Ia jadi begitu memandangkan tiada siapa di atas muka Bumi ini yang tahu dengan tepat tentang masa hadapan. Beberapa pihak mungkin cuba untuk meneka atau membuat ramalan namun harapan agar setiap perubahan berubah daripada buruk kepada baik dan daripada baik kepada lebih baik tidak selalunya tercapai. Ketahuilah bahawa tercapai atau tidak tercapainya sesuatu itu bergantung kepada ketentuan Ilahi yang mencipta seluruh alam. Allah itu Tuhan yang Maha Adil.
Sempadan-sempadan rekaan manusia. (kredit: pikpng.com) |
Siapa sangka mantan Perdana Menteri Malaysia keempat kini juga adalah Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh? Menara Berkembar Petronas apabila siap dibina pada tahun 1998 pernah menjadi bangunan yang tertinggi di dunia, tetapi sekarang ini berada jauh di belakang 18 bangunan yang lain meskipun masih lagi memegang rekod sebagai menara berkembar yang paling tinggi. Stadium Nasional Bukit Jalil pula adalah antara stadium yang terbesar di dunia tetapi apa jadi kepada stadium keramat Stadium Merdeka?
Malaysia dalam dunia bolasepak sedihnya masih belum layak ke Piala Dunia dan belum juga menjuarai Piala Asia. Cuma, syukurlah sekurang-kurangnya pernah juga menjadi johan Asia Tenggara pada 2010 yang lalu. Melihat kepada pentas Liga-M, pasukan-pasukan negeri nampaknya semakin hilang kawalan apabila sebuah kelab yang sebelum ini dikenali sebagai Johor FC telah ditransformasi menjadi pasukan yang sangat dominan. Mujurlah Piala Malaysia tetap kekal sebagai kejohanan tanahair yang paling berprestij, ia masih wujud dan belum pupus.
Transisi Johor Darul Ta'zim FC yang asalnya ditubuhkan sebagai PKENJ (JCorp) FC benar-benar telah mengubah landskap bolasepak negara. Jikalau dahulu Selangor dan seteru utamanya Singapura seringkali membolot kejuaraan demi kejuaraan, malah adakalanya tahun demi tahun, kini giliran JDT FC pula yang melonjak naik sehingga buat masa ini tahapnya terlalu tinggi untuk dicapai oleh mana-mana pasukan tempatan yang lain. Mana tidaknya, selepas Kejohanan Kelab Asia bertukar menjadi Liga Juara-juara AFC, hanya JDT yang sedang menempa nama.
Bersekutu bertambah mutu. (kredit: wikidata.org) |
Berikutan kejayaan mereka memenangi Piala AFC tahun 2015, tiada siapa lagi yang boleh mempertikaikan kehebatan yang diraih bahkan turut menyebabkan pasukan asal yang mewakili negeri Johor iaitu Johor FA dengan sewenang-wenangnya dilupakan begitu sahaja. Apabila pasukan-pasukan kelab dibolehkan menyertai Piala Malaysia bermula tahun 2000, di samping timbulnya MPPJ FC pada 2003 sebagai juara yang pertama bukan daripada kalangan persatuan-persatuan negeri, tanda-tanda awal sememangnya telah lama muncul.
Tanda-tanda yang jelas lagi terang bahawa ruang serta peluang yang dibuka kepada pasukan-pasukan kelab sejak mula lagi telah mengeluarkan isyarat. Isyarat bahawa ombak perubahan mulai datang. Sayang seribu kali sayang, isyarat tersebut tidak diendahkan oleh banyak pihak. Hanya apabila ombak besar itu telah datang, barulah disedari bahawa ombak tersebut bukan sekadar ombak biasa tetapi tsunami yang tidak diduga mahupun terbayang boleh terjadi. Samada sudah disangka atau tidak, tsunami terhadap bolasepak Malaysia sudah pun membadai.
No comments:
Post a Comment