Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, December 9, 2021

Ulangtahun Pesta Bola Merdeka ke-65

Lebih 60 tahun dahulu, penduduk semenanjung Tanah Melayu akhirnya bebas daripada sebarang belenggu penjajahan jasmani apabila bendera Union Jack diturunkan secara rasmi dan digantikan pula dengan bendera yang sekarang ini sudah masyhur namanya sebagai Jalur Gemilang. Selepas ditindas dan dipijak-pijak secara bersilih ganti bermula daripada jatuhnya Kesultanan Melaka di tangan Peringgi hinggalah hilangnya British Malaya dari muka Bumi, kini telah bangkitlah tanahair yang merdeka dan berdaulat.

Tiada lagi Syarikat Hindia Timur Inggeris, tiada juga Pentadbiran Tentera British mahupun Malayan Union. Tanggal 31 Ogos tahun 1957, menjadi tarikh keramat buat negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya berganding bahu bersama-sama Singapura, Sarawak, dan Borneo Utara untuk membentuk gagasan yang lebih besar, Persekutuan Malaysia. Sarawak kekal dengan namanya, Borneo Utara sudah menjadi Sabah, namun sayangnya Singapura pula telah dipisahkan dengan sempadan antarabangsa buatan manusia. Mujurlah adanya Persatuan Negara-negara Asia Tenggara sebagai jambatan untuk menjalinkan persahabatan di peringkat serantau.

 


Stadium Merdeka yang terletak di ibu negara yakni Kuala Lumpur menjadi saksi laungan "Merdeka" oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang diiringi gema laungan yang disambut oleh sekalian rakyat jelata. Pelbagai acara istimewa selama beberapa hari dimeriahkan bagi meraikan kemerdekaan pada Hari Kebangsaan, dan Pesta Bola Merdeka merupakan salah satu daripadanya. Pesta Bola Merdeka dari awal adalah sebuah kejohanan bolasepak berasaskan jemputan kepada sebilangan pasukan luar negara dan seharusnya diadakan di mana lagi kalau bukan Stadium Merdeka.

Merentas masa ke zaman semasa, Malaysia pada dasarnya berjaya dari segi mengekalkan kemerdekaan walaupun dilihat gagal dalam aspek menjadi sebuah negara maju keseluruhannya. Ia terus berada pada tahap sedang membangun sahaja. Aspirasi status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 tidak mampu dicapai bukan kerana wabak penyakit tetapi lebih disebabkan oleh penyakit hati yang berleluasa. Maka, tidak hairanlah kejohanan bersejarah seperti Pesta Bola Merdeka kali terakhir diadakan pada 2013 dan boleh jadi masih tidak akan diadakan walaupun bakal memasuki ulangtahunnya yang ke-65 pada 2022.

Keutamaan telah berubah kononnya menjadi alasan. Oh, layak ke Sukan Olimpik lebih penting walhal sejak 1992 acara bolasepaknya telah pun ditetapkan untuk umur bawah 23 tahun dan hanya membenarkan tiga pemain lebih umur sahaja semenjak 1996. Bagaimana dengan Piala Asia? Ah, sembang memang kencang. Tahun 2007, negara menjadi tuan rumah bersama tiga negara jiran yang lain dan sebelum itu hanya pernah layak dua kali iaitu pada 1976 dan 1980. Namun, sudahlah skuad kebangsaan mempamerkan persembahan yang mengecewakan, malangnya turut memalukan apabila kurangnya kehadiran penonton seolah-olah pertandingan bolasepak sekolah lebih menarik.

Malaysia sudah pun tersingkir daripada saingan kelayakan ke Piala Dunia 2022 di Qatar, namun masih berpeluang untuk layak ke Piala Asia 2023 di China. Untuk itu, semoga berjaya dan lakukanlah yang terbaik. Harapan penyokong serta peminat hanyalah yang baik-baik. Tatkala Merdeka 118 milik Permodalan Nasional Berhad berdiri megah sebagai menara kedua tertinggi di dunia, entah apalah nasib Stadium Merdeka agaknya. Setakat baik pulih sahajakah? Adakah nanti mahu dimusnahkan atau dinaik taraf? Mungkinkah bakal jadi seperti Stadium Wembley, dirobohkan dan diganti dengan yang baru? Ataupun, hendak dibiarkan begitu sahaja? Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Bukankah Stadium Merdeka dan Pesta Bola Merdeka itu saling berkait, jika bukan sinonim?

 

 

No comments: