Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, January 23, 2020

Liga-M dan Harimau Malaya

Pasukan manakah yang menjuarai Piala Malaysia yang pertama, adakah pasukan yang muncul sebagai johan pada tahun 1921? Kemudian, mengapa pula pasukan Brunei dijemput menyertai Liga Malaysia sedangkan tidak pernah berada dalam Persekutuan Malaysia? Apa, siapa, di mana, bila, kenapa, dan bagaimana adalah bentuk-bentuk soalan yang boleh dan patut ditanya seandainya seseorang itu mahu tahu tentang sesuatu perkara. Begitu jugalah halnya dalam dunia bolasepak. Samada bolasepak tempatan mahupun antarabangsa, beberapa persoalan sekarang (masa kini) mahupun akan datang (masa depan) berkemungkinan tinggi boleh dijawab sekiranya turut mengetahui jawapan kepada persoalan sejarah silam (masa lampau). Tanpa masa lalu, tiadalah masa sekarang ini. Jikalau masa sekarang ini tiba-tiba terhenti bermakna masa hadapan sudah pun berakhir, sekurang-kurangnya setakat di dunia ini.


Pasukan yang menjuarai Piala Malaysia yang pertama ialah Perak, memandangkan Piala Malaya bertukar namanya kepada Piala Malaysia pada tahun 1967. Namun, sebelum itu Singapura muncul sebagai johan pada tahun 1921 apabila Malaya Cup, yakni nama lama bagi Piala Malaysia, buat pertama kali diadakan. Brunei kini tidak lagi menghantar pasukannya ke Liga Malaysia, tetapi juara Piala Malaysia tahun 1999 itu dahulu pernah dijemput bersaing sekali berikutan rentetan sejarah penglibatannya bermain dalam Piala Borneo di samping Sabah dan Sarawak. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Piala Malaysia, Liga-M, Harimau Malaya dan sebagainya, sebarang persoalan yang boleh jadi timbul hendaklah dicari sendiri jawapannya. Di sini, hasratnya hanyalah untuk membangkitkan semangat ingin tahu kepada sesiapa yang berkenaan. Secara ringkas, berikut ini adalah beberapa catatan sejarah yang sempat direkodkan oleh duniabolasepak.blogspot.com sebagai tatapan.


1824: Sebuah pasukan yang dinamakan Kuching Wanderers dibentuk dengan kebanyakan pemainnya merupakan warga Eropah.

1892: Penubuhan Persatuan Bolasepak Singapura (Singapore Amateur Football Association).

1895: 'Risalat peraturan bola sepak yang dinamai Inggeris futbul' (A guide to the rules of the ball game called in English football) yang diterjemah oleh Mahmud bin Sayid Abdul Kadir al-Hindi diterbitkan di Singapura.

1899: Negeri-negeri Melayu Bersekutu mengadakan liga antara negeri yang pertama.

1905: Selangor Amateur Football League (SAFL) diwujudkan bagi penganjuran liga dalam negeri Selangor.

1909: Sebuah penerbitan yang bertajuk 'The rules of the Malaya Football Association' dicetak oleh Denodaya Press di Singapura. Gabenor Negeri-negeri Selat pada ketika itu ialah Sir John Anderson.

1920: Pasukan bolasepak Pulau Pinang dan Angkatan Tentera mulai dibentuk.

1921: Pasukan bolasepak Perak, Negeri Sembilan, dan Melaka mulai dibentuk.

1921: Perlawanan sulung Malaya Cup adalah pada 20 Ogos ketika Selangor mengalahkan Pulau Pinang 5-1. Piala pertandingan merupakan hadiah yang diberikan oleh Kapten Henry Tritton Buller apabila kapal perang HMS Malaya singgah di perairan negara.


1921: Malaya Cup buat julung kalinya mempunyai juara apabila Singapura muncul pemenang setelah menewaskan Selangor di perlawanan akhir dengan jaringan 2-1 di Padang Kelab Selangor (sekarang adalah Dataran Merdeka) pada 1 Oktober.

1921: Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (Football Association of Penang) ditubuhkan secara rasmi pada 21 Oktober.

1923: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (Negeri Sembilan Football Association) ditubuhkan.

1924: Persatuan Bolasepak Kedah (Kedah Darul Aman Football Association) ditubuhkan pada 27 April.

1924: Persatuan Bolasepak Melaka (Malacca Amateur Football Association) ditubuhkan.

1926: Persatuan-persatuan bolasepak Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, dan juga Singapura telah bergabung untuk membentuk Malayan Football Association (MFA) pada 11 September dengan John Middleton Sime sebagai presiden.

1926: Berikutan krisis politik dalaman di dalam SAFL, beberapa pegawainya telah keluar dan menubuhkan pula Selangor Football Association (SFA).

1928: Kuching Wanderers berubah menjadi Kuching Football Club pada 16 Januari.

1933: Sir Andrew Caldecott, seorang pentadbir kolonial British menjadi presiden yang pertama bagi Football Association of Malaya (FAM) yang menggantikan MFA. Sejak awal penubuhannya, ia berpangkalan di Singapura.

1933, Malaya Cup dinamakan semula menjadi HMS Malaya Cup.

1934: Kuching Football Club menjadi Kuching Football Association.

1936: Persatuan Bolasepak Selangor (Football Association of Selangor) ditubuhkan apabila SAFL dan SFA bergabung pada 22 Februari.

1940: Pentadbiran FAM dipindahkan dari Singapura ke semenanjung.

1941: Jawatan setiausaha agung FAM diwujudkan dengan pelantikan A.R. Singham.

1946: Persatuan Bolasepak Kelantan (Kelantan Amateur Football Association) ditubuhkan.

1946: Pasukan bolasepak Sarawak dan Borneo Utara mulai dibentuk.

1947: Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung diasaskan pada 19 April.

1948: Piala Malaya kembali dipertandingkan selepas 6 tahun terhenti dari 1942 hingga 1947 akibat Perang Dunia Kedua.

1951: Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menjadi Presiden FAM yang pertama bukan daripada kalangan warga British.

1951: Persatuan Bolasepak Perak (Perak Amateur Football Association) secara rasminya didaftarkan pada 18 April sebagai badan pentadbir bolasepak negeri Perak.

1952: Pasukan bolasepak Polis mulai dibentuk.

1954: FAM di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman menjadi antara 14 anggota pengasas Asian Football Confederation (AFC) pada 8 Mei.

1955: Persatuan Bolasepak Negeri Johor (Johor Darul Takzim State Football Association) ditubuhkan pada 29 Disember.

1956: Persatuan Bolasepak Terengganu (Terengganu Amateur Football Association) ditubuhkan pada 22 November.

1957: Kejohanan Pestabola Merdeka (Merdeka Tournament) mula diadakan sebagai salah satu acara utama sambutan kemerdekaan.

1959: Persatuan Bolasepak Pahang (Pahang Football Association) ditubuhkan.

1960: Persatuan Bolasepak Borneo Utara (North Borneo Football Association) ditubuhkan pada 22 Oktober.

1961: Pembukaan rasmi ibu pejabat FAM di Birch Road (kini Jalan Maharajalela), Kuala Lumpur oleh Tunku Abdul Rahman pada 7 Disember sebelum berpindah ke Wisma FAM di Kelana Jaya tahun 1980.

1963: FAM menukar namanya daripada Football Association of Malaya kepada Football Association of Malaysia.


1963: Persatuan Bolasepak Perlis (Perlis Football Association) ditubuhkan.

1963: Persatuan Bolasepak Borneo Utara ditukar namanya menjadi Persatuan Bolasepak Sabah (Sabah Football Association).

1967: Piala Malaya diperkenalkan semula sebagai Piala Malaysia.

1967: Selangor tewas 1-2 kepada Hapoel Tel Aviv FC dalam perlawanan akhir Kejohanan Kelab Asia edisi yang pertama di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok pada 19 Disember.

1972: Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ Football Club) ditubuhkan.

1972: Buat pertama kalinya, pasukan bolasepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman Barat.

1974: Persatuan Bolasepak Sarawak (Football Association of Sarawak) ditubuhkan semula selepas pengurusan yang lama telah jatuh muflis.

1974: Persatuan Bolasepak Wilayah Persekutuan (Federal Territory Football Association) ditubuhkan.

1980: Pasukan bolasepak Malaysia sekali lagi layak ke Sukan Olimpik di Moscow tetapi kemudiannya memboikot tuan rumah Kesatuan Soviet akibat tekanan politik.


1986: Persatuan Bolasepak Wilayah Persekutuan dinamakan semula menjadi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Football Association).

1989: Pemindaan nama Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung kepada Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia.

1992: Kelab Bolasepak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ Football Club) ditubuhkan.

1993: Kedah Langkasuka FC atau lebih dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) FC merupakan pasukan kelab dari Malaysia yang pertama yakni bukan pasukan negeri yang bermain dalam Kejohanan Kelab Asia (sebelum dijenamakan semula menjadi Liga Juara-juara AFC) di edisi 1992-93.

1996: PKENJ FC diubah namanya menjadi Kelab Bolasepak Johor (Johor Football Club).

1999: Brunei menjuarai Piala Malaysia, satu-satunya pertandingan yang dimenangi pasukan jemputan tersebut sepanjang pembabitannya dalam Liga-M.

2000: Selain daripada persatuan-persatuan negeri, Piala Malaysia mulai dibuka kepada pasukan-pasukan kelab untuk masuk bertanding.

2003: MPPJ FC mencipta sejarah baharu apabila tampil sebagai pasukan kelab pertama dan bukan dari kalangan persatuan-persatuan negeri yang berjaya meraih kejuaraan Piala Malaysia.

2006: Pembubaran MPPJ FC pada 31 Ogos.

2005: Pahang tumpas 2-4 di tangan Tampines Rovers FC dari Singapura dalam perlawanan akhir Kejohanan Kelab ASEAN di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan pada 31 Julai.

2007: Kelab Bolasepak Felda United (Federal Land Development Authority United Football Club) ditubuhkan pada 19 Januari.

2008: Kedah menjadi pasukan yang pertama memenangi tiga kejohanan tempatan iaitu Piala Malaysia, Liga Super, dan Piala FA sebanyak dua kali berturut-turut pada musim 2006-2007 dan 2007-2008.

2010: Pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia dinobatkan sebagai jaguh nusantara buat kali pertama pada 29 Disember di Stadium Bung Karno, Jakarta apabila pasukan Indonesia dikalahkan 4-2 secara agregat untuk membawa pulang Piala AFF yang turut dikenali sebagai Kejohanan Bolasepak ASEAN.


2012: Johor FC membuat perubahan nama menjadi Kelab Bolasepak Darul Ta'zim (Darul Ta'zim Football Club).

2013: Penjenamaan semula melalui Southern Tigers Sdn Bhd menyebabkan Johor FA diturunkan status menjadi skuad simpanan bagi JDT FC sahaja dan mula disebut sebagai Johor Darul Ta'zim Football Club II. Johor Darul Ta'zim Football Club I adalah nama yang diberikan kepada pasukan kelab Darul Ta'zim FC.

2013: Melaka FA dijenamakan semula menjadi Melaka United Soccer Association.

2015: Kuching FA dihidupkan semula.

2015: Sejarah tercipta apabila JDT FC menumbangkan FC Istiklol dengan jaringan 1-0 untuk menjulang Piala AFC pada 31 Oktober di Stadium Pamir, Dushanbe. Sebagai rekod, ini merupakan pasukan pertama dari Malaysia yang memenanginya dan juga yang pertama dari rantau Asia Tenggara.

2016: JDT FC mencipta rekod sebagai pasukan yang pertama memenangi divisyen tertinggi Liga-M melebihi dua kali berturut-turut iaitu pada tahun 2014, 2015, dan 2016.

2018: Terengganu FA dipanggil Terengganu Football Club berikutan proses penjenamaan semula  manakala T-Team FC menjadi Terengganu FC II sebagai skuad simpanannya.

2018: Mohamadou Sumareh dari Gambia menjadi pemain naturalisasi yang pertama bagi skuad kebangsaan Malaysia dalam era moden. Dalam penampilan sulungnya yakni perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Sugathadasa, Colombo pada 12 Oktober, beliau turut menjaringkan 2 gol dengan keputusan akhir 4-1 berpihak kepada Malaysia.

2019: Selangor FA berubah menjadi Selangor Football Club apabila diserahkan pengurusannya kepada Red Giants FC Sdn Bhd pada 9 Oktober. Di samping itu, PKNS FC juga diambil alih untuk dijadikan sebagai skuad simpanan yang dinamai sebagai Selangor FC II (atau Selangor FC 2).

2021: Piala Malaysia atau nama lamanya, Piala Malaya menyambut ulangtahunnya yang ke-100.



2 comments:

elsyet said...

Assalamualaikum.

1924: Persatuan Bolasepak Kedah (Kedah Darul Aman Football Association) ditubuhkan pada 27 April.

Mohon share sumber rujukan berkenaan dengan penubuhan KFA.

Terima kasih.

Dunia Bolasepak said...

Waalaikumussalam.

Untuk makluman, tiada tarikh rasmi yang dijumpai dan maklumat tersebut hanyalah berdasarkan kajian secara peribadi.

Kami juga masih menantikan maklumat rasmi supaya boleh dikemaskini. Terima kasih.

https://www.playmakerstats.com/equipa.php?id=11888