The Football Association (The FA atau English FA) yang mentadbir sukan bolasepak (Bahasa Inggeris: association football) di England serta wilayah-wilayah Jersey, Guernsey, dan Isle of Man merupakan persatuan bolasepak tertua di dunia apabila wujud semenjak tahun 1863. Scottish FA (SFA) pula cuma muncul sedekad kemudian, yakni pada tahun 1873. FA Wales (FAW) pada 1876, manakala Irish FA (IFA) pada 1880 sebelum FA Ireland (FAI) berpisah dengannya. Sedikit maklumat tambahan, perlawanan antarabangsa yang didakwa pertama kali diadakan di atas muka Bumi adalah antara dua pasukan kebangsaan iaitu England menentang Scotland pada 30 November 1872 di Partick, Glasgow.
Badan pentadbir tertinggi bolasepak dunia iaitu Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang diasaskan pada 1904 asalnya hanya bermula dengan penyertaan 8 buah negara yakni Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda, Sepanyol, Sweden, dan Switzerland. Beribu pejabat di Zürich, keahliannya kini sudah pun mencecah 211 persatuan bolasepak kebangsaan. Sebagai perbandingan, Gabungan Persatuan Bolasepak Bebas (CONIFA) umpamanya mempunyai lebih kurang 61 ahli sahaja sejak ditubuhkan pada tahun 2013. Meskipun mempunyai jaringan antarabangsa, CONIFA sekadar melahirkan peluang alternatif dan bukan tandingan langsung buat FIFA.
Uruguay menjadi negara sulung yang dinobatkan sebagai juara dunia setelah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik dua kali berturut-turut pada 1924 dan 1928, yang ketika itu diiktiraf sebagai kejohanan dunia memandangkan Piala Dunia masih belum ada. Kemudian, apabila Piala Dunia yang pertama diadakan pada tahun 1930, Uruguay sebagai tuan rumah turut menjuarainya. Uruguay juga sekali lagi menjuarai Piala Dunia pada tahun 1950. Selain itu, hanya 7 negara lain yang pernah memenangi Piala Dunia setakat edisi 2018 yang lalu yakni Brazil (1958, 1962, 1970, 1994, 2002), Jerman (1954, 1974, 1990, 2014), Itali (1934, 1938, 1982, 2006), Argentina (1978, 1986) , Sepanyol (2010), Perancis (1998, 2018), dan England (1966).
Apa yang menarik, tuan rumah Piala Dunia tahun 2022 iaitu Qatar (juara Piala Asia 2019) berpeluang untuk tampil sebagai negara ke-80 yang akan ke Piala Dunia kerana sebelum ini hanya 79 buah negara yang pernah layak. Sekadar ingin menyebutkan, Indonesia bermain di Piala Dunia tahun 1938 sebagai Hindia Timur Belanda, manakala India layak ke Piala Dunia tahun 1950 tetapi menarik diri sebelum kejohanan bermula. Ini bermakna, mengikut jumlah keahlian FIFA yang terkini maka terdapat 131 negara yang belum ke Piala Dunia jika tidak termasuk Qatar. Cuma, tidak tahulah bagaimana nasib Piala Dunia tahun 2022 nanti. Seluruh dunia masih dibayangi wabak COVID-19 terutamanya tahun 2020. Berdasarkan sejarah, hanya dua kali Piala Dunia tidak diadakan iaitu pada tahun 1942 dan 1946 berikutan Perang Dunia Kedua.
Bagaimana dengan Malaysia? Bagaimana caranya untuk ke tahap yang seterusnya? Sebelum cuba menjawab persoalan-persoalan tersebut, ambil persatuan bolasepak yang pencapaiannya adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik sebagai contoh. Confederação Brasileira de Futebol (CBF) yang menghantar wakil buat negara Brazil adalah satu-satunya pasukan yang hadir dalam kesemua 21 kejohanan Piala Dunia dan dijangka turut mampu membuat penampilan ke-22 menjelang Piala Dunia tahun 2022. Pasukan Brazil juga telah menjuarai Piala Dunia sebanyak 5 kali iaitu yang terbanyak setakat ini, di samping 4 kejuaraan Piala Konfederasi dan 9 kejuaraan Copa América.
Maka, sebelum skuad Harimau Malaya khasnya dan rakyat Malaysia amnya mahu berangan-angan untuk mengejar sejauh mana yang sudah dilalui pasukan bolasepak kebangsaan Brazil, hendaklah bermuhasabah diri sedalam-dalamnya dahulu. Pertamanya, rekod Brazil yang layak ke setiap Piala Dunia sejak awal memang tidak boleh lagi diikuti, bukan sahaja Malaysia malahan negara mana sekalipun. Masa lepas tidak boleh diundur, hanya masa depan yang boleh dituju, itupun sekiranya hayat masih ada. Jadi, merebut kejuaraan Piala Dunia sahajalah yang menghadiahkan peluang. Namun, sebelum bercita-cita untuk menjuarai Piala Dunia, berusahalah untuk layak ke Piala Dunia terlebih dahulu.
Jika pada masa lalu pertandingan bolasepak Sukan SEA mahupun Pesta Bola Merdeka sahaja yang sering menjadi tarikan utama sebelum wujudnya Piala AFF, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekarang ini perlu mencari ikhtiar bagi mengorak langkah yang selanjutnya. Memanglah layak ke Sukan Olimpik tahun 1972 dan 1980 itu bagus. Layak ke Piala Asia sebanyak tiga kali (1976, 1980, 2007) juga sangat bagus tetapi untuk menjadi hebat, sesebuah pasukan mestilah menjadi juara. Kalau dua pingat gangsa yang digondol dalam Sukan Asia masing-masing pada tahun 1962 dan 1974 pun sudah cukup membanggakan, apatah lagi sewaktu Jalur Gemilang berkibar megah semasa trofi Piala AFF dapat dijulang pada tahun 2010. Sekurang-kurangnya jersi belang kuning-hitam yang berselang-seli dengan jersi kedua warna biru, merah, dan putih sudah pun pernah bergelar johan di rantau Asia Tenggara.
Kejayaan peringkat benua sepatutnya kini dijadikan sasaran yang berikutnya. Selepas benua Asia berjaya ditakluki pada suatu hari nanti, tidak mustahil untuk tanahair yang tercinta ini untuk terus mara ke hadapan. Setapak demi setapak, selangkah demi selangkah. Teringat satu peribahasa; sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Walau bagaimanapun, jangan sesekali fikir bahawa tanpa usaha boleh berjaya secara automatik. Benar, jatuh bangun semuanya sudah ditentukan oleh Ilahi namun sebagai makhluk yang tiada upaya melainkan dengan pertolongan Rabb yang Maha Esa, adalah sangat penting untuk berharap (niat yang baik) di samping banyak berdoa. Malah, usaha itu juga sebahagian daripada doa. Berdoalah yang baik-baik, berusaha jugalah dengan sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment