Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Tuesday, June 30, 2020

Dari jaguh kampung hingga bertaraf dunia

Nottingham Forest FC adalah sebuah kelab yang pernah muncul juara England musim 1977-78, malah pernah juga menjadi juara Eropah bagi dua musim berturut-turut iaitu pada 1978-79 dan 1979-80. Pencapaian hebat tersebut berlaku semasa Forest di bawah kendalian Brian Clough serta pembantunya, Peter Taylor. Bekas pemain antarabangsa England, Jermaine Jenas merupakan seorang anak jati Nottingham yang memulakan kariernya di kelab ini. Walaupun tidaklah dianggap berkelas dunia, sekurang-kurangnya Jenas sempat juga mencipta nama melangkaui peringkat rantau dan sampai peringkat benua.

Persoalannya, bolehkah seorang jaguh kampung menjadi pemain bolasepak yang bertaraf dunia? Sudah tentu boleh. Kalau bukan jaguh kampung pun boleh. Pada zaman sekarang, kalau tidak di atas padang, di dalam permainan video pun boleh. Dengan izin Tuhan, tiada apa yang mustahil. Kejayaan mahupun kegagalan semuanya sudah tertulis. Terpulanglah kepada kita bagaimana mahu melihatnya. Separuh penuh atau separuh kosong. Penuh atau kosong, kosong atau penuh.

Bolasepak sememangnya diminati ramai walaupun ada juga yang tidak meminatinya. Tidak mengapalah, hak masing-masing. Memang tiada masalah. Namun, ada pula yang terlalu taksub sehingga dikatakan gila. Bukan setakat gila bola, tetapi sudah obses, fanatik, dan mania. Bagi individu yang beragama, tidak seharusnya jadi sampai begitu. Jika batas-batas yang ada dijaga betul-betul, rasanya tidak perlu pun melampau. Cukup sekadar tidak lalai terhadap perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilalaikan. Syukur nikmat, bukannya kufur nikmat.

One United City?
(gambar: Google)

Setiap orang mempunyai pelbagai tanggungjawab, dan sudah pasti akan dipertanggungjawabkan atas setiap perlakuannya. Peranan antara satu sama lain mungkin berbeza-beza, tetapi semua manusia sama sahaja kehendaknya. Hendak yang baik, tidak hendak yang buruk. Sekiranya ada sesiapa yang masih hendakkan yang tidak baik, maka yang buruk itu akan pulang kepada dirinya dan bukannya kepada orang lain. Beringat sebelum terlambat. Takut-takut apabila nyawa sudah sampai ke tengkuk, segah-gah Firaun pun tidak jamin selamat.

Memetik lirik Malique Too Phat, bukan berkhutbah cuma betuli diri jua. Kalau dunia ini pun hanya sementara, bukankah bolasepak lebih sementara? Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Mahu jadi seperti Marco Materazzi, atau Zinedine Zidane? Luke Chadwick ataupun David Beckham? Ronaldo ke, Ronaldinho? Takpun.. Neymar? Kalau nama sudah diberi sejak lahir, kenapa pula mahu tukar jadi orang lain. Jadi sahajalah diri sendiri. Tengok Safawi Rasid (SR11), walaupun namanya mempunyai dua huruf awal yang sama dengan Safiq Rahim (SR8), dia tetap mahu mengekalkan identitinya sendiri.

Nama dan identiti itu sememangnya penting, tetapi yang lebih penting adalah berbudi. Menyumbang kebaikan sebanyak yang mungkin namun pada masa yang sama, lebih menghargai jasa orang lain. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Buat elok, dapat elok. Buat tak elok, dapat tak elok. Kesimpulannya, apa-apa pun buatlah elok-elok, asalkan jangan buat benda yang tak elok. Yang untung kita, tapi kalau rugi pun kita kalau tak berhati-hati. Ingat tu.

Sekian, wassalam.


No comments: