Antara pencapaian tertinggi pengurus merangkap ketua jurulatih kebangsaan Malaysia iaitu Kim Pan-gon (KPG) dalam pengalamannya sebelum ini ialah pingat emas buat pasukan Hong Kong B-23 dalam Sukan Asia Timur pada 2009. Buat skuad Harimau Malaya pula, pencapaian terbaiknya setakat ini adalah melayakkan Malaysia ke Piala Asia AFC 2023/2024 secara merit selepas menyambung tugasan di pertengahan jalan menggantikan Tan Cheng Hoe sejak Januari 2022. Dalam Kejohanan AFF 2022 yang lalu, beliau belum mampu menggugat rekod cemerlang Datuk K. Rajagobal pada 2010 apabila sekadar membawa Malaysia ke separuh akhir setelah tewas kepada Thailand yang kemudiannya muncul juara buat kali ketujuh.
Ada juga yang memuji coach KPG kerana membantu meningkatkan ranking Malaysia, yang terkini di tangga 137 pada 29 Jun 2023 menurut FIFA. Sebagai rekod, kedudukan tertinggi Malaysia dalam sejarah adalah ke-75 pada 8 Ogos 1993 manakala yang terendah adalah ke-178 di dunia pada 15 Mac 2018. Untuk perbandingan, Malaysia tewas 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu 3 September 2015 namun sebaliknya Malaysia menang 10-0 menentang Papua New Guinea pada 20 Jun 2023. Apabila Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka tahun 1993, negara mengalami kemarau kejuaraan berpanjangan. Rakyat Malaysia tidak merasai sebarang kejuaraan di pentas antarabangsa selama 14 tahun sehinggalah sekali lagi menjadi juara di Pestabola Merdeka tahun 2007.
Meskipun Pestabola Merdeka hanyalah kejohanan berasaskan jemputan dan sudah 9 tahun tidak diadakan, kejayaan terakhir menjadi juara pada 2013 rasanya sudah terlalu lama. Sejak daripada itu, tiada lagi apa-apa kejuaraan melainkan yang disumbangkan oleh skuad remaja sahaja yakni dalam Kejohanan B-18 AFF (2018 & 2022) dan Kejohanan B-15 AFF (2013 & 2019). Nak harapkan Sukan SEA, sudah 12 tahun tidak dikalungkan pingat emas selepas kali terakhir mendapatkannya pada 2011. Lebih teruk lagi, selepas pasukan kebangsaan merangkul pingat emas Sukan SEA pada 1989 dulu, ia mengambil masa selama 20 tahun sebelum Malaysia kembali meraih tempat pertama secara berturut-turut dalam edisi 2009 dan 2011.
Itu adalah sejarah, dan sejarah tetap terpahat dalam ingatan walaupun ada yang sengaja mahu melupakan sejarah. Keinginan para penyokong skuad belang kuning-hitam di peringkat rantau sudah pun dilunaskan walaupun baru sekali (Kejohanan AFF 2010). Kini, mata tertumpu ke arah peringkat benua pula. Sebelum melangkah ke Piala Asia pada Januari 2024 depan di Qatar, Pestabola Merdeka 2023 yang merupakan edisi ke-42 adalah medan persiapan yang terbaik buat Malaysia. Sempena ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-66 dan juga Hari Malaysia ke-60, kejuaraan yang dinanti-nantikan para peminat akan menjadi sungguh bermakna kerana mampu membangkitkan keyakinan serta semangat. Palestin, Lubnan, dan India bukan lawan yang calang-calang, mereka semestinya hendak memberikan tentangan sengit sebagai cabaran.
Kim Pan-gon dijangka bakal membawa skuad yang dianggap terbaik olehnya. Akan tetapi, katakanlah beliau tidak dapat menyertai Pestabola Merdeka 2023 atas sebab-sebab tertentu seperti urusan peribadi umpamanya. Keadaan tersebut barangkali bukanlah sesuatu yang mustahil dan timbullah persoalan. Adakah jurulatih skuad B-23 iaitu Elavarasan Elangowan yang juga penolong jurulatih kebangsaan boleh memberikan kejayaan yang diharapkan? Tentu saja boleh kalau sudah ditakdirkan. Sekadar teori, selain E. Elavarasan, siapakah calon lain yang boleh mengemudi skuad negara sebagai pilihan alternatif? Inilah yang akan dibentangkan. Boleh jadi, barisan jurulatih yang menjadi calon ini boleh juga dipertimbangkan (tertakluk kepada adanya Lesen Pro A?) sebagai pengurus serta ketua jurulatih kebangsaan yang seterusnya selepas berakhirnya era KPG pada masa hadapan.
1. Nafuzi Zain
Gaya permainan yang diterapkan ke atas pasukan bimbingannya digelar sebagai "Nafuziball". Kelihatan menarik dan menyegarkan dalam arena bolasepak tempatan, taktikal menyerang semasa di Terengganu dahulu kini cuba dibawa ke Kedah Darul Aman pula. Meskipun belum lagi mampu mencabar dominasi JDT di Liga Super Malaysia, pengalaman yang sedang ditimba pada waktu ini amatlah penting sekiranya ingin dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Salah satu pencapaiannya sebagai jurulatih adalah kejuaraan Piala Presiden tahun 2015 bersama skuad Kelantan B-21.
2. Devan E. Kuppusamy
Berpengalaman luas dan pernah memenangi pelbagai pertandingan dalam Liga-M, sayangnya belum lagi diberi peluang untuk melatih skuad kebangsaan seperti mana bertuahnya rakan-rakan sejawat beliau iaitu Datuk Ong Kim Swee, Tan Cheng Hoe, mahupun Irfan Bakti Abu Salim (bekas penolong jurulatih kebangsaan). Dinobatkan sebagai jurulatih terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan pada 2006 dan juga 2009, para pengkritik mungkin melihat zaman kemuncaknya telah lama berlalu tetapi kelihatan masih mempunyai kelebihan tersendiri terutamanya dalam membentuk pasukan Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini.
3. Azzmi Ab. Aziz
Umur 48 tahun, kelahiran Selangor. |
Namanya sedang meningkat naik secara mendadak namun tiba-tiba pula telah direhatkan, yakni istilah yang gemar digunakan di kalangan warga bolasepak tempatan. Bekas pasukannya PDRM sebelum ini mempamerkan persembahan yang sungguh mengagumkan apabila berjaya menewaskan beberapa pasukan yang dianggap lebih besar serta kuat. Walaupun awalnya bermula perlahan dalam saingan liga, mereka kini kehilangan salah satu jurulatih prospek berpotensi tinggi. Dahulu merupakan penolong ketua jurulatih Kedah, beliau dijangka mampu pergi lebih jauh sekiranya diberi peluang yang bersesuaian.
4. Manzoor Azwira Abd. Wahid
Umur 46 tahun, kelahiran Pulau Pinang. |
Pengendali ini pernah membawa pasukan Pulau Pinang menjuarai liga divisyen kedua, Liga Premier Malaysia pada 2020. Sekarang bersama skuad Penang, beliau dilihat sebagai pengaruh jangka masa panjang untuk membantu membangunkan sebuah kelab bolasepak yang bukan sahaja mampu bertahan dari segala aspek tetapi juga mampu memberikan cabaran hebat buat pasukan-pasukan dalam Liga-M. Seandainya beliau terus menggunakan segala keupayaan dan kemahiran yang ada pada dirinya maka tidaklah mengejutkan sekiranya reputasinya kian meningkat.
5. Datuk Lim Teong Kim
Umur 59 tahun, kelahiran Melaka. |
Sosok yang sering menjadi kegemaran untuk menerima kecaman ramai ini memulakan kerjaya kejurulatihannya bersama skuad remaja kelab gergasi Eropah iaitu Bayern Munich. Apabila pulang ke Malaysia, beliau pernah dilantik sebagai pengarah projek bagi Program Pembangunan Bolasepak Negara (singkatannya PPBN atau NFDP) dan juga pengarah bagi Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Baru sahaja ditamatkan kontrak oleh bekas pasukannya Perak baru-baru ini walaupun belum sampai setahun berkhidmat, beliau sebenarnya mempunyai ketokohan dan keunikan yang kurang dihargai dengan sepatutnya oleh komuniti bolasepak tanah air.
6. Yusri Che Lah
Umur 47 tahun, kelahiran Perlis. |
Merupakan jurulatih sementara pasukan Perak yang menggantikan tempat Datuk Lim Teong Kim, beliau sebelum ini turut pernah menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad Liga Premier iaitu Projek FAM-MSN yang terdiri daripada pemain-pemain kebangsaan berumur bawah 23 tahun. Memulakan kerjaya jurulatih bersama pasukan negeri kelahirannya, Perlis pernah dibawa menduduki tempat kedua Liga FAM pada tahun 2015. Selain daripada itu, belum ada rekod pencapaian yang menyerlah di dalam resumenya melainkan mempunyai kredibiliti untuk membina namanya sebagai jurulatih yang disegani.
7. Rezal Zambery Yahya
Umur 44 tahun, kelahiran Johor. |
Sungguhpun pasukan Kelantan nampaknya menjadi sasaran berita sensasi dewasa ini, di sebaliknya masih ada figura yang terus setia menabur bakti. Pernah dilantik menjadi ketua jurulatih Kelantan sebelum menerima tanggungjawab sebagai penolong pengurus, beliau dilihat bersungguh-sungguh untuk berkecimpung dalam bidang kejurulatihan walaupun berdepan dengan kekangan serta rintangan yang menyukarkan perjalanannya. Jikalau beliau terus berusaha dengan gigih, mudah-mudahan ada sinar di hujung terowong yang membolehkannya merealisasikan kemampuan sebenar sebagai seorang jurulatih.
8. Muhammad Shukor Adan
Umur 43 tahun, kelahiran Melaka. |
Individu yang dihormati serta digeruni semasa zaman kegemilangannya sebagai seorang pemain di atas padang, beliau kini telah mula beralih arah menuju ke alam kejurulatihan pula. Diangkat sebagai pembantu jurulatih di KL City pada ketika ini, beliau hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengaplikasikan kualiti kepimpinannya di tepi garisan padang pula. Apabila tiba masanya nanti (insha'Allah), beliau diharapkan dapat menyambung legasi malahan mengatasi kewibawaan jurulatih-jurulatih yang terdahulu seperti Chow Kwai Lam dan Mohd Zan Mat Aris.
9. Badrul Afzan Razali
Umur 47 tahun, kelahiran Terengganu. |
Penolong pengurus pasukan Terengganu ini merupakan watak diam-diam ubi berisi. Selepas menajamkan kemahirannya sebagai jurulatih bersama TFC II di Liga Premier, beliau terus mara dan tidak lagi menoleh ke belakang. Kejayaannya membimbing pasukan Sime Darby menjuarai Piala FAM pada 2017 dan setahun kemudian pada 2018 turut memberikan kejuaraan kepada skuad Piala Presiden negeri Terengganu iaitu TFC III seolah-olahnya seperti sudah lama ditinggalkan. Jika momentum ini dapat diteruskan, hampir tiada siapa yang dapat menghalangnya untuk terus maju ke hadapan.
10. Mohd Hamzani Omar
Umur 44 tahun, kelahiran Johor. |
Setelah hampir sedekad sejak tahun 2013 menumpahkan keringat dalam barisan kejurulatihan kelab bolasepak JDT, pembantu jurulatih ini dianugerahkan dengan suatu peluang yang sungguh tidak ternilai. Mana tidaknya, di sebalik kejayaan demi kejayaan saban tahun yang digapai oleh kelab yang memenangi Piala AFC 2015, dia ada bersama. Sudah pasti amat merugikan sekiranya beliau langsung tidak mengambil sebarang manfaat daripada pengalaman pahit manis yang dialami bersama juara Liga Super sebanyak 9 kali berturut-turut setakat tahun 2022. Segala ilmu yang telah dipelajari jika dapat dikongsi sudah tentu menjadi sangat berguna.
11. Jelius Ating
Umur 52 tahun, kelahiran Sabah. |
Berkhidmat sebagai ketua jurulatih skuad B-21 bagi Sabah dalam pertandingan Piala Presiden, beliau juga pernah suatu ketika sebelum ini memegang jawatan ketua jurulatih dan pengurus untuk pasukan dari Borneo tersebut. Di samping bekas rakan di bahagian pertahanan sewaktu bermain dahulu iaitu Burhan Ajui sebagai pembantunya, pengalaman yang sedang dikumpulkan bakal memudahkan transisi beliau kembali ke tampuk kejurulatihan pasukan Sabah pada suatu hari nanti. Berikutan situasi semasa bolasepak Sabah yang nampak memberangsangkan maka masa hadapan kerjayanya juga kelihatan makin cerah bersinar.
Sebagai kesimpulan, senarai jurulatih yang lebih ternama sebahagiannya telah pun #duniabolasepak sebut sebelum ini. Antaranya ialah, B. Satiananthan, Datuk K. Rajagobal, Dato' Dollah Salleh, Mohd Azraai Khor Abdullah, dan Dato' Zainal Abidin Hassan Ali. Malah, ada lagi para jurulatih berkaliber dan juga yang baru berjinak-jinak menceburkan diri yang sukar untuk disenaraikan kesemuanya. Cuma, ternyata bahawa beberapa nama yang diketengahkan pada kali ini masih lagi menimba ilmu serta pengalaman dalam aliran kejurulatihan. Ramai di antara mereka merupakan bekas pemain yang telah bersara dahulu dan belum banyak pencapaian yang telah dicapai, apatah lagi memperoleh kejuaraan sebagai seorang jurulatih. Memandangkan divisyen utama Liga Malaysia dibanjiri oleh para jurulatih import seperti mana ia semakin sesak dan semak dengan terlalu ramai pemain import, tidak banyak jawatan kosong buat jurulatih-jurulatih muda tempatan melainkan mereka sanggup berhijrah ke luar negara ataupun bermula dari bawah melatih skuad-skuad junior mahupun di peringkat bangku sekolah.
Lihat juga:
No comments:
Post a Comment