Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, April 20, 2020

Bolasepak tergendala

Dunia bolasepak tahun 2020 tidak seperti biasa. Di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia, sukan bolasepak telah tergendala. Di luar bolasepak, kehidupan manusia lagilah tergendala walaupun hidup mesti diteruskan bagi yang masih bernafas dan bernyawa. Anak-anak di rumah, tidak dibenarkan ke sekolah. Barisan hadapan bertungkus lumus bekerja agar yang lain boleh mendapatkan rawatan atau duduk selamat di rumah. Gelandangan pula sebahagiannya ada yang dibantu, diberi tempat berteduh.

Jadual yang sudah dirancang sebelum ini terpaksa ditangguhkan. Jika perlu, dan nampaknya macam perlu, ada kemungkinan bolasepak akan ditangguhkan terus. Dalam kata lain, Liga-M (MFL) termasuklah Piala Malaysia musim 2020 boleh jadi berhadapan dengan risiko pembatalan. Apa-apa pun, rakyat harus tabah bertarung nyawa buat sementara waktu sehingga hilangnya ancaman novel coronavirus (SARS-CoV-2 atau 2019-nCoV) yang boleh mendatangkan penyakit berbahaya COVID-19.

Memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan, bulan Ramadan juga akan menjelang tiba. Meskipun timbulnya ketidaktentuan situasi semasa yang turut mengganggu perjalanan ibadat-ibadat seperti haji, umrah, solat Jumaat, dan solat berjemaah, amalan kebaikan yang lain masih boleh diteruskan. Malah, tidak perlu lagi risau atau bimbang kalau-kalau puasa nanti boleh merosakkan persembahan permainan kerana tiada pun sebarang perlawanan yang hendak diadakan.


Acara bolasepak dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang tidak menampilkan pasukan Malaysia sudah pun dianjak tarikhnya ke tahun hadapan, 2021. Begitu juga dengan baki 3 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 buat skuad Harimau Malaya, ia telah ditunda ke tarikh yang akan ditentukan kelak. Selain Copa América 2020 dan Euro 2020, Kejohanan AFF 2020 turut menjadi mangsa keadaan apabila penganjurannya dijangka bakal terkesan berikutan wabak yang sedang melanda.

Tatkala Liverpool hampir sahaja menamatkan penantian mereka untuk muncul juara di England sekali lagi setelah 30 tahun menunggu, JDT FC pula sempat mencipta sejarah baharu negara apabila menjadi pasukan pertama yang merangkul Piala Sumbangsih sebanyak 3 kali berturut-turut. Cuma, apa yang setakat ini JDT FC belum sempat adalah menambah gelaran juara Liga Super buat kali ke-7 berturut-turut. 2020 juga akan diingat sebagai tahun yang menyaksikan dua bekas juara Piala Malaysia iaitu Johor FA (JDT II) dan Perlis FA langsung tiada dalam radar untuk kembali menjuarainya dalam masa yang terdekat.

Dalam era Buffon-Casillas-Cech yang hanya tinggal Buffon di samping era Ronaldo-Messi yang semakin menghampiri penghujungnya, pandemik koronavirus yang sudah mencecah 5000 kes dalam negara dan 2 juta kes di seluruh dunia turut telah menyekat kemunculan semula pemenang Anugerah Puskás FIFA 2016. Setelah tidak diikat oleh mana-mana pasukan di sepanjang musim 2019, Faiz Subri kini kembali bersama pendatang baharu iaitu Northern Lions FC (NLFC-MAHSA) dalam saingan Liga M3 yakni divisyen ketiga negara.

Walau bagaimanapun, persoalan yang lebih penting daripada mana-mana individu, kelab, liga, mahupun negara adalah; bila dugaan ini akan berakhir? Insha'Allah, harapnya tidak lama lagi. Sama-sama kita berdoa. Bersabarlah.


No comments: