Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Saturday, October 2, 2021

Malaysia dan bolasepak Asia

Pada abad ke-20, nama-nama negara seperti Malaya atau Tanah Melayu (kini sebahagian daripada Malaysia), Hindia Timur (Indonesia), Siam (Thailand), Burma (Myanmar), Kampuchea (Kemboja), Parsi (Iran), Formosa (Taiwan atau Taipei Cina), dan Ceylon (Sri Lanka) masih lagi kedengaran. Malah, terdapat dua Yaman dan dua Vietnam iaitu Yaman Utara, Yaman Selatan, Vietnam Utara, serta Vietnam Selatan. Memasuki abad ke-21, tatkala Kesatuan Soviet telah pun menjadi Rusia dan Yugoslavia hanya tinggal Serbia, Timor Timur pula sekarang ini dikenali dengan nama Timor-Leste. Sayangnya, macam-macam sudah berlaku tetapi Palestin sebagai contoh, masih belum merdeka dan terus ditindas sehingga kini.

Piala Dunia kedua di Asia selepas Korea Selatan dan Jepun
menjadi tuan rumah bersama adalah di Qatar pada tahun 2022.
(gambar: RAR/duniabolasepak)

Sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan juga sebelum Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1965, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah mengambil alih tampuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaya (FAM) pada 1951 sebagai presiden. Kemudian, pada 7 Mei 1954 di Manila, Gabungan Bolasepak Asia (AFC) mula diasaskan oleh Afghanistan, Burma, Republik China (bukan Republik Rakyat China), Hong Kong, Iran, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, Filipina, Singapura, Vietnam Selatan, dan satu lagi entiti yang kini sudah menyertai Kesatuan Persatuan-persatuan Bolasepak Eropah (UEFA). Selanjutnya pada 31 Januari 1984, Persekutuan Bolasepak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (AFF) pula ditubuhkan di Jakarta.

Entiti yang merupakan salah satu pengasas AFC tetapi kini secara rasmi berada dalam UEFA sejak 1992 itu asalnya disebut sebagai "Palestin Mandatori" semenjak 1928. Penjajah Zionis menukar namanya kepada "Israel" pada tahun 1948 sebelum Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) dipisahkan daripadanya pada tahun 1962. Apabila Kesatuan Persatuan-persatuan Bolasepak Arab (UAFA) diwujudkan pada 1974, PFA turut menganggotainya. Walau bagaimanapun, hanya setelah Pihak Berkuasa Palestin (di Genting Gaza dan Tebing Barat) terbentuk pada 1994 dan pasukan bolasepak Palestin pula akhirnya diiktiraf sebagai ahli Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 1998, barulah Palestin semacam sekali lagi diterima masuk ke dalam AFC dan seterusnya menyertai juga Persekutuan Bolasepak Asia Barat (WAFF).

Apa yang pelik, "Israel" sebenarnya bukan nama asing dalam lembaran sejarah bolasepak Malaysia mahupun Malaya. Meskipun tidak pernah terjalin hubungan diplomatik antara kedua pihak namun sukan bolasepak rupa-rupanya sedikit sebanyak telah mengaburkan ketegangan geopolitik sebaik sahaja berlakunya pertembungan di atas padang. Sebelum dan selepas perlawanan, itu soal lain. Semasa Malaysia layak ke Olimpik 1972 di Munich (Jerman Barat), Perang Vietnam masih lagi berjalan dan tiada pula protes terhadap mana-mana negara. Namun, apabila Malaysia layak ke Olimpik buat kali kedua pada kejohanan 1980 di Moscow, boleh pula boikot dan melepaskan peluang untuk cuba meraih pingat. Sekiranya pendirian dalam sesuatu perkara adalah untuk keadilan sejagat dan bukannya kerana berpihak kepada pihak yang tertentu, maka muhasabah perlu dilakukan supaya masa depan rakyat serta negara lebih terjamin.

Terjamin bagaimana? Pertama sekali, setiap tindakan yang mahu diambil mestilah dilakukan secara berhati-hati. Berhati-hati bukan sekadar untuk mengelak daripada mengguris hati orang lain tetapi juga memastikan agar hati sendiri pun tidak terluka. Tindakan yang diambil pula haruslah berdasarkan maklumat yang cukup tepat dan paling kurang terdedah kepada anasir-anasir yang merosakkan. Cuba meneka apa yang bakal berlaku pada masa hadapan hanyalah suatu spekulasi, sebab itulah pelbagai peristiwa sejarah silam muncul sebagai sumber yang sangat berguna untuk dijadikan pedoman. Tidak kiralah bak kata pepatah atau tidak, sejarah itu berulang-ulang. Hanya masa, tempat, serta wataknya sahaja yang berbeza. Dengan izin Tuhan, sejarah akan terus berulang selagi mana tindakan yang diambil adalah sama. Cuma, hendaklah apa-apa tindakan yang dilaksanakan itu baik dan bukan sebaliknya.


Kronologi ringkas bolasepak tanahair dengan "Palestin Mandatori":

  • 1954, 7 Mei - "Israel" dan 13 negara mengasaskan Gabungan Bolasepak Asia (AFC)
  • 1967, 19 Disember - FA Selangor tumpas 1-2 kepada Hapoel Tel Aviv FC dalam perlawanan akhir edisi pertama Kejohanan Kelab Juara Asia di Bangkok
  • 1973, 19 Mei - Malaysia tewas 0-3 kepada "Israel" dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 1974 di Seoul
  • 1974, 3 September - Malaysia tewas 3-8 kepada "Israel" dalam Sukan Asia di Tehran, Iran
  • 1992, 19 Disember - Liverpool FC membatalkan cadangan lawatan ke Malaysia selepas Ronny Rosenthal tidak diberi keizinan masuk
  • 2008, 29 Julai - Avram Grant dan Tal Ben Haim mendapat bantahan yang keras sebelum mereka tidak hadir secara kebetulan sahaja dalam kemenangan Chelsea FC 2-0 ke atas Malaysia XI
  • 2011, 21 Julai - Malaysia XI kalah 0-1 kepada Chelsea FC yang turut dibarisi Yossi Benayoun
  • 2013, 26 Mac - Pasukan Palestin menang 2-0 ke atas skuad Harimau Malaya dalam perlawanan amal antarabangsa di Stadium Darul Makmur, Kuantan
  • 2015, 16 Jun - Malaysia dibelasah 6-0 oleh Palestin dalam perlawanan Kumpulan A, kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil
  • 2016, 9 Ogos - Fédération Internationale de Football Association (FIFA) bersetuju dengan pembatalan tuan rumah kongres tahunan ke-67 yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur pada 2017 selepas pihak berkuasa Malaysia enggan memberikan visa kepada perwakilan "Israel" atas faktor keselamatan
  • 2021, 22 September - Andrea Lee dan Steffi Sarge Kaur menghadiahkan Malaysia kemenangan 2-0 ke atas Palestin dalam pusingan kelayakan Piala Wanita Asia AFC di Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini di Al-Ram, Baitulmaqdis



No comments: