2020 adalah tahun yang sangat mencabar tetapi tidaklah sampai begini teruknya. (gambar: Google) |
Sebab itulah, setakat tahun 2020, tidak boleh dinafikan bahawa empat negara iaitu Amerika Syarikat, Norway, Jerman, dan Jepun adalah juara dunia dalam sukan bolasepak. Itu adalah fakta. Mereka adalah juara Piala Dunia Wanita. Selain negara-negara tersebut, empat buah negara lagi iaitu China, Sweden, Brazil, dan Belanda pula turut pernah bermain dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita.
Selain itu, Amerika Syarikat, Jerman, dan Jepun juga adalah juara Piala Dunia Wanita B-20. Begitu juga dengan Korea Utara. Kanada, China, Nigeria, Perancis, dan Sepanyol pula sekadar pernah menduduki tempat kedua. Bagi Piala Dunia Wanita B-17 pula, senarai juaranya ialah Korea Utara, Korea Selatan, Perancis, Jepun, dan juga Sepanyol, manakala Amerika Syarikat dan Mexico hanya pernah muncul naib juara.
Uruguay, Itali, Jerman Barat, Brazil, England, Argentina, Perancis, dan Sepanyol adalah pemenang Piala Dunia, tetapi cuma satu negara yakni Jerman yang pernah memenangi kedua-dua Piala Dunia dan juga Piala Dunia Wanita. Boleh dikatakan lapan negara tersebut sahaja dianggap sebagai kuasa besar bolasepak dunia walaupun Kesatuan Soviet, Yugoslavia/Serbia, Portugal, Ghana, dan Ukraine, di samping Argentina, Jerman Barat, Brazil, Sepanyol, Perancis, serta England, pernah menjuarai Kejohanan Belia Dunia atau kini disebut Piala Dunia B-20.
Sayang sekali bagi negara-negara seperti Czechoslovakia, Hungari, Sweden, Belanda, dan Croatia. Hanya selangkah sahaja lagi untuk menyertai negara-negara kuasa besar namun apakan daya, mereka tersungkur di perlawanan akhir Piala Dunia. Uruguay dan Itali belum lagi memenangi Piala Dunia B-20, tetapi Uruguay sekurang-kurangnya pernah ke final, sama seperti Mexico, Qatar, Nigeria, Jepun, Republik Czech, Venezuela, dan Korea Selatan.
Di samping itu, Piala Dunia B-17 atau dahulunya Kejohanan Dunia B-16 menyenaraikan Nigeria, Kesatuan Soviet, Arab Saudi, Ghana, Brazil, Perancis, Mexico, Switzerland, dan England sebagai pasukan-pasukan yang pernah dinobatkan sebagai juara. Senarai naib juara Piala Dunia B-17 yang belum menjadi juara pula ialah Jerman Barat, Scotland, Sepanyol, Australia, Uruguay, dan Mali.
Bagaimana dengan Malaysia? Satu-satunya kejuaraan terbesar yang diperoleh setakat ini hanyalah di peringkat rantau apabila muncul johan dalam Kejohanan Bolasepak ASEAN pada 2010 yang lalu. Pasukan wanitanya pula belum pernah merasai tempat pertama dalam mana-mana pertandingan atau peringkat apa sekalipun. Selain enam pingat emas Sukan SEA dan tiga kali naib juara Kejohanan AFF pada 1996, 2014, dan 2018, skuad yang digelar Harimau Malaya cuma boleh berbangga dengan dua lagi pingat gangsa Sukan Asia pada 1962 dan 1974.
Lain-lain kejuaraan bagi Malaysia masih di peringkat Asia Tenggara walaupun untuk tahap umur yang berbeza. Antaranya ialah Kejohanan B-18 AFF pada 2018, serta Kejohanan B-15 AFF pada 2013 dan 2019. Di peringkat benua Asia, yang paling tinggi pernah diraih adalah di Kejohanan B-19 AFC apabila tiga kali menjadi naib johan iaitu pada 1959, 1960, dan 1968.
Oleh sebab sedikitnya pencapaian di peringkat antarabangsa, maka kelayakan ke Sukan Olimpik pada 1972 dan 1980 seringkali disebut-sebut. Hinggakan Sukan Olimpik 1980 yang telah diboikot itupun, kadangkala lebih dibanggakan berbanding kelayakan ke Piala Asia tahun 1976, 1980, dan 2007. Oleh yang demikian, para penyokong serta rakyat Malaysia umumnya harus sedar dan terima kenyataan. Menerima kenyataan bahawa perjalanan bolasepak Malaysia masih jauh dan berliku-liku.
No comments:
Post a Comment