada yang sedia ada terlebih dahulu? Kenapa tidak buang yang keruh, ambil yang jernih? Rugilah jikalau ambil yang keruh, buang yang jernih.

Tanpa boleh berselindung lagi, hendaklah diakui bahawa kebanyakan persatuan negeri mahupun pasukan kelab menghadapi masalah kewangan yang sangat kronik. Maka, tidak dapat tidak, FAM perlu mencari ikhtiar serta penyelesaian yang terbaik demi kelangsungan bolasepak negara. Ya, tanggungjawab ini perlu diselesaikan dulu sebelum ingin memikirkan tentang pengembangan liga, yakni penglibatan lebih banyak pasukan-pasukan bukan negeri. Banyak kelab, banyaklah masalah. Terlalu banyak kelab yang belum bersedia maka bayangkanlah betapa banyaknya masalah.

Oleh itu, dengan seikhlas hati ingin mencadangkan agar Liga-M diperkemaskan semula dengan mengumpulkan semua pasukan negeri dalam sebuah liga swasta yang betul-betul profesional. Yang paling kurang, kalau tidak ditubuhkan kelab pun, setidak-tidaknya pasukan-pasukan menggunakan nama negeri. Setiap negeri satu pasukan cukuplah, tidak perlu banyak-banyak. Sempena meraikan ulangtahun Piala Malaysia ke-100 pada 2021, apa salahnya. Kan? Apabila sudah stabil nanti, barulah tumpuan boleh terarah kepada apa yang teringin dilakukan seperti mana pada waktu ini, cuma tidak lagi dalam keadaan yang tergesa-gesa. Walaupun liga-liga sosial ataupun liga-liga komuniti semakin berkembang dengan rancaknya, biarlah ia terus berkembang. Janganlah diusik sembarangan sampai boleh merosakkannya pula.

NOTA: Sekadar cadangan, setiap persatuan negeri (Football Association) boleh sahaja mengekalkan nama asal dengan menubuhkan wakil negeri (Football Team) di bawah payung masing-masing tanpa berubah menjadi pasukan kelab (Football Club). Sebagai contoh, jika Johor FA yang mempunyai sejarah tersendiri boleh ditukar status menjadi skuad simpanan (Feeder Team) maka adalah tidak mustahil juga untuk dikembalikan status Johor / Johor FT sebagai pasukan wakil negeri di samping satu lagi wakil iaitu JDT FC.


Wednesday, January 1, 2020

Liga Malaysia dalam dekad 2010-an

Dari 2010 hingga 2019, sembilan pasukan telah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Tiga pasukan menjadi juara sebanyak dua kali manakala empat pasukan menjadi juara satu kali. Dua lagi tidak, hanya naib juara. Dalam tempoh sepuluh tahun, Kelantan dan JDT terikat sebagai yang terbaik di pertandingan tertua negara apabila masing-masing dengan dua kejuaraan serta sekali naib juara. Rekod kejuaraan piala paling berprestij tersebut bagi dekad 2010-an adalah seperti berikut:
  1. Kelantan - juara 2010 & 2012 (naib juara 2013)
  2. JDT - juara 2017 & 2019 (naib juara 2014)
  3. Pahang - juara 2013 & 2014
  4. Kedah - juara 2016 (naib juara 2015, 2017 & 2019)
  5. Negeri Sembilan - juara 2011 (naib juara 2010)
  6. Selangor - juara 2015 (naib juara 2016)
  7. Perak - juara 2018
  8. Terengganu (naib juara 2011 & 2018)
  9. ATM (naib juara 2012)

[kredit: astroawani.com]

Di Liga Super Malaysia iaitu divisyen liga kebangsaan yang teratas, JDT merupakan jaguh yang tidak boleh dipertikaikan dengan enam kejuaraan berturut-turut dari 2014 hingga 2019. Ini diikuti oleh Kelantan dengan dua kejuaraan, manakala Selangor dan LionsXII dari Singapura masing-masing sekali sahaja.

Di divisyen kedua pula, Liga Premier Malaysia mempunyai sembilan johan yang berbeza. Pasukan-pasukan tersebut adalah Felda United, PKNS, ATM, Sarawak, PDRM, Kedah, Melaka, Kuala Lumpur, dan Sabah. Felda United merupakan satu-satunya johan sebanyak dua kali, yakni pada 2010 dan 2018.

Terdapat dua belas pasukan yang pernah mara ke final Piala FA dengan tujuh daripadanya sempat muncul sebagai johan. Kelantan, Pahang, dan Kedah menang dua kali manakala Negeri Sembilan, Terengganu, LionsXII, dan JDT cuma sekali. Sime Darby, Felda United, PKNS, Selangor, dan Perak sekadar naib johan.

Pasukan JDT juga unggul dalam Piala Sumbangsih dengan empat kemenangan dan juga sekali di tempat kedua. Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, ATM, Pahang, dan Kedah menang satu kali sahaja. LionsXII dan Perak adalah dua pasukan yang turut bermain untuk Piala Sultan Haji Ahmad Shah tetapi tidak memenanginya.

Secara keseluruhannya, dekad kedua dalam abad ke-21 telah menyaksikan bahawa JDT mendominasi dunia bolasepak tempatan di samping turut mencipta sejarah gemilang apabila menjadi yang pertama dan satu-satunya setakat ini dari rantau Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC pada tahun 2015. Selepas menjadi wakil tunggal negara ke Liga Juara-juara AFC pada 2019, pasukan Permata Selatan akan sekali lagi bertandang untuk tahun baru 2020 pula.

Bagi dekad yang berikutnya, JDT dijangka terus cemerlang melainkan ada mana-mana pasukan yang cuba berusaha untuk membuat kejutan. Selangor sebagai pasukan tempatan yang paling berjaya dalam sejarah tanahair juga sudah semestinya mahu mengekang kemaraan pesaingnya itu, sebelum rekod-rekod yang dipegang sebelum ini menjadi lebur. Sekadar mengingatkan, berikut adalah rekod-rekod yang telah dicatat sehingga penghujung dekad 2010-an.

Piala AFC: JDT (1 kali)
Piala Malaysia: Selangor (19 kali)
Liga Super: JDT (6 kali)
Liga Premier: Kedah, PDRM & Felda United (2 kali)
Liga M3: Kelantan United (1 kali)
Liga M4: KSR SAINS (1 kali)
Piala Sumbangsih: Selangor (8 kali)
Piala FA: Selangor & Kedah (5 kali)
Piala Cabaran: TFC II & JDT II (1 kali)
Piala Presiden: Kelantan (7 kali)
Piala Belia: Selangor & Kelantan (2 kali)
Liga Tun Sharifah Rodziah: Sabah (11 kali)