Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Tuesday, July 7, 2020

Satu palang, dua tiang.

Alex Ferguson dan Arsène Wenger adalah contoh dua nama yang begitu dikenali dalam sukan bolasepak. Kedua-duanya sangat masyhur. Bukan sebagai pemain bolasepak yang ternama tetapi hanya sebagai pengurus, yang kalau di Malaysia disebut sebagai ketua jurulatih walaupun tugas seorang pengurus sebenarnya lebih luas. Bermula sebagai penterjemah, José Mourinho juga adalah seorang lagi pengurus yang menakjubkan, namun Zinedine Zidane nampaknya lebih berjaya menonjolkan diri bukan sahaja sebagai seorang pemain lagenda bahkan juga seorang pengurus yang amat berwibawa.

Rinus Michels dengan Total Football, Helenio Herrera dengan Catenaccio, Pep Guardiola dengan Tiki-taka, manakala Jürgen Klopp dengan Gegenpressing. Kesemua mereka dan yang lain-lain telah membuktikan bahawa dalam dunia bolasepak, bukan para pemain yang menendang bola sahaja yang boleh meraih kejayaan. Malah, hendaklah turut difahami bahawa bukanlah si penyerang sahaja yang berupaya membuatkan namanya harum, mana-mana pemain di posisi yang lain pun sama mampu termasuklah yang berdiri di antara dua tiang gol.

Sesetengah pihak mungkin menganggap penjaga gawang adalah peranan yang paling kurang digemari terutamanya berbanding dengan pemain penyerang yang lebih terserlah. Mengawasi di belakang tidak glamor kononnya. Dari satu sudut, memang ada benarnya. Ini kerana dalam permainan bolasepak, kemenangan setelah wisel penamat ditiupkan dikira berdasarkan jumlah jaringan gol. Boloslah berapa banyak gol pun, asalkan gol ke atas pihak lawan lebih banyak maka menang tetap menang. Bolos lebih bererti kalah.

Justeru, biarpun penjaga gol membuat berbelas-belas ataupun berpuluh-puluh tepisan, dia akan tetap diherdik dengan sepuas-puasnya kerana melepaskan walaupun satu gol sahaja. Apatah lagi jikalau gol yang satu itu menyebabkan tertewasnya sesuatu perlawanan. Berbeza dengan pemain-pemain yang tidak memakai sarung tangan, menjaringkan satu gol pun sudah cukup untuk diangkat sebagai wira. Dia akan dikenang sampai bila-bila, lebih istimewa sekiranya gol yang sukar atau cantik dapat dijaringkan.

Chilavert, pakar bola mati walaupun menjadi penjaga gol.
(gambar: fifa.com)

Inilah lumrah kehidupan seorang penjaga gawang. Mungkin sudah tiba masanya bagi pemakai jersi yang lazimnya bernombor 1 dari seluruh dunia mula meniru sedikit sebanyak gaya pemain-pemain seperti Rogèrio Ceni, Josè Luis Chilavert, Renè Higuita, Hans-Jörg Butt, mahupun Peter Schmeichel. Selamatkanlah seberapa banyak gol tetapi cuba jaringkan juga sebanyak mana gol yang mungkin. Gol sendiri tidak payahlah. Jaringan-jaringan melalui sepakan penalti sudah memadai jika tidak berani mengambil sepakan percuma yang berhampiran dengan gol lawan.

Sungguhpun begitu, penjaga gol tetap perlu menjaga gol. Pemain lagenda dari Argentina iaitu Amadeo Carrizo, yang dikatakan pertama sekali memulakan pemakaian sarung tangan, tetap cemerlang di hadapan gol. Lev Yashin dari negara yang pada zamannya dipanggil Kesatuan Soviet (USSR/CCCP), atau sekarang ini ialah Rusia, seringkali pula diiktiraf sebagai penjaga gol yang terhebat yang pernah tampil dalam sejarah. Amadeo dan Yashin, Ubaldo Fillol dan Rinat Dasayev, di samping beberapa pemain lain, menjadi penyambung penting antara yang lama dengan yang baru.

Walaupun nama-nama seperti Herbie Arthur, Leigh Richmond Roose, Sam Hardy, Pierre Chayriguès, Heinrich Stuhlfauth, Franjo Glaser, dan Frank Swift jarang didengar, mereka adalah bukti bahawa penjaga gawang sejak dahulu adalah sama penting jika tidak lebih penting daripada sepuluh rakan sepasukan yang lain. Tanpa mereka, tiadalah kemenangan mahupun kejayaan. Jika ramai yang mengagumi Gianluigi Buffon, Iker Casillas, dan Petr Čech, sayangnya kurang pula yang mengenali Ricardo Zamora, Gianpiero Combi, dan František Plánička. Walhal, mereka ini jugalah yang wajar dikenang. Bukan Ray Clemence, Peter Shilton, David Seaman, Paul Robinson, Joe Hart, dan Jordan Pickford sahaja yang diingati.

Banyak lagi nama, antaranya Gyula Grosics, Vladimir Beara, Gylmar dos Santos Neves, Gordon Banks, Dino Zoff, Sepp Maier, Oliver Kahn, Vítor Baía, Edwin van der Sar, Dida, Júlio César, dan Víctor Valdés merupakan nama-nama hebat sebelum munculnya Manuel Neuer, Hugo Lloris, Fernando Muslera, Igor Akinfeev, David Ospina, Francisco Guillermo Ochoa, David de Gea, Marc-André ter Stegen, Thibaut Courtois, Alisson Becker, Ederson Santana de Moraes, Jan Oblak, dan sebagainya. Di Malaysia sendiri, Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat, dan Khairulazhan Khalid nampaknya masih lagi bersaing bagi meneruskan tradisi Sexton Lourdes Doss, Chow Chee Keong, Arumugam Rengasamy, Khairul Azman Mohamed, serta Syamsuri Mustafa. Hampir pasti, selepas ini ramai lagi yang akan menyusul.


No comments: