Baiklah, ia tidaklah semudah itu. Mungkin penjelasan yang diberikan adalah terlalu ringkas. Memang tidak adil jika mengatakan bolasepak itu sesuatu yang tidak berguna ataupun sia-sia. Bukan, bukan itu maksudnya. Benar, bolasepak adalah suatu pekerjaan, satu sumber rezeki buat sekelompok manusia. Di luar negara, pendapatan yang diraih boleh jadi lumayan, tetapi dalam negara banyak betul kes berkenaan gaji yang tertunggak. Ya, bolasepak boleh mengajarkan tentang konsep kerja berpasukan, disiplin, dan sebagainya, namun ramai sungguh bekas pemain yang dibiarkan bergelut hingga ke hari tua.
Kelahiran pada tahun yang berbeza tetapi lebih kurang sama sahaja sebenarnya. (gambar: Google) |
Kalau tidak silap, bintang ternama seperti David Beckham memulakan langkah awal ke alam bolasepak sejak umur 10 tahun, iaitu apabila beliau memasuki Bobby Charlton Soccer School di Manchester. Lionel Messi pula lebih muda daripada itu, dia sudah pun bermain untuk kelab Abanderado Grandoli di Rosario ketika baru berusia 4 atau 5 tahun sahaja. Di Malaysia, yang mahir bermain bolasepak di sekolah rendah belum tentu akan sambung bermain secara aktif di sekolah menengah. Andai kata pernah sampai mewakili negeri sekalipun, belum pasti seseorang itu akan berjaya dengan senang jika mahu mencuba nasib dalam usaha menjadikan bolasepak sebagai kerjaya.
Program-program televisyen realiti, akademi-akademi bolasepak swasta, sekolah-sekolah sukan, mahupun Program Pembangunan Bolasepak Negara yang termasuklah Akademi Tunas dan Pusat Latihan Daerah, di samping pelbagai pertandingan seperti Kejohanan Bolasepak MSSM, Liga Bolasepak KPM, Liga Bolasepak IPT, Piala Emas Raja-raja, Sukma, dan beberapa lagi adalah sangat bagus tetapi belum cukup bagus nampaknya. Hanya segelintir sahaja, itupun jika ada, anggota skuad Piala Belia atau Piala Presiden yang diserap masuk untuk bermain bersama pasukan utama. Di tambah pula dengan lambakan pemain import yang selalunya tidaklah sehebat mana, adakah masih lagi menjadi misteri mengapa pasukan Harimau Malaya seolah-olah kekurangan bakat yang menyinar?
Berkali-kali dan berulang kali, ketumpulan penyudah di bahagian serangan skuad kebangsaan dikatakan sering menjadi masalah. Puncanya apa? Bahagian pertahanan tidak payah sebutlah, kata mereka yang pesimis. Walau bagaimanapun, masalah yang paling besar pun boleh sahaja dilupakan seketika jikalau menang sesuatu perlawanan. Namun, entah bagaimana masalah-masalah lain turut sama dibangkitkan sekiranya gagal mencapai kemenangan. Tidak sudah-sudah macam tiada berpenghujung. Rasanya, sudah tiba masanya bagi golongan yang mudah berputus asa untuk meninggalkan terus bolasepak tempatan yang kononnya "entah apa-apa". Tonton sahajalah pasukan dan liga luar negara. Biarkan yang tetap teguh dan setia sahaja yang menyokong industri bolasepak tanahair tercinta.
No comments:
Post a Comment