London adalah ibu negara bagi United Kingdom dan merupakan bandar yang terbesar di England. Walaupun London Football Association (London FA) telah ditubuhkan sejak tahun 1882, lebih kurang 19 tahun selepas tertubuhnya The FA (English FA), tiada pasukan yang namanya "London" dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Yang ada cumalah pasukan-pasukan seperti Arsenal FC, Chelsea FC, Tottenham Hotspur FC, Fulham FC, dan sebagainya yang berpangkalan di sekitar kota London. London FA mungkin sekali-sekala sekadar boleh berbangga apabila mengenangkan wakilnya iaitu pasukan London XI pernah jua muncul naib johan kepada FC Barcelona dalam Inter-Cities Fairs Cup tahun 1958.
London FA ada, London FC tiada. (kredit: blog.az.co.uk) |
Pada tahun 1886, pasukan bolasepak Dial Square telah dibentuk dengan diberi nama sempena bengkel tempat kerja para pemainnya. Ia kemudiannya menukar nama kepada Royal Arsenal FC, sebelum menjadi kelab profesional yang pertama di London pada 1891. Dua tahun selepas itu, namanya diubah lagi kepada Woolwich Arsenal FC setelah berkembang menjadi syarikat liabiliti terhad. Hampir sahaja muflis pada 1910, ia sempat berpindah dari Manor Ground di Plumstead (bukannya Oxford) ke sebuah stadium di Highbury pada 1913. Tahun 1914, namanya diringkaskan menjadi The Arsenal, sebelum hanya disebut Arsenal seperti yang dikenali pada hari ini semenjak 1919. Pada 2006, mereka berpindah pula ke Ashburton Grove dan menamakan stadium terbaru mereka sebagai Emirates Stadium.
Liga-M (M-League), atau kini mahu dijenamakan semula sebagai Malaysian Football League (MFL), secara rasminya diasaskan pada tahun 1982. Piala Malaysia pula mendapat namanya yang dipanggil sehingga ke hari ini bermula tahun 1967, namun sejarah asalnya adalah sejak 1921 lagi. 1988 merupakan tahun akhir bagi Piala Borneo, apabila Sarawak FA, Sabah FA, dan juga Brunei selanjutnya bertanding untuk merebut Piala Malaysia pula. Brunei dan Singapura kini sudah tidak terlibat tetapi pasukan-pasukan persatuan negeri sekarang mempunyai pasukan-pasukan kelab sebagai pesaing baharu. Liga Nasional dan Liga Bolasepak Rakyat, yang mana masing-masing diperkenalkan pada 1992 dan 2015, sudah pun terkubur namun semangatnya seperti masih ada.
Selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cuba menswastakan penganjuran liga melalui MSL Sdn. Bhd. pada 2004, dan FMLLP (kini MFL) mulai 2015, boleh dikatakan hanya satu atau dua sahaja yang dilihat sebagai pasukan yang benar-benar profesional. Selangor MPPJ FC (MBPJ FC) secara agak mengejut menjuarai Piala Malaysia musim 2003, tetapi sudah tidak nampak lagi batang hidung. Malaysian Indian FA (MIFA) mungkin belum memenangi sebarang kejuaraan namun pelbagai kemungkinan yang menarik semakin dekat untuk dicapai apabila QNET (Qnet Ltd) telah mentransformasi mereka menjadi PJ City FC. Namun begitu, sebuah kelab yang dahulunya dimiliki oleh PKENJ (JCorp) sudah tentunya yang paling menyerlah sekali.
Tidak cukup dengan Southern Tigers Sdn. Bhd., Yayasan JDT juga dibangunkan supaya dapat memperkukuhkan tapak berdirinya pasukan berwajah baru, Johor Darul Ta'zim FC (JDT I). Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) turut sama tersenyum lebar biarpun bekas juara Piala Malaysia, Johor FA (JDT II) bukan lagi pasukan utama serta tersangkut di divisyen kedua. Memandangkan pencapaian JDT FC setakat ini begitu mengagumkan, maka selamat tinggal sejarah lama, selamat datang sejarah baru. Liga Super sudah berkali-kali. Piala Malaysia sudah, kejohanan benua peringkat rendah pun sudah. Kalaulah boleh genggam Liga Juara-juara, Piala Dunia Kelab pula akan dijadikan sasaran. Selangor FA (Selangor FC) boleh mencabar, yang lain-lain juga boleh mencabar, kecuali Perlis FA yang entah ke mana kian menghilang. Semoga dapat pulang ke pangkal jalan.
No comments:
Post a Comment