Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, August 23, 2019

Kenapa perlu ada pemain naturalisasi?

Para pemain tempatan memanglah bukan semuanya bagus-bagus. Ada yang biasa-biasa, ada juga yang teruk, tetapi yang bagus tetap ada. Bukan setakat yang bagus, yang hebat-hebat hingga bertaraf lagenda pun ada. Jangan lupa, panggilan Dollah Don sebagai "Harimau Malaya" mula-mula sekali dibangkitkan oleh pemimpin negara jiran, Presiden Soekarno dari Indonesia yang terpukau serta kagum dengan salah satu persembahannya. Selain itu, Dollah Don turut dikenali sebagai "Toh Ah Ton" oleh peminat-peminatnya di Hong Kong. Gelaran-gelaran tersebut bukan Dollah Don yang bagi kepada dirinya sendiri dan bukan pula didapati dari kampung halamannya, tetapi negara-negara luar yang memberi pengiktirafan! Jadi, mengapa pula di sini tidak boleh menghargai anak-anak watan sebagaimana di luar sana? Dengar kata, bolasepak ingin dikembalikan kepada rakyat. Iya ke? Kononnyalah. Malas hendak berleter panjang, jom kita terus timbang dan tengok sedikit baik buruk apabila pemain-pemain naturalisasi diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan iaitu pasukan Harimau Malaya.

Sumareh menjadi pemain naturalisasi yang pertama
serta tunggal bagi negara setakat ini.
(gambar: sports.yahoo.com)

Kebaikan pemain naturalisasi

Pertama sekali, memandangkan kelebihan fizikal samada kepantasan, kekuatan, atau ketinggian lazimnya dimiliki oleh seseorang pemain naturalisasi, acapkali menjadi alasan mengapa mereka dilihat lebih meyakinkan daripada seseorang pemain muda remaja yang kurang berpengalaman dan masih banyak yang perlu diperbaiki. Kedua, andaikata terlalu ramai pemain utama dilanda kecederaan, digantung perlawanan, mengalami masalah kesihatan, bersara, atau yang seumpama dengannya, maka menggunakan pemain naturalisasi dalam situasi terdesak seperti itu mungkin boleh menyelamatkan keadaan buat sementara waktu. Di samping itu, walaupun tak masuk dek akal, katakanlah tiada siapa lagi yang berminat untuk bermain bolasepak di Malaysia, lantas tiada seorang rakyat pun yang mahu mewakili negara, maka menghantar skuad yang keseluruhannya terdiri daripada para pemain naturalisasi boleh jadi tidak seteruk yang disangka. Dengan cara itu, Malaysia mungkin boleh mengelak daripada membubarkan pasukan bolasepak kebangsaan. Namun, rasanya patut dibubarkan sahaja jikalau sudah sampai ke tahap yang dahsyat serta luar biasa seperti itu.

Keburukan pemain naturalisasi

Yang pertama, dengan kehadiran pemain-pemain naturalisasi, ia kelihatan seperti sesuatu yang berfaedah tetapi sejujurnya tidak. Ini kerana kelompok pemain tempatan yang sedia ada sudah cukup ramai, sementalahan pula dihimpit dengan kelompok pemain naturalisasi, ia bakal menyulitkan lagi proses mengasah dan menggilap bakat-bakat baru. Yang kedua, meskipun kemasukan pemain naturalisasi dikatakan mampu menggalakkan persaingan yang lebih sihat, sebaliknya ia hanya akan mewujudkan sikap acuh tak acuh dan mengambil mudah terhadap kepentingan melahirkan pemain-pemain bintang muda yang seharusnya dibangunkan secara bertahap. Seperkara lagi, belum tentu semua pemain naturalisasi yang dibawa masuk mempunyai kualiti seperti yang diharapkan. Jangkaan prestasi mungkin meleset malah keputusan memberangsangkan yang sering dinanti-nantikan pula tidak kunjung tiba, justeru masa yang bernilai terbuang begitu sahaja.

Kerjaya bolasepak Mohamadou Sumareh
di Malaysia bermula dengan PDRM FA.
(gambar: uk.sports.yahoo.com)

Natijahnya lebih baik, lebih buruk, atau neutral?

Entahlah, terpulanglah kepada masing-masing. Agaknya tiada jawapan yang betul-betul tepat apatah lagi kalau masing-masing mempunyai kecenderungannya yang masing-masing. Satu pihak kata adalah lebih baik menggunakan khidmat pemain-pemain naturalisasi manakala satu lagi pihak enggan bersetuju. Yang tiada pendapat juga mungkin ramai, yang tidak peduli pula langsung tidak kisah. Lantaklah, kata mereka. Sebenarnya, soalan yang patut diajukan adalah kenapa perlu ada pemain naturalisasi? Dengan kata lain, wajarkah? Tambahan pula, adakah ia sangat-sangat penting dan harus dilakukan dengan sesegera mungkin? Semestinya, sudah pasti, sudah tentu, ada yang lebih penting dan lebih segera berbanding mengambil satu ataupun beberapa pemain asing untuk mewakili negara bagi mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa.

Mengetepikan pemain-pemain lokal walhal masih ramai yang berbakat besar serta berpotensi tinggi, sesungguhnya merupakan suatu langkah yang kurang bijak untuk sukan bolasepak tanahair. Penduduk Malaysia kini sudah hampir mencecah 33 juta (termasuk bukan warganegara), sedangkan kesebelasan utama pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia hanya memerlukan 11 orang pemain di atas padang pada satu-satu masa dengan minima 3 orang lagi di bangku simpanan. Sekurang-kurangnya seorang ketua jurulatih di tepi garisan sudah memadai. Itu pun susah? Sudahlah pemain-pemain import membanjiri liga domestik, sekarang ini pasukan negara juga mahu diperlakukan sedemikian. Memang tidak salah jika hendak mengkaji contoh-contoh kejayaan atau corak pembangunan orang lain, namun mengkajinya adalah untuk belajar bukan untuk meniru. Jikalau mahu tiru bulat-bulat tanpa belajar apa-apa yakni tidak memahami keadaan setempat, maka punahlah.

Panggilan ke skuad kebangsaan untuk Wan Kuzain mesti
dibuat secara berhemah sebelum disambar negara Uncle Sam.
(gambar: Google Images)

Cuba fikir-fikirkan

Bayangkan Safawi Rasid di sebelah kanan, Akhyar Rashid di sebelah kiri, Luqman Hakim Shamsudin sebagai nombor 10 di belakang penyerang utama, Shahrel Fikri Fauzi. Keempat-empat mereka boleh sahaja beraksi bersama-sama hampir setiap kali adanya perlawanan senior antarabangsa yang melibatkan Malaysia. Wan Kuzain Wan Kamal juga boleh turun dari Amerika Syarikat untuk mengemudi bahagian tengah. Namun begitu, peluang yang terhad di Liga Malaysia (Liga-M) juga terbawa-bawa ke pasukan Harimau Malaya. Terdapat 12 pasukan di Liga Super dan 12 pasukan di Liga Premier. Ikut logik, terdapat 12 hingga 24 orang penyerang atau lebih yang boleh dipilih untuk berada di barisan hadapan skuad negara. Kenyataannya, itu tidak berlaku. Lalu, kedudukan mereka menjadi terjejas dan posisi mereka diambil alih. Oleh siapa? Bukan pemain-pemain tempatan yang lain, bukan juga pemain-pemain dwi-negara, tetapi diambil oleh pemain-pemain naturalisasi yang tidak pun mempunyai pertalian darah dengan Malaysia dan sekadar menetap selama 5 tahun selepas mencapai umur 18 tahun.

Bayangkan pula Guilherme de Paula Lucrécio (Brazil) menerajui jentera serangan dengan Ijezie Michael Chukwubunna (Nigeria) sebagai sokongan, Liridon Krasniqi (Kosovo) pula mengatur permainan di bahagian tengah, manakala Mohamadou Sumareh (Gambia) mengucar-ngacirkan pertahanan lawan di sayap kanan menjelang tahun 2020. Nampak seperti mengujakan tetapi nama Malaysia hanya gah tertera di lencana dan juga buku merah. Pelik betul, seolah-olah apa sahaja dari luar dianggap teramat hebat dan lebih baik jika dibandingkan dengan hasil keluaran negara sendiri. Ini bukan soal diskriminasi atau membabitkan isu perkauman, tetapi betulkah pemain-pemain tempatan benar-benar tiada kualiti? Langsung tidak boleh pakai atau sebenarnya cuma kurang diberikan peluang? Warga bolasepak Malaysia selalu mengidamkan kejuaraan demi kejuaraan namun sikap yang ditunjukkan tidak pula seperti juara. Para pemain, jurulatih, pengadil, peminat, penonton, wartawan, pengulas, pegawai, dan pentadbir semuanya memainkan peranan.

Guilherme antara pemain yang pernah menyertai pilihan
Liga Malaysia XI bagi sebuah perlawanan pertunjukan.
(kredit: suryamalang.tribunnews.com)

Bila sebut tentang mentaliti kelas ketiga, mulalah melenting tidak tentu pasal. Sudah terlalu lama asyik berangan-angan. Mat Jenin pun tak berangan sampai macam ni. Bila pula mahu mengubahnya menjadi cita-cita yang boleh dicapai? Fantasi ditukar menjadi realiti. Samada ianya bagaikan mimpi indah atau mimpi ngeri, bergantung kepada usaha yang dilakukan. Sebarang ikhtiar yang baik hanyalah satu permulaan. Bermulanya satu permulaan bererti perjalanan masih panjang. Sekiranya terhenti atau perlu berhenti di pertengahan jalan, rehat sebentar (bermesyuarat) dan kumpulkan bekalan (menganalisa maklumat) sebelum meneruskan perjalanan. Inilah perjalanan mendidik anak bangsa, supaya mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan semua bangsa di dunia. Apabila sudah sampai ke destinasi, rancang pula destinasi yang baru dan begitulah seterusnya.

Jika tidak, sayang seribu kali sayang. Asal pemain tempatan saja, buang. Asal buang saja, pemain tempatan. Macam mana nak maju? Kalau macam tu, alamatnya sampai bila pun tak maju-maju, tak bangun-bangun. Bukan marah tapi pesan. Sedikit peringatan agar perancangan jangka masa pendek, sederhana, mahupun panjang dapat direncana dengan sebaik mungkin. Aspire Academy di Doha mungkin berkesan atau menjadi di negara Qatar, tetapi tidak semestinya menjadi di Malaysia. Dana dan pelaburan di sana adalah secara besar-besaran. Di Malaysia, kalaulah ada duit sebanyak itu, langsaikan terlebih dahulu segala masalah meruncing seperti tunggakan gaji dan hutang-piutang. Sesudah itu barulah laburkan ke arah kemudahan infrastruktur dan juga pembangunan akar umbi. Dengan asas yang mantap, tidak perlu lagi membazir tenaga dan wang ringgit ke atas mana-mana pemain dari luar yang entah kenapa menolak (atau ditolak) untuk mewakili pasukan kebangsaan negara asalnya.

Pernah mewakili negara kelahirannya Kosovo di peringkat senior,
Liridon Krasniqi juga pernah mewakili skuad B-21 Albania.
(kredit: eduasportin.com)

Sejarah telah membuktikan

Tatkala sejumlah masyarakat dunia melihat nama Faiz Subri terpampang di pelbagai platform media pada tahun 2016, sosok yang semakin popular dan mampu meningkatkan profil pasukan Malaysia pada ketika itu langsung tidak diberi peluang menyarung jersi kebangsaan. Beliau mungkin sukar untuk menjadi pemain negara yang regular namun sepatutnya beliau layak diberi penghargaan yang sehingga sekarang ini sengaja dibuat-buat lupa. Masih ingat lagikah dengan Titus James Palani? Biarpun dicatat sebagai pemegang rekod Malaysia apabila berjaya menimang bola sebanyak 5680 kali, namanya kini kian pudar dalam ingatan. Mujurlah tokoh-tokoh seperti Dollah Don, Abdul Ghani Minhat, dan Mokhtar Dahari sempat juga mencipta banyak sejarah bermakna buat negara. Boleh kata selain daripada generasi yang sezaman dengan bekas kapten Safiq Rahim, lain-lain generasi sayangnya dahulu ibarat hidup segan mati tak mahu dan tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja berikutan dasar kepimpinan bolasepak negara yang cuma manis di mulut tetapi pahit di hati.


Sunday, August 18, 2019

Lebih hebat daripada Supermokh

Akan adakah pemain bolasepak Malaysia yang lebih hebat daripada Mokhtar Dahari suatu hari nanti? Setakat ini, belum. Pada masa hadapan, mungkin. Mungkin ada, mungkin tidak ada. Hanya Tuhan yang tahu. Adakah ianya mustahil atau tidak mustahil? Dengan kehendak Tuhan, tiada apa yang mustahil. Bukankah sudah pernah ada beberapa pemain yang dianggap lagenda di Malaysia. Buktinya, telah pun wujud sekurang-kurangnya dua, tiga orang pemain terulung negara. Salah seorangnya Mokhtar Dahari, yang dikenali hingga ke peringkat antarabangsa. Maka, boleh sahaja ada seorang atau ramai lagi pemain lagenda selepas ini.

Berkemungkinan tinggi, pemain yang bakal menjadi lagenda tidak sempat dilahirkan untuk beraksi dalam Piala Dunia 2022 di Qatar nanti. Boleh jadi pemain yang bakal menjadi lagenda seperti "Supermokh" hanya seorang, boleh jadi juga ramai, tetapi cuma ada satu Mokhtar Dahari. Seperti mana pasukan negara yang sejak sekian lama diberi nama sempena gelaran seorang pemain lagenda, malah setiap pemain kebangsaan sehingga kini meminjam nama panggilannya "Harimau Malaya", dalam sejarah cuma ada satu Dollah Don. Pencapaian Faiz Subri dianugerahkan jaringan terbaik dunia pada tahun 2016 pula mungkin berlaku hanya sekali dalam seumur hidupnya, namun dialah yang pertama dari Malaysia dan juga Asia.

Prospek hangat bernama Luqman Hakim Shamsudin
menjadi sensasi terbaharu selepas kemunculan
Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
(gambar: hmetro.com.my)

Sebelum terbentuknya Malaysia, yakni sebelum Tanah Melayu (Malaya), Singapura (Singapore), Sabah (North Borneo) dan Sarawak berada dalam Persekutuan, Dolfattah diketahui sebagai Raja Bola yang paling awal buat negara. Kemudian, pada tahun 1959, secara rasminya Abdul Ghani Minhat diangkat sebagai pewaris Dolfattah dan menjadi Raja Bola yang baharu. Meskipun Abdul Ghani Minhat telah pun meninggalkan kita, sampai sekarang belum ada pengganti yang betul-betul layak. Dunia bolasepak Malaysia masih lagi ternanti-nanti, menunggu-nunggu siapa dan bilakah "Raja Bola" akan kembali bertakhta.

Gianluigi Buffon pada waktu ini merupakan antara penjaga gol yang terbaik bukan sahaja di dunia malahan antara yang terbaik sepanjang sejarah, di samping nama-nama seperti Lev Yashin, Amadeo Carrizo, Gordon Banks, Rene Higuita, Peter Schmeichel, Jose Luis Chilavert, Oliver Kahn, dan seumpamanya. Sungguhpun begitu, penjaga gawang muda AC Milan iaitu Gianluigi Donnarumma kini nampaknya sudah begitu selesa mengambil alih tempat dalam kesebelasan utama skuad Azzurri selepas Buffon mengumumkan penggantungan but daripada mewakili negaranya, Itali.

Sarung tangan Itali yang digunakan Buffon
sebelum ini muat-muat dipakai oleh Donnarumma.
(gambar: tribunnews.com)

Siapa sangka, boleh pula ada pengganti bagi pemain sehebat Buffon. Donnarumma yang menggantikannya pula bukan calang-calang, dia mampu menjadi sehebat Buffon jika tidak lebih hebat. Justeru, Donnarumma dilihat sebagai penyambung legasi bukan sahaja setelah Buffon tetapi juga bagi senarai panjang penjaga gawang hebat yang terdahulu seperti Gianpiero Combi, Dino Zoff, Walter Zenga, Gianluca Pagliuca, Angelo Peruzzi, Francesco Toldo, dan lain-lain. Pele sendiri pun adalah penyambung legasi. Pemilik nama Edson Arantes do Nascimento telah menyambung legasi Leonidas da Silva, yang sebelum itu turut menyambung legasi Arthur Friedenreich.

Ramai di kalangan generasi sekarang asyik menyebut-nyebut nama Lionel Messi yang bukan sekadar boleh menyaingi Cristiano Ronaldo, tetapi juga sedang terus berusaha menandingi kehebatan Pele serta Diego Armando Maradona. Walaupun masih ada segolongan besar yang sempat melihat Maradona bermain, paling tidak pun siaran langsung di televisyen, tetapi berapa ramaikah yang pernah menonton permainan yang melibatkan Alfredo Di Stefano, selain daripada mencarinya di Internet? Tun Dr. Mahathir Mohamad lahir kira-kira setahun sebelum Di Stefano dilahirkan, namun ia tidak bermakna ada jaminan bahawa Perdana Menteri Malaysia ke-7 yang juga mantan PM ke-4 pun pernah menyaksikannya.

Bakat Leo Messi sesungguhnya unik sebagaimana
seorang lagi lagenda Argentina, Diego Maradona.
(gambar: givemesport.com)

Nama Mokhtar Dahari sememangnya sebaris dengan nama-nama seperti Dolfattah, Dollah Don, dan Abdul Ghani Minhat. Tidak dinafikan bahawa mereka semuanya mempunyai nama besar dalam lembaran sejarah bolasepak tanahair. Namun, jika hendak dibandingkan dengan para pemain ternama di peringkat dunia, mana-mana pemain dari Malaysia masih berada cukup jauh di belakang lagenda-lagenda sepanjang zaman seperti Johan Cruyff, Franz Beckenbauer, Marco van Basten, Franco Baresi, Paolo Maldini, Alan Shearer, Ronaldo, apatah lagi Pele dan Maradona, mahupun Zinedine Zidane. Berbalik kepada soalan, adakah akan ada pemain Malaysia yang lebih hebat daripada Supermokh? Jawapannya, masa akan menentukan samada soalan tersebut boleh terjawab atau tidak.

~ Di kesempatan ini juga, ingin diucapkan salam takziah buat keluarga serta sahabat handai bekas penjaga gol Terengganu FC, Allahyarham Suffian Ab Rahman atas kehilangan dan pemergiannya baru-baru ini. Mendoakan agar beliau dan semua orang beriman yang kembali ke pangkuanNya dicucuri rahmat.