Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Sunday, November 13, 2022

Aduhai, sayang seribu kali sayang!

Usaha penswastaan dan pengkomersilan (pengkomersialan menurut Dewan Bahasa dan Pustaka) oleh badan pentadbir bolasepak negara sejak pengenalan Liga Super pada 2004 ada saat-saat manisnya. Sekiranya masih ingat, antaranya skuad Double Treble Kedah dan johan Piala AFC 2015 JDT, tetapi ke mana hilangnya juara liga 2005 iaitu Perlis? Apabila Liga Malaysia dikatakan dinaiktaraf menjadi profesional pada 1994, ia dibayangi dengan skandal rasuah sehingga menjejaskan skuad kebangsaan. Enam tahun selepas Liga Super wujud, Malaysia muncul juara Asia Tenggara buat kali pertama. 2022 pula membawa pasukan Harimau Malaya ke Piala Asia yang keempat. Adakah Liga Malaysia yang merupakan medan utama pemain-pemain tanahair akan dapat terus bertahan? Percayalah, PJ City bukan mangsa yang terakhir. Lihat, apa sudah jadi dengan Stadium Tun Abdul Razak di Jengka? Dulu dah pernah jadi, sekarang jadi lagi. Jualan tiket, barang dagangan, hak penyiaran, penajaan, pengiklanan, hadiah kemenangan mahupun geran, kenapa bila sebut tentang isu gaji masih ada kes tunggakan? Bukan sedikit-sedikit, tetapi banyak! Lebih banyak lagi apabila dihitung jumlahnya setelah bertahun-tahun berlalu.

Menjadi nombor satu dari bawah bukanlah sesuatu yang membanggakan malah amat memalukan. 2019 adalah tahun pra-pandemik, sebelum COVID-19, sebelum varian Delta, Omicron, XBB melanda. Penonton hanya datang bila dok menang, jersi mahal orang tak beli, hak penyiaran sikit, penaja tak banyak, lepas itu apa lagi? Bercita-cita nak jadi macam negara-negara Eropah kononnya, kalau boleh nak tiru England. Kalau toleh ke arah Timur, hendak sahaja berkiblatkan Jepun. Banyakkan kelab ikut bandar, pekan, kampung, taman-taman perumahan. Bagus, bukannya tak bagus. Masalahnya, hampir semua pasukan negeri di Malaysia ini pun cuma menyewa stadium dan belum mempunyai gelanggang yang dibina sendiri, cukupkah duit hasil jualan tiket untuk dibahagi-bahagikan kelak? Katakanlah bila dah ada banyak pasukan kelab dalam liga-liga kebangsaan ni nanti, nak berkongsi stadium macam Inter Milan dengan AC Milan kongsi San Siro (a.k.a. Stadio Giuseppe Meazza) ke? Liga-liga negeri apa cerita, nak bersantai-santai sampai ke sudah? Rilek betul... tapi bukan semualah kan.

Memang kena sabar, tidak perlu tergopoh-gapah. Wabak yang mengancam nyawa pun ada fasa-fasanya. Daripada disebut sebagai novel coronavirus hinggalah dikenal pasti sebagai SARS-CoV-2, sudah lupakah bahawa wabak COVID-19 belum lagi diisytihar berakhir? Memanglah agak berbeza antara wabak dengan bolasepak, tetapi Liga-M (M-League) seharusnya kembali ke kapasiti asal sebelum secara berperingkat dapat berkembang dengan asas yang kukuh. Maka, apa dia asasnya? Cuba kira, ada berapa ahli gabungan atau affiliates Persatuan Bolasepak Malaysia (FA of Malaysia)? Maaf cakap, dan harapnya bolehlah diambil secara positif untuk dijadikan sebagai contoh teladan yang berikut ini. PKENJ FC apabila dijenamakan semula, nama yang dipilih ialah Johor FC tatkala Johor FA dan Johor Bahru FA sudah wujud sebagai entiti-entiti yang berlainan. Kemudian, apabila Johor FC mengalami perubahan secara besar-besaran, ia cuba membiasakan diri dengan nama Darul Ta'zim FC di peringkat awal. Namun, JDT yang dikenali sekarang ini terbukti lebih berjaya akhirnya apabila nama Johor Darul Ta'zim digunapakai dan bukan lagi sekadar Darul Ta'zim.

Jika tidak mudah melenting serta mahu berfikir sejenak dengan rasional, Malaysia amnya bukanlah sebuah negara berbudaya bolasepak. Ya, mungkin ada pihak yang menobatkannya sebagai sukan nombor satu negara bahkan dunia, namun Malaysia tidak perlu pun membudayakan bolasepak untuk sekadar bersaing di pentas antarabangsa. Cukup dahulu buat masa ini, menumpukan usaha ke arah pembangunan akar umbi yang mampan berkesinambungan sehingga ke liga profesional secara lestari sebelum mahu mengukir nama. Jikalau adat tradisi sendiri pun dibuang entah ke mana dan tinggal serpihan sahaja, buat apa mahu cedok amalan orang lain sampaikan gejala-gejala negatif seperti hooliganisme, pertaruhan (betting), dan pelbagai macam budaya kuning mudah sangat menjadi ikut-ikutan bagaikan manusia tiada panduan? Buang yang keruh, ambil yang jernih. Selagi mana ada yang baik, ambillah. Yang buruk, nak ambil buat apa?

Mabuk dengan dunia sampai lupa daratan.

Kalau soccer di Amerika Syarikat ada diperjuangkan kesaksamaan antara jantina, di Malaysia pula ketidakadilan serta diskriminasi yang jelas berlaku terhadap sesama pemain liga domestik pun tidak ramai yang kecoh. Cuba bandingkan bayaran gaji antara pemain import dengan pemain lokal, adilkah? Betul-betul berdasarkan kualiti, atau persepsi? Cukup-cukuplah. Langsaikan segala hutang dengan segara. Lunaskan semua bayaran yang tertunggak. Ukur baju di badan sendiri. Tak usah lagi menjanjikan bulan dan bintang. Bukan main lagi nak import sana sini dari seluruh pelosok dunia. Pemain-pemain tempatan kalau dibayar pun, tidak pula setara mana. Lagi sekali, bukan semua yang begitu tetapi ramai sungguh yang seperti itu. Bila ada kontrak, gaji tetap kena bayar. Kalau tak mampu, buat cara tak mampu. Berbelanja ikut kemampuan. Tolonglah... Kalau tak boleh tolong orang lain sekalipun, janganlah asyik menyusahkan. Tolong, tolong, tolong.



No comments: