Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, May 11, 2020

Bolasepak Malaysia di abad ke-21

Apabila tamadun Kedah Tua sudah mulai wujud di Lembah Bujang semenjak tahun 582 Sebelum Masihi, penduduknya belum lagi terdedah dengan sukan bolasepak yang kita kenali pada hari ini. Malah, sewaktu tumbangnya Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 selepas dijajah beberapa Benggali Putih dari Peringgi, pun masih tiada siapa yang tahu tentang bolasepak, tidak kiralah samada daripada kalangan kerabat diraja, bangsawan, pendekar, saudagar, rakyat jelata, mahupun hamba sahaya. Bolasepak moden belum wujud, cuma kalau permainan tradisi sepak raga itu memang ada dimainkan sejak sekitar abad ke-15 atau lebih awal lagi.


Mana tidaknya, kelab bolasepak terawal di dunia iaitu Sheffield FC pun hanya ditubuhkan pada 24 Oktober 1857, lebih kurang 100 tahun sahaja sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Perlawanan antarabangsa rasmi yang pertama yakni Scotland bertemu England pula berlangsung jauh lebih lewat pada 1872. Pada penghujung abad ke-19 inilah, empayar Uthmaniyyah juga semakin menghampiri kemusnahannya seperti mana telah runtuhnya empayar Safavid dan empayar Mughal sebelum itu. Memasuki abad ke-20, Piala Malaya mula diperkenalkan di "British Malaya" pada 1921 yakni setahun selepas "Mandatory Palestine" dibentuk dengan penuh tipu daya. Tatkala perhatian ramai sedikit demi sedikit berjaya dialihkan maka khalifah terakhir pun turut berakhir pada 1924.

Memandangkan Piala Malaya dimulakan selepas Perang Dunia Pertama, ia tidak terkesan sehinggalah pada 1942 apabila Jepun datang menggantikan British sebagai penjajah baru. Sebelum Perang Dunia Kedua, Dolfattah adalah bintang bolasepak yang terkemuka hingga ke seluruh semenanjung. Dia begitu terkenal sampaikan digelar Raja Bola Malaya. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, anak didik Dolfattah pula yang menjadi bintang. Dialah Dollah Don, pemain yang pertama diberi nama jolokan Harimau Malaya. Pemain-pemain lagenda memang sukar dicari ganti namun kemunculan Abdul Ghani Minhat tidak berapa lama selepas itu bagaikan patah tumbuh hilang berganti.

Dolfattah dari Singapura,
Raja Bola yang pertama.

Dengan sokongan padu daripada tokoh yang bukan sembarangan, Abdul Ghani Minhat sebagai Raja Bola yang baharu betul-betul menggembirakan rakyat termasuklah Perdana Menteri yang sangat meminati bolasepak. Tunku Abdul Rahman bukan setakat mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka tetapi juga mengasaskan Pesta Bola Merdeka, kejohanan bolasepak jemputan yang bertaraf antarabangsa. Seolah-olahnya, bolasepak dan kemerdekaan negara berpisah tiada. Walaupun Pesta Bola Merdeka seringkali dilupakan semenjak akhir-akhir ini, hubung kait sejarahnya dengan tanahair tercinta ikut mana pun tidak boleh dipadamkan begitu sahaja. Sebagaimana tidak terpadamnya legasi hebat yang telah ditinggalkan oleh Mokhtar Dahari.

Meskipun Supermokh, Towkay, Spiderman, dan rakan-rakan seangkatan mereka yang lain tidak berjaya menjejakkan kaki ke Piala Dunia, kejayaan mereka yang paling diingati adalah dengan menjadi sumber inspirasi yang sangat penting. Inspirasi bagi ramai pemain yang lahir di penghujung abad ke-20 mahupun yang lahir selepas masuknya alaf baru, abad ke-21. Jika kehebatan era Dolfattah, Dollah Don, dan Abdul Ghani Minhat hanya boleh dibaca dan tidak sempat dilihat, kegemilangan zaman Mokhtar Dahari boleh sahaja ditonton sekiranya pandai mencari. Begitu juga dengan zaman Azman Adnan dan Akmal Rizal Rakhli, jika tidak dapat dicari maka cuba bertanya kepada pihak RTM (Radio Televisyen Malaysia). Mana tahu boleh membantu.

Adik-beradik kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha yang dahulunya muda belia kini sudah pun mencecah umur 30-an. Kedua-duanya cukup berbakat dan cukup berpengalaman. Sebelum pandemik Covid-19 melanda, mereka masih lagi aktif bermain. Khairul Fahmi, Safiq Rahim, Norshahrul, bahkan Presiden Persatuan Pemain- pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) iaitu Safee Sali pun belum menggantungkan kasut but. Seandainya apabila wabak semakin reda nanti dan aktiviti bolasepak dapat bersambung kembali, adakah khidmat mereka masih ditagih serta diperlukan? Mengapa pula Faiz Subri sehingga sekarang belum pernah menyarung jersi negara walaupun sudah diiktiraf dengan anugerah istimewa di peringkat antarabangsa?

Memang tidak dinafikan bahawa bakat-bakat seperti Safawi Rasid, Akhyar Abdul Rashid, mahupun Luqman Hakim Shamsudin patut terus digilap demi kepentingan masa hadapan Malaysia. Apatah lagi ketika ditambah dengan kehadiran Matt Davies, Mohamadou Sumareh, dan seumpamanya yang semakin mendapat tempat. Namun, selagi ada kemahuan dan juga kebolehan, apa salahnya jika peluang diberikan secara adil dan saksama kepada semua yang berhak. Tiada apa yang rugi melainkan rugilah jikalau tidak memanfaatkan segala peluang yang hadir dengan sebaiknya. Ingatlah, tiada yang baru jika tiada yang lama. Di dunia ini, walaupun yang baru akan menggantikan yang lama, setiap permulaan ada pengakhirannya. Baru atau lama, lama atau baru, bila sampai masanya, semua akan berakhir.


No comments: