Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, February 19, 2020

Sifat-sifat sebagaimana yang sewajarnya

Mengapa perlu ada mentaliti konsumer yang melampau? Hanya mahu membeli dan tidak mahu pula menjual. Perniagaan itu jual beli. Ada jual dan ada beli. Ada beli dan ada jual. Kalau membeli sahaja tanpa menjual, jangan pelik kenapa duit selalu tidak cukup atau cepat habis. Ya, memang ada yang makan gaji tetapi kalau semua makan gaji, siapa yang hendak berniaga? Yang makan gaji itupun bukankah gajinya itu hasil daripada perniagaan? Andai bercucuk tanam pun tidak, apatah lagi ingin masuk ke hutan, yang semakin hari kian hilang digondol perakus-perakus yang nafsu serakah mereka dikuasai oleh perasaan tamak dan haloba. Lantas, kemampuan, kemahiran, dan cara pelaksanaan yang lemah akhirnya bakal menyebabkan ketidakseimbangan.


Begitu jugalah dengan perdagangan. Pertukaran asasnya melibatkan import dan eksport. Bukan import sahaja. Bukan juga eksport sahaja. Kalau semua benda hendak dieksport, dekat sini hendak pakai apa? Import pula memang boleh menyelesaikan banyak masalah dengan segera tetapi sekali tergendala maka habis semua jadi tunggang-langgang, lebih-lebih lagi jikalau tiada langsung bekalan tambahan yang disimpan. Baik, apa kena-mengenanya sukan bolasepak dengan perkara-perkara yang disebutkan ini? Perniagaan? Perdagangan? Hendak jadi pengeluarkah? Apa salahnya jadi pengguna, bukankah semua orang itu pengguna? Tengok EPL sahajalah, buat apa susah-susah hendak sokong Liga-M?

Yang tidak salah, memang tidak salah. Yang betul juga memang betul. Cuma, yang salah itu tetap salah. Salah apa? Tiada apa-apa yang salah kecuali mungkin tersalah faham. Tidak tahulah kalau ada yang sengaja buat-buat tidak faham, namun sebenarnya sebarang salah faham boleh diperbetulkan. Inilah maksud atau niat dan tujuan membandingkan sukan bolasepak dengan perniagaan serta perdagangan. Malah, ianya bukan sahaja boleh dijadikan perumpamaan, tetapi perniagaan serta perdagangan juga telah menjadi sebahagian daripada sukan bolasepak moden masakini.

Jika bermain bolasepak secara suka-suka bersama rakan-rakan, kos selalunya agak kecil dan boleh sahaja ditampung dengan agak mudah. Jika berkecimpung dalam bolasepak amatur yang tersusun sekalipun, juga mungkin masih lagi terdapat peruntukan yang boleh diguna walaupun tiadanya pembayaran elaun secara tetap. Minat punya pasal, perbelanjaan yang sikit-sikit seperti duit minyak mahupun but bola biasanya tidaklah diambil kira sangat. Namun begitu, masuk sahaja gelanggang profesional maka hampir segala-galanya perlu dikira. Bukan sekadar perlu menyediakan kunci kira-kira tetapi perkiraannya juga mestilah tepat tanpa sebarang masalah.

Profesional itu jika sesiapa masih belum mengerti, adalah sifat-sifat sebagaimana yang sewajarnya. Apabila tidak profesional sewaktu profesionalisme itu sangat-sangat diperlukan, maka jadilah banyak masalah. Kenapa bolasepak Malaysia dalam era yang kononnya dipanggil profesional mempunyai terlalu banyak masalah? Jawapannya betul-betul di hadapan mata. Boleh jadi golongan mata duitan sahaja yang dikaburi penglihatannya sehingga tidak boleh membezakan antara mata-mata (manusia) dengan mata mata (haiwan). Tidak kiralah macam mana pun, bolasepak dan pemain berpisah tiada. Asal ada bolasepak sahaja, ada pemain. Asal ada pemain sahaja, adalah bolasepak. Walau bagaimanapun, sekiranya bolasepak dan pemain cuba dipisahkan, atau lebih tepat lagi bolasepak tempatan perlahan-lahan hendak diasingkan daripada para pemain tempatan, agak-agaknya apa yang akan terjadi?


No comments: