Di Malaysia, rasanya boleh dikatakan hampir tiada seorang pun yang bermain American football ini. Kalau setakat bermain permainan video atau pernah menontonnya melalui Internet atau televisyen satelit, mungkin adalah. Itu pun rasanya boleh dibilang dengan jari, terlalu sedikit. Tidak sebanyak yang meminati bolasepak, sukan yang lebih banyak menggunakan kaki namun tangan boleh digunakan pada keadaan dan waktu yang tertentu.
Bolasepak pada zaman moden bermula di sekitar abad ke-19. Orang-orang Inggeris merupakan pelopornya dan sebahagiannya turut menjadi perintis apabila cara bermain bolasepak disebarkan pula kepada negara-negara bangsa yang lain. Walau bagaimanapun, menjelang abad ke-20, sebuah negara dari Amerika Latin iaitu Brazil pula dengan cantiknya sudah mula menguasai permainan kegemaran ramai ini.
Pasukan Great Britain hanya ada di Olimpik. (gambar: Google) |
Maka, tidak hairanlah mengapa pemilik nama penuh Edson Arantes do Nascimento iaitu Pelé digelar O Rei, yang bermakna Sang Raja. Tanpa keraguan munasabah, lagenda bolasepak dunia itu dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang abad yang lalu. Secara keseluruhannya, berbekalkan rekod 1,281 gol dalam 1,363 perlawanan di samping tiga kejuaraan Piala Dunia, Pelé juga adalah pemenang Piala Dunia yang paling muda yakni semasa berumur 17 tahun 249 hari.
Meskipun sebelum Pelé sudah ada beberapa pemain ternama seperti dua rakan senegaranya iaitu Arthur Friedenreich dan Leônidas da Silva, ataupun Giuseppe Meazza dari Itali, Matthias Sindelar dari Austria, Alfredo Di Stéfano dari Argentina, serta Ferenc Puskás dari Hungari, namun namanya kini sudah sebati dengan bolasepak. Seolah-olah beliau dilahirkan semata-mata untuk bermain bolasepak. Selepas munculnya Franz Beckenbauer, George Best, Johan Cruyff, dan Diego Maradona sekalipun, nama Pelé tetap disebut-sebut.
Siapa sangka, tokoh yang dikagumi Pelé sewaktu membesar adalah seorang pemain dari benua Afrika. Siapakah dia? Larbi Benbarek, asalnya dari Maghribi tetapi pernah juga mewakili negara angkatnya Perancis. Selain itu, pemain lagenda yang sezaman dengan Pelé dan menjadi kebanggaan Portugis iaitu Eusébio juga sebenarnya lahir di Afrika, negara Mozambique. Zinedine Zidane pula yang lahir di La Castellane, Marseille, sebuah kejiranan bagi pelarian Algeria, langsung tidak menghalangnya untuk menjadi lagenda Perancis dalam tempoh peralihan merentasi penghujung abad ke-20 ke awal abad ke-21.
Pada tahun 1998, Zinedine Zidane dan rakan-rakan telah berhasil membawa negara Perancis menjuarai Piala Dunia buat pertama kali di halaman sendiri. Dunia bolasepak seakan-akan sudah berputar cukup satu pusingan apabila 20 tahun kemudian, giliran Kylian Mbappé dan rakan-rakannya pula yang menjulang Piala Dunia buat kali kedua untuk negara kelahiran seorang pemain lagenda bernama Michel Platini. Tatkala baru di usia muda 19 tahun, Mbappé sudah pun menjadi johan di peringkat dunia.
Adakah Mbappé bakal diangkat menjadi lagenda dalam abad yang masih didominasi oleh dua nama, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi? Masa akan menentukan samada Mbappé ataupun pencabarnya Marcus Rashford, mahupun yang lain-lain, mampu mengikuti jejak langkah para pemain lagenda sebelum mereka. Jika dapat mengatasi sebarang pencapaian sebelum ini, maka itu lebih baik. Cuma apa pun yang berlaku, Pelé tetap Pelé, Mbappé tetap Mbappé. Begitulah yang seterusnya kerana setiap pemain adalah unik.
Berbalik kepada Malaysia, istilah 'jaguh kampung' seringkali maksudnya diberi konotasi yang negatif. Jaguh kampung difahami sebagai sekadar handal di kawasan setempat. Menjadi bagus apabila bersaing sesama sendiri tetapi belum tentu bagus sekiranya keluar dari zon selesa. Walhal, bukankah setiap pemain bintang yang berkelas dunia asalnya seorang jaguh kampung? Mana-mana pemain lagenda pun, selalunya mula menyerlah di tempat sendiri sebelum mengukir nama di tempat orang. Jikalau tidak di tempat sendiri, bermula di tempat kecil sebelum ke tempat yang lebih besar.
Perbezaan yang jelas ketara antara seorang jaguh kampung dengan pemain bertaraf dunia hanya satu. Yang jaguh kampung masih kekal sebagai jaguh kampung, manakala pemain bertaraf dunia sudah tidak lagi menjadi jaguh kampung. Yang faham sahaja yang akan faham. Kalau belum faham, cuba faham-fahamkan. Kalau tidak, memang tidak akan faham. Bagaimana hendak faham kalau sejak awal-awal lagi memang tidak mahu faham. Mulakan dengan niat. Niat yang baik, hasilnya pun baik. Niat yang buruk, maka hasilnya pun buruk. Bila niat dapat satu, bila buat boleh dapat berkali-kali lipat ganda.
Benar, rezeki sudah diatur. Ada yang dapat lebih, ada yang dapat kurang. Akan tetapi, Tuhan yang Maha Kaya juga Maha Adil. Kalau ada lebih di sana, akan kurang di sini. Kalau ada kurang di sana, akan lebih di sini. Pokoknya, Tuhan itu adil seadil-adilnya. Jika ada yang tidak adil makanya datang daripada diri sendiri. Mari kita lihat beberapa contoh. Azmi Muslim dahulu mengambil peluang untuk menyertai sebuah rancangan TV realiti iaitu MyTeam lalu berjaya, sampailah mewakili negara. Adam Nor Azlin pun begitu, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pernah memasuki program Mencari Ramli dan akhirnya hingga dipanggil beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Ramai sungguh alumni SSBJ yang berkesempatan menyarung jersi kebangsaan. Razman Roslan, Stanley Bernard, Shakir Shaari, Amirul Hadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha, anak kembar Abdul Radzak iaitu Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, serta tidak ketinggalan juga ialah Nazmi Faiz Mansor. Bekas juragan (captain/skipper) Malaysia, Safiq Rahim pun dari sana. Sekolah-sekolah sukan sememangnya menjadi lubuk untuk mencari yang terbaik di kalangan yang terbaik. Namun begitu, usahlah terlalu terkejut seandainya ada lagi yang tersorok malahan lebih baik lagi daripada apa yang disangkakan sudah pun terbaik.
Realitinya, dari awal hingga akhir, prosesnya tetap sama. Mungkin sedikit berlainan jika di luar negara, dalam negara semuanya lebih kurang sama. Bermula dari peringkat sekolah, kemudian daerah, dan selanjutnya negeri. Di peringkat negeri pula ada beberapa lapisan, boleh jadi untuk pertandingan Piala Emas Raja-raja, Sukan Malaysia (Sukma), Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Piala Belia, atau Piala Presiden. Bahkan lebih penting daripada semua itu adalah menandatangani kontrak profesional dengan pasukan yang bermain di Liga Malaysia (Liga-M) mahupun liga-liga antarabangsa sekiranya mampu. Jika bernasib baik, dapatlah bermain paling lama pun kira-kira 10 hingga 15 tahun. Nasib baik lagi kalau sempat pula bermain untuk negara, tanahair yang tercinta.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment