Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Sunday, May 17, 2020

Kenapa mengundur ke belakang?

Dahulu amatur ke semi-pro, kemudian profesional. Sudahnya, mahu kembali ke semi-pro dan amatur balik? Gaji tidak mahu bayar. Tatkala negara-negara asing selangkah demi selangkah kian mara ke hadapan dalam arena sukan bolasepak, negara Malaysia yang tercinta pula setapak demi setapak makin mundur ke belakang. Mengapa? Pelik betullah. Kalau silap jalan, cepat-cepatlah pulang ke pangkal jalan. Jangan pula sudah tersilap, tetapi diteruskan juga perjalanan yang tidak pun menuju ke destinasi malah bertambah sesat hingga jauh tersesat.

Lihat sahaja Filipina, negara yang lebih menumpukan kepada sukan bola keranjang dipandang suatu ketika dahulu sebagai pasukan bolasepak yang kerdil dalam rantau Asia Tenggara, namun sekarang tidak lagi. Malaysia bukan sahaja sudah tidak mampu membelasah mereka dengan jaringan besar seperti yang pernah dilakukan dahulu, silap-silap Malaysia pula yang boleh dijadikan pasukan belasahan jika terus mengamalkan sikap acuh tidak acuh. Bangga sungguh digelar profesional meskipun hanya pada nama.

Tak tau dah nak cakap apa.
(gambar: Google)

Harap semua pihak yang berkenaan faham bahawa kemajuan pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia sangat-sangat bergantung kepada pembangunan pertandingan utama bolasepak domestik, apa lagi kalau bukan Liga-M yang termasuk juga Piala Malaysia. Oleh yang demikian, tolonglah, tolonglah sedar bahawa pada waktu, saat, dan ketika ini, ditambah pula dengan dugaan Penyakit Koronavirus 2019 yang datang mengganggu, bolasepak Malaysia malangnya sedang mengalami sakit teruk. Retak menanti belah.

Apakah penyakitnya? Penyakitnya adalah penyakit kronik yang sudah lama dibiarkan tanpa berubat malah dinafikan pula kewujudannya. Lantas, sejak dahulu sehingga kini, tiada rawatan bersesuaian yang diambil bagi menyembuhkan penyakit yang kini khabarnya sudah sampai ke tahap kritikal. Inilah dia penyakit cerdik tidak bertempat. Apabila sudah tenat baru hendak berubat maka pada waktu itu sudah pun terlambat.

Tidak perasankah bahawa kali terakhir skuad senior negara memenangi apa-apa kejuaraan sudah 10 tahun yang lalu? Sudah sedekad lamanya. Ya, JDT memang hebat tetapi bagaimana yang lain? Sekiranya semua pasukan yang lain gulung tikar dan hanya JDT yang tinggal, alamatnya saban tahun JDT akan terus-menerus dinobatkan sebagai juara dalam liga yang bukan setakat satu pusingan tetapi liga tanpa sebarang perlawanan. Bungkuslah kalau begitu.

Tahun 2020 atau bila-bila pun, bukannya masa untuk mementingkan diri sendiri. Walaupun perlu menjaga diri namun sifat mementingkan diri hanya akan memakan diri. Orang lain akan turut terkesan tetapi diri sendiri akan lebih terkesan. Kalau tidak percaya, tunggulah. Tunggulah masanya apabila orang-orang di sekeliling dibiarkan sahaja menjadi susah, dan dari susah menjadi terdesak. Akhirnya, yang senang juga akan menjadi susah dan sama-sama menjadi terdesak. Ini bukan landasan yang betul.

Benar, mungkin bercakap lebih mudah daripada bertindak. Yang bercakap akan terus bercakap. Yang menghentam akan terus menghentam, dan yang memberi nasihat akan terus menasihati. Persoalannya, bagaimana ingin merawat industri bolasepak tempatan yang separah ini? Apa yang rakyat Malaysia boleh buat? Bagi para peminat bolasepak tanahair, seandainya liga bolasepak lokal benar-benar sudah nazak maka dengan agak mudah boleh beralih ke pelbagai liga luar negara. Akan tetapi, siapakah yang bakal menanggung paling banyak kesusahan? Tidak kesiankah? Saudara, fikir-fikirkan.


No comments: