Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, December 15, 2021

Cadangan: Piala Abdul Ghani Minhat

Hampir tiada apa yang percuma. Kalau ada yang percuma, bermakna harga yang perlu dibayar ditanggung oleh seseorang yang memberi kepada penerima. Itu kalau melibatkan wang atau harta benda. Sekiranya bercerita tentang alam semula jadi maka ya, Tuhan yang Maha Pencipta telah menyediakan segala-galanya buat seluruh alam. Apabila menghirup udara, oksigen adalah percuma. Apabila hujan turun, airnya adalah percuma. Apabila pohon berbunga, keindahannya adalah percuma. Apabila matahari terbit, sinarannya adalah percuma. Cuma, terpulanglah kepada kita sebagai manusia bagaimana dan sebanyak mana mahu bersyukur. Lebih banyak bersyukur maka bertambah lebihlah nikmat daripadaNya.

Selain itu, ada masanya idea juga percuma. Seperti mana perkara-perkara yang lain, yang percuma itu belum tentu baik dan belum tentu juga tidak baik. Haa, itu baru mukadimah. Selepas perenggan pengenalan dan kata pengantar, karangan memerlukan isi. Maka, apakah isi utama yang hendak disampaikan? Jika dilihat pada tajuknya, ini adalah sebuah cadangan. Cadangan untuk mewujudkan satu piala untuk dijadikan rebutan bagi yang bertanding. Bukankah sudah ada Liga Super, Piala Malaysia, Liga Juara-juara Asia, dan seumpamanya? Malah, Pesta Bola Merdeka pun ada. Pertandingan apa pula nak buat ini? Baiklah, ini bukan sebarang pertandingan. Ini adalah buah fikiran bagi menyelesaikan suatu permasalahan. Bukan masalah besar pun, hanya masalah bolasepak tanahair.

Masalah apa yang dimaksudkan ini? Masalahnya ialah masalah yang agak membimbangkan dan sudah berlangsung sejak sekian lama. Yakni, kelemahan pihak pengurusan serta para jurulatih kebangsaan untuk mengenal pasti dan memilih pemain-pemain yang terbaik untuk mewakili negara. Adakah ini bermakna selama ini apa-apa yang telah dilakukan dianggap sebagai suatu kekurangan dan tiada langsung yang memberikan kelebihan? Bukan, penyataan yang awal tadi tidak sepatutnya disalahertikan. Fahamilah bahawa masalah sentiasa ada dan tanpa masalah maka tiadalah kerja. Memandangkan setiap hari ada sahaja masalah maka kerja yang perlu dilakukan adalah menyelesaikan masalah. Jika masalah diabaikan ataupun dibiarkan bertangguh, jarang sekali masalah dapat diselesaikan dengan sendirinya melainkan terdapatnya bantuan atau pertolongan.

Apakah hujah bahawa kelemahan yang disebutkan memang betul-betul ada dan bukannya sekadar omong kosong? Untuk rekod, pasukan senior lelaki (mahupun wanita) kebangsaan yang mewakili skuad Harimau Malaya belum pernah menjuarai sebarang kejohanan bolasepak antarabangsa yang khusus kecuali satu sahaja setakat ini iaitu Piala AFF pada tahun 2010. Selain daripada Pesta Bola Merdeka dan beberapa pingat emas Sukan SEA, kejuaraan yang dimiliki hanyalah di peringkat bawah umur (seperti Kejohanan Bawah-18 AFF & Kejohanan Bawah-15 AFF) dan juga kejohanan bolasepak pantai serantau. Belum ada pingat emas Sukan Asia, apatah lagi Sukan Olimpik. Belum lagi menjadi juara Piala Asia AFC, malah tidak sempat juga bermain di Piala Konfederasi-konfederasi FIFA yang telah pun ditiadakan. Terdapat sekurang-kurangnya tiga kategori umur untuk Piala Dunia, hanya satu (kalau tidak termasuk Piala Dunia Futsal FIFA 1996) yang pernah layak dan itupun sebagai tuan rumah (Piala Dunia Bawah-20 FIFA 1997).

Selagi mana kelemahan tersebut dinafikan sebagai kelemahan malah tidak pula diakui sebagai mendatangkan masalah, selagi itulah masalah tersebut akan terus berpanjangan. Tentu sekali, penyelesaiannya bukan satu jalan sahaja dan tidak juga berlaku secara ajaib. Terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan dan cadangan ini hanyalah salah satu daripada banyak cadangan yang lain. Ilham untuk mencadangkan cadangan ini berpunca daripada sebuah persoalan. Kenapa Pesta Bola Merdeka kini tidak diadakan lagi? Kemudian, timbul lagi persoalan. Kenapa satu-satunya wakil Malaysia jadi pemenang anugerah di peringkat dunia, siapa lagi kalau bukan Faiz Subri, boleh tersisih dan tidak terpilih untuk menyarung jersi negara? Adakah kebanjiran pemain import di Liga-M menjadi penyebabnya? Adakah salah jurulatih yang kurang mempercayai pemain-pemain tempatan sehingga sejumlah pemain naturalisasi lebih diberi kepercayaan walaupun lebih kurang sahaja bakatnya?

Persoalan demi persoalan terus timbul. Bolehkah kejohanan Pesta Bola Merdeka (Kejohanan Bolasepak Merdeka) diadakan semula dan trofinya yang baharu dinamakan Piala Abdul Ghani Minhat? Nak lagi sedap, alternatif lain adalah bubuh nama Piala Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Fuhh, amacam? Persoalan lagi, bolehkah bayangkan pemain terbaik kejohanan turut diberi cogan serta gelaran "Raja Bola" yang sebelum ini diwarisi daripada Dolfattah dan Abdul Ghani Minhat? Jika di tanahair ada gelaran Raja Bola Malaysia, di peringkat antarabangsa mungkin Raja Bola Dunia jadi gelaran yang sesuai barangkali? Kalau hendak simpan gelaran itu di sini dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain, mungkin Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bolasepak Kebangsaan sahaja yang ambil untuk diguna pakai.

Sekiranya terlalu sukar untuk menjemput pasukan-pasukan dari luar negara seperti waktu dahulu, boleh atau tidak, diwujudkan beberapa pasukan pilihan tempatan untuk menyertainya? Sebagai contoh, susah sangatkah untuk mengumpulkan pemain bagi mewakili Malaysia A (Harimau Asia), Malaysia B (Harimau Malaysia), Bintang-bintang Seluruh Malaysia (Malaysian All-Stars), Liga-M XI (M-League Selection), dan sebagainya? Bukan itu sahaja, sudah lupakah bahawa terdapat juga pasukan belia, muda, dan remaja seperti skuad bawah-25 (SUKIPT), bawah-23 tahun (Olimpik/ Sukan Asia), bawah-22 (Sukan SEA/ Harimau Muda), bawah-21 (SUKMA), bawah-20 (Projek FAM-MSN), bawah-18 (MSSM), bawah-17 (PPBN/ PLD), bawah-12 (Akademi Tunas), dan lain-lain*?

 

Siapakah Raja Bola yang seterusnya?


Pendahuluan sudah, isi sudah, huraian dan contoh juga sudah. Tinggal penutupnya sahaja. Jadi, apakah kesimpulannya? Sedarlah wahai semua pembaca, sekiranya ayam tambatan, ubi muda mahupun kuda tua, entah macam mana enggan atau tidak sudi menyumbang kepada negara, lagenda-lagenda tanahair yang sudah bersara boleh sahaja mengambil alih dan kembali mengharumkan nama Malaysia. Kalau setakat hendak dapatkan buku merah dan kononnya demi lencana di dada, kaki bangku seluruh negara pun lebih layak untuk mengibarkan bendera jikalau mereka kerap berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berkhidmat serta memajukan bangsa. Dalam situasi tertentu, kemahiran individu mungkin diperlukan bagi menghasilkan gol tetapi permainan bolasepak tetap dimenangi secara berpasukan bukannya berseorangan.

Nah, di bawah ini adalah sekadar suka-suka iaitu gambaran peserta-peserta yang dirasakan sesuai untuk saingan Pesta Bola Merdeka bayangan 2022. Ada empat skuad dan format pertandingan boleh dilaksanakan secara liga mini (maksimum 3 perlawanan) atau kalah-mati (maksimum 2 perlawanan). Setiap skuad mempunyai 23 orang pemain, justeru jumlah pemain adalah 92 keseluruhannya. Lantaran itu, terdapat hampir 100 orang pemain dapat dikumpulkan serentak sebagai kelompok pemain kebangsaan. Lantas, boleh sahaja dijadikan kem latihan berpusat bagi pemilihan skuad utama negara. Barangkali boleh terjadi seandainya Malaysia sudah pun menjadi maju pada tahun 2020 yang lalu. Berangan-angan sahajalah dahulu.


ASIAN TIGERS

Pengurus / Ketua jurulatih: Tan Cheng Hoe

Penolong pengurus: Dollah Salleh

  1. Khairulazhan Khalid - PG
  2. Syahmi Safari
  3. Syazwan Andik Ishak
  4. Shahrul Saad (C)
  5. Adam Nor Azlin
  6. Syamer Kutty Abba
  7. Akhyar Abdul Rashid
  8. Nor Azam Azih
  9. Shahrel Fikri Fauzi
  10. Syafiq Ahmad
  11. Safawi Rasid
  12. Rizal Ghazali
  13. Nazirul Naim Che Hashim
  14. Kenny Pallraj
  15. Irfan Zakaria
  16. Akram Mahinan
  17. Arif Aiman Hanapi
  18. Afiq Fazail
  19. Azhad Harraz Arman
  20. Kogileswaran Raj
  21. Faisal Abdul Halim
  22. Rahadiazli Rahalim - PG
  23. Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi - PG

 

MALAYSIAN TIGERS

Jurulatih: Ong Kim Swee

Pembantu jurulatih: Norizan Bakar

  1. Farizal Marlias - PG
  2. S. Kunanlan
  3. Ariff Farhan Isa
  4. Fadhli Shas
  5. Aidil Zafuan Abdul Radzak
  6. Baddrol Bakhtiar
  7. Khyril Muhymeen Zambri
  8. Safiq Rahim (C)
  9. Zaquan Adha Abdul Radzak
  10. Norshahrul Idlan Talaha
  11. Syazwan Zainon
  12. Mahali Jasuli
  13. Fazly Mazlan
  14. S. Subramaniam
  15. Rawilson Batuil
  16. Azzizan Nordin
  17. Wan Zack Haikal Wan Noor
  18. Nazmi Faiz Mansor
  19. Safee Sali
  20. Amri Yahyah
  21. Wan Zaharulnizam Zakaria
  22. Khairul Fahmi Che Mat - PG
  23. Izham Tarmizi Roslan - PG


MALAYSIAN ALL-STARS

Jurulatih: K. Rajagopal

Pembantu jurulatih: Abdul Rahman Ibrahim

  1. Samuel Somerville - PG
  2. Dion Cools (C)
  3. Daniel Ting
  4. Junior Eldstål
  5. Dominic Tan
  6. Brendan Gan
  7. Mohamadou Sumareh*
  8. Ryan Lambert
  9. Darren Lok
  10. Luqman Hakim Shamsudin
  11. Faiz Subri
  12. Matthew Davies
  13. La'Vere Corbin-Ong
  14. Nicholas Swirad
  15. Annil Vigneswaran
  16. Nathaniel Shio
  17. David Rowley
  18. Kobe Jae Chong
  19. Hadi Fayyadh Abdul Razak
  20. Wan Kuzain Wan Kamal
  21. Tam Sheang Tsung
  22. Julian Bechler - PG
  23. Ernest Wong - PG


M-LEAGUE XI

Jurulatih: B. Sathianathan

Pembantu jurulatih: Wan Jamak Wan Hassan

  1. Azri Abdul Ghani - PG
  2. Quentin Cheng
  3. Arif Fadzilah Abu Bakar
  4. Shahrul Nizam Ros Hasni
  5. Sharul Nazeem Zulpakar
  6. Mukhairi Ajmal Mahadi (C)
  7. Al-Hafiz Harun
  8. Danial Ashraf Abdullah
  9. Danial Asri
  10. S. Kumaahran
  11. Hakimi Abdullah
  12. Azam Azmi Murad
  13. R. Dinesh
  14. Faris Shah Rosli
  15. Rodney Celvin
  16. Zhafri Yahya
  17. Fayadh Zulkifli Amin
  18. Nik Akif Syahiran Nik Mat
  19. Abdul Azim Rahim
  20. Sean Giannelli
  21. J. Partiban
  22. Suhaimi Husin - PG
  23. Shahril Saa'ri - PG


*Lain-lain: terbuka kepada awam dan ditubuhkan pula skuad-skuad amatur kebangsaan (ala MyTeam) yang baharu seperti Tapir Malaya, Tenuk Malaysia, Cipan, Badak Tampung, Kuda Air, Babi Alu, dan beberapa lagi sekiranya mahu.



No comments: