Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Sunday, April 16, 2017

Apa yang tidak kena dengan bolasepak Malaysia?

Harapan rakyat adalah negara dibawa keluar dari masa
lampau yang gelap ke arah masa depan yang lebih cerah.
(gambar: www.rojakdaily.com)

Walaupun bekas penyerang kebangsaan awal tahun 2000an dahulu iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli telah pun menggantungkan butnya dan mula menjinakkan diri sebagai pengulas sukan pula, namun terdapat beberapa rakan seperjuangannya yang masih lagi bermain sehingga kini. Meskipun sudah dianggap sebagai pemain senior dan mungkin semakin jauh daripada panggilan untuk menyertai skuad negara tetapi Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, mahupun Mohd Shukor Adan (yang telah bersara di peringkat antarabangsa) kekal sebagai tonggak penting buat pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Malaysia sememangnya sering dianugerahkan dengan ramai pemain bolasepak tempatan yang berbakat, namun seringkali juga bakat tersebut disia-siakan begitu sahaja. Selepas beberapa tahun sahaja, banyak sekali pemain-pemain muda berbakat mulai hilang daripada pandangan. Mereka bukannya menjadi orang halimunan atau ke luar negara tetapi telah diketepikan bagi memberi ruang kepada pemain-pemain import yang entah apa-apa. Padahal, kebanyakan awang import yang kini beraksi di Liga-M langsung tidak setaraf dengan pemain-pemain bintang yang lalu seperti Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, Baichung Bhutia, Kiatisuk Senamuang, Worrawoot Srimaka, Mehmet Durakovic, Stephen Keshi, Vyacheslav Melnikov, Mouhamadou Moustapha Mane, Felipe Melo, Dani Guiza, Pablo Aimar, Luciano Figueroa, Ali Ashfaq, Merzagua Abderrazak, Scott Ollerenshaw, Alistair Edwards, Abbas Saad, Zsolt Bücs, dan lain-lain. Jangan katakan Tony Cottee, skuad NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) pun nampak lebih hebat lagi berbanding awang import yang bukan sahaja tidak dikenali tetapi juga belum pun menyarung jersi kebangsaan negara mereka. Pengecualian kalau hendak diberikan pun hanya boleh kepada dua, tiga pemain sahaja seperti Liridon Krasniqi, Mohammed Ghaddar, dan entahlah.. mungkin Patrick "Ronaldinho" Wleh?

Angan-angan sahaja: Barisan kesebelasan utama negara dalam alam maya.
(kredit: eurosport.com)

Oleh sebab itu, transisi atau peralihan daripada kelompok pemain senior kepada kelompok pemain junior sejak kebelakangan ini tidak dapat berjalan dengan lancar. Jika dahulu ada Dol Fatah, kemudian Dollah Don sebagai perintis, Abdul Ghani Minhat telah berhasil menyerahkan obor perjuangan kepada Mokhtar Dahari sebelum diberikan pula kepada Hassan Sani. Masuk tahun 1990an, gejala rasuah (bookie, kelong) yang entah mana datangnya telah dikantoikan secara berleluasa. Bukan hendak salahkan satu pihak sahaja, tetapi disebabkan sindiket menjual permainan untuk perjudian telah melenyapkan bakat-bakat yang istimewa seperti Matlan Marjan dan Azizol Abu Haniffah. Mujurlah masih terselamat beberapa pemain seperti Khairul Azman Mohamed, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Hashim Mustapha, dan Azman Adnan. Kalau tidak, bertambah pudarlah, tawar, dan malapnya kancah bolasepak negara.

Kemudian, sedikit demi sedikit, bakat bolasepak tanahair mula berputik semula. Nama-nama yang tidak kurang hebatnya mula kedengaran. Zulfakri Ashaari, Nidzam Adzha Yusoff, Che Zambil Ahmad, Rafdi Abdul Rashid, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Rusdi Suparman, Anuar Abu Bakar, Shamsurin Abdul Rahman, S. Paidiya Rau, Liew Kim Tu, Zami Mohd Noor, Azmi Mohamad, Rosdee Sulong, Azizul Kamaluddin, Wan Rohaimi Wan Ismail, Sapian Abdul Wahid, Harun Laban, Bobby Pian, Suharmin Yusof, dan beberapa nama lagi. Elok-elok baru hendak bangun, tiba-tiba skuad senior kebangsaan dibubarkan. Gantinya, adalah sekumpulan pemain belia yang dinamakan sebagai skuad projek Olimpik 2000. Masih mentah dan kurang berpengalaman pada waktu itu telah menyebabkan bakat-bakat muda yang berpotensi tinggi seperti Khalid Jamlus, V. Saravanan, Tengku Hazman Raja Hassan, Chow Chee Weng, Gilbert Cassidy Gawing, Megat Amir Faisal, dan Jamsari Sabian terbantut di tengah jalan. Tanpa memenangi sebarang kejohanan yang melepasi peringkat nasional, mereka juga dipersalahkan sepenuhnya kerana gagal mencapai sasaran (yakni mara ke Sukan Olimpik tahun 2000 di Sydney, Australia).

Akmal Rizal Rakhli dan Khalid Jamlus,
malah Shawal Johadi pun, telah
jalankan tugas mereka.
(sumber: ww1.utusan.com.my)

Maka, yang berpengalaman diabaikan, dan yang berpotensi dirosakkan. Inilah yang dikatakan 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'. Hasilnya, zaman kegemilangan bolasepak negara berlalu begitu sahaja dan semakin sukar untuk dikembalikan. Walaupun begitu, bibit-bibit keyakinan kembali kelihatan apabila sebuah generasi baru (sebahagiannya merupakan lepasan skuad Olimpik 2000) telah membersihkan jalan yang sebelum ini begitu banyak halangan. Sekalipun kejayaan besar tidak dicapai pada zaman mereka, sekurang-kurangnya mereka membantu memberikan laluan kepada generasi-genarasi yang akan datang untuk memperoleh kejayaan yang amat ditunggu-tunggukan. Generasi yang dimaksudkan tersebut adalah generasi Akmal Rizal, termasuklah Hairuddin Omar, Liew Kit Kong, Mohd Nizaruddin Yusof, dan rakan-rakan. Dengan tunjuk ajar yang mereka kongsikanlah, maka Safee Sali, Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, serta yang lain-lainnya berjaya juga meraih kejuaraan Asia Tenggara (Piala AFF 2010) yang sangat bermakna buat negara.

Kini, tanggungjawab besar menanti di bahu pemain-pemain generasi muda masakini. Tak 'kanlah hanya berpuas hati apabila menang menentang negara-negara Asean sahaja. Sudah tiba masanya untuk kembali menyaingi negara-negara Asia yang lain. Jepun dan Korea Selatan sudah tentulah, tetapi juga negara-negara seperti Arab Saudi, Iran, China, dan sebagainya. Selagi masih terkebelakang di benua Asia, usah bermimpilah untuk bertandang ke benua Eropah atau benua Amerika Selatan. Oleh itu, jangan lagi menyorok di belakang tirai yang lutsinar, memang tiada gunanya. Para peminat serta para penyokong bolasepak yang tertentu adakalanya tertanya-tanya ke mana perginya pemain-pemain harapan seperti Titus James Palani, Ahmad Aminuddin Shaharuddin, dan Samransak Kram. Adakah masih boleh berbakti untuk negara? Jika tidak, adakah kerana tidak mampu atau tidak mahu? Soalan yang sama akan ditanya kepada Nazmi Faiz Mansor, Irfan Fazail, Afiq Fazail, Syahrul Azwari Ibrahim, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Rozaimi Abdul Rahman, Ashri Chuchu, Matthew Davies, Fazly Mazlan, Amer Saidin, Kogileswaran Raj, S. Kumaahran, Faisal Abdul Halim, Ariff Farhan Md Isa, Mohd Ridzuan Abdunloh, Farhan Abu Bakar, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Haziq Nadzli, Mohd Syamer Kutty Abba, Adib Zainuddin, Faiz Nasir, Najmuddin Samat, dan kesemua pemain bolasepak profesional negara yang belum ada keinginan untuk bersara.


#academicscomebeforefootball   #isthewayforward


Thursday, April 6, 2017

Ujibakat 'Mencari Ramli' musim 6 di Sarawak

Program realiti TV 'Mencari Ramli' akan mengadakan sesi ujibakat pada 8 dan 9 April 2017 jam 7 pagi hingga 6 petang bertempat di Padang Bolasepak Perumahan Fasa 2, Jalan Astana, Petra Jaya, Kuching, Sarawak (terdapat pertukaran lokasi, bukan lagi di SMK Tabuan Jaya).

Selepas Sarawak, minggu ke-11 akan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 15 dan 16 April 2017 manakala minggu ke-12 (yang terakhir bagi musim ini) akan diadakan di Stadium Mini, Kompleks Sukan UPM, Serdang, Selangor pada 22 dan 23 April 2017.

Ia terbuka kepada semua remaja lelaki warganegara Malaysia berusia di antara tiga belas (13) hingga enam belas (16) tahun bagi merebut gelaran Ramli sekaligus berpeluang memenangi hadiah lumayan berupa lawatan ke United Kingdom untuk mengikuti program latihan bolasepak di Manchester United Soccer School (MUSS).

Program tersebut dianjurkan oleh Telekom Malaysia Berhad dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bolasepak di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Manchester United Football Club (MUFC). Dengan menyertai program tersebut, peserta bersetuju untuk mematuhi Terma & Syarat yang telah ditetapkan.


Sila rujuk yang berikut untuk maklumat lanjut:

Laman web rasmi 'Mencari Ramli' - http://teammalaysia.my/mr6/

Blog SarawakCrocs




Wednesday, April 5, 2017

Harimau Malaya mengaum kembali

Harimau mempunyai beberapa spesis. Bagi orang-orang Melayu, mereka kadangkala turut menyebut nama binatang tersebut sebagai "ghimau" atau "pak belang". Haiwan liar yang biasanya berkeliaran di pedalaman semenanjung Tanah Melayu ini digelar sebagai Panthera tigris malayensis (Panthera tigris jacksoni) dalam istilah sains untuk sejenis subspesis harimau manakala dalam Bahasa Inggeris, ia dipanggil sebagai Malayan tiger. Malangnya, ia kini semakin terancam dengan ancaman kepupusan apabila hanya terdapat kira-kira 250 hingga 340 ekor dewasa sahaja mengikut kajian yang telah dibuat.

Ilustrasi oleh Maman Rosnan
(kredit: www.behance.net)

Panthera tigris tigris atau harimau Benggala merupakan subspesis harimau yang paling banyak didapati di dunia manakala subspesis yang lain-lain adalah seperti harimau Indochina (Panthera tigris corbetti), harimau Sumatera (Panthera tigris sumatrae), dan harimau Siberia (Panthera tigris altaica). Dahulu terdapat juga harimau Jawa dan harimau Bali, namun kedua-duanya telah pun pupus. Harimau Kaspia juga sudah tidak ada. Apa yang pelik, menurut persetujuan umum para pengkaji saintifik semasa, tidak pernah diketemui sebarang harimau di kepulauan Borneo (selain yang diambil oleh pihak zoo), tidak kiralah samada di Brunei, Kalimantan (Indonesia), Sarawak, Sabah, mahupun Labuan. Adakah ia telah pupus atau memang tidak pernah wujud di situ? Entahlah, sedangkan suku asli Dayak Ngaju di Kalimantan Tengah ada sahaja menyebut "haramaung" untuk nama harimau. Oleh itu, sesiapa yang menjumpai spesis harimau di Borneo sudah tentu akan mencipta sejarah yang tersendiri memandangkan belum ada lagi yang mampu menemuinya hingga setakat ini.

Peta kewujudan pelbagai spesis rimau
(sumber: news.mongabay.com)

Ramai yang tersalah anggap, bahawa nama gelaran pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia iaitu 'Harimau Malaya' adalah semata-mata berdasarkan haiwan yang dinamakan sebagai Panthera tigris jacksoni itu. Walaupun tidak dinafikan bahawa Panthera tigris jacksoni yang disebut juga Malayan tiger benar-benar wujud (harap-harapnya tidaklah nanti menjadi pupus), gelaran 'Harimau Malaya' tersebut sebenarnya adalah satu pengiktirafan sempena tokoh lagenda bolasepak tanahair yang tidak lain dan tidak bukan, Dollah Don. Jika dahulu dia hampir dilupakan begitu sahaja, kini dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat yang canggih telah mengangkat semula namanya ke tempat yang sepatutnya. Sekadar ingin disebutkan di sini, selain Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu iaitu Sir Gerald Templer pernah mengisytihar gelaran yang sama kepada pasukan 2 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) pada tahun 1952, Tani Yutaka dan Tomobumi Yamashita (kedua-duanya dari Jepun) adalah dua tokoh lain yang turut mendapat gelaran ini.

Berdasarkan cerita sejarah, Dollah Don asalnya diberi nama jolokan 'Harimau Malaya' oleh Bung Karno, Presiden pertama Indonesia. Kisahnya, dalam satu perlawanan di Jakarta pada tahun 1953, Dollah Don berjaya menjaringkan hat-trick untuk menghasilkan keputusan seri walaupun pasukannya ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Berikutan kejadian yang amat mengagumkan Presiden Sukarno itu, Dollah Don semenjak itu menjadi pemain yang mula-mula sekali dikenali sebagai 'Harimau Malaya'. Selepas daripada itulah, nama jolokan penyerang kelahiran Johor tersebut (yang bakatnya dicungkil oleh jurulatihnya Dol Fatah dari Singapura) turut dipinjamkan kepada setiap pemain yang menyarung jersi kebangsaan dan seterusnya terus diabadikan sebagai gelaran istimewa buat skuad kebangsaan.

Dollah Don berupaya mencatat
masa 10.60 saat dalam larian
100 meter pada masa mudanya.
(gambar: www.suara.tv)

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia di negeri Sabah dan Sarawak mahupun negeri-negeri di semenanjung tidak perlu merasa risau, gusar, atau bimbang mengenai gelaran 'Harimau Malaya' ini. Skuad 'Harimau Malaya' masih lagi mewakili negara Malaysia, malahan sejak dahulu lagi seiring dengan perkembangan zaman. Maka, keputusan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM yang baharu untuk mengembalikan semula gelaran bersejarah tersebut amatlah dialu-alukan dan perlu disambut baik oleh kesemua warganegara Malaysia yang ambil peduli tentang peristiwa penting ini. Barangkali sebaik sahaja skuad Harimau Malaya sudah benar-benar gagah bukan sahaja di kandang sendiri tetapi juga di gelanggang antarabangsa, maka tanpa segan silu bolehlah gelaran "Harimau Asia" pula digunakan dengan lebih kerap selepas ini.

Sewaktu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah memulakan pembinaan Stadium Merdeka dahulu, beliau tidaklah mahu golongan majoriti Muslim hanya hadir ke stadium tetapi tidak ke masjid. Begitu juga dengan pembinaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang diusahakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Akan tetapi, stadium hanyalah sebagai suatu peluang bagi rakyat yang berbilang kaum untuk mengetepikan perbezaan serta merapatkan jurang yang mungkin terbina dalam bidang politik, ekonomi, dan juga sosial. Sekiranya mahukan yang positif, sukan bolasepak seharusnya menjadi alat perpaduan rakyat dan bukannya penyebab kepada terjadinya sebarang perpecahan.

Semasa penjajahan Jepun sekalipun tidak menghalang
keghairahan Tunku Abdul Rahman terhadap sukan bolasepak.
(kredit: berun)

~ Bagi yang Muslim, sama-samalah kita menyedekahkan surah al-Fatihah buat semua telah pergi sebelum kita. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan mengampuni kita semua.