Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, October 25, 2013

Ciri-ciri pemain bolasepak yang hebat

Apakah kriteria atau ciri-ciri pemain bolasepak yang hebat? Seorang pemain bolasepak yang hebat sudah tentu mempunyai pengetahuan asas yang kukuh serta kemahiran yang tinggi, dilengkapi pula dengan sikap yang positif dan pengalaman yang mencukupi. Sukan bolasepak sebenarnya bukanlah sekadar menyepak, menggelecek, menanduk, mendada, atau menimang bola sahaja tetapi lebih daripada itu.

Di sini, duniabolasepak.blogspot.com hendak membincangkan tentang tiga aspek yang utama dalam permainan bolasepak iaitu teknikal, mental, dan fizikal.


[A] TEKNIKAL

A.1. Mengambil sepakan penjuru (tendangan sudut). Ketepatannya bergantung kepada menjangka pergerakan rakan-rakan sepasukan dan membuat keputusan untuk menghantar bola ke kawasan yang dijangka. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah David Beckham.


A.2. Membuat hantaran silang (hantaran lintang). Ketepatannya bergantung kepada menjangka pergerakan rakan-rakan sepasukan dan membuat keputusan untuk menghantar bola ke kawasan yang dijangka pada masa yang sesuai. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah David Beckham.


A.3. Menggelecek. Keberkesanannya bergantung kepada menjangka pergerakan pemain-pemain pasukan lawan dan kemampuan untuk memperdaya mereka. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Lionel Messi.


A.4. Melakukan penyudah. Ketepatan tendangan ke arah pintu gol bergantung kepada membuat keputusan yang tenang dalam keadaan yang tertekan dengan memilih tempat dan masa yang sesuai untuk menggunakan teknik tendangan yang betul. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Thierry Henry.


A.5. Menampan bola (sentuhan pertama). Kecekapan mengawal bola dengan kemas apabila menerimanya bergantung kepada kreativiti (mengenal pasti pilihan yang ada) dan membuat keputusan untuk memilih jalan yang terbaik sebelum bola sampai ke kaki. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Zinedine Zidane.


A.6. Mengambil sepakan percuma. Ketepatannya bergantung kepada teknik tendangan dan membuat keputusan untuk menghalakan bola ke tempat sasaran dengan bijak. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Cristiano Ronaldo.


A.7. Menanduk. Ketepatannya bergantung kepada menjangka di mana bola akan berada dan membuat keputusan untuk memilih cara tandukan serta ke mana bola akan pergi. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Zinedine Zidane.


A.8. Membuat tendangan jarak jauh. Ketepatannya bergantung kepada mengenal pasti pilihan yang ada dan membuat keputusan untuk melakukan teknik tendangan yang deras ke arah pintu gol. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Steven Gerrard.


A.9. Membaling bola (lontaran ke dalam) jarak jauh. Ketepatannya bergantung kepada jarak dan membuat keputusan untuk menghantar bola ke tempat yang hendak dituju. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Rory Delap.


A.10. Mengadang pemain lawan. Keberkesanannya bergantung kepada kemampuan untuk mengekori serta mengasak pemain lawan apabila bertahan di samping memahami kawasan permainannya. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Fabio Cannavaro.


A.11. Melakukan hantaran. Ketepatannya bergantung kepada menjangka pergerakan rakan-rakan sepasukan dan mengenal pasti pilihan yang ada serta membuat keputusan bila, bagaimana, dan kepada siapa untuk membuat hantaran. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Xavi Hernandez.


A.12. Mengambil sepakan penalti. Ketepatannya bergantung kepada membuat keputusan untuk merembat bola tepat ke sasaran selain dapat menenangkan diri dalam keadaan yang tertekan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Lionel Messi.


A.13. Menerpa pemain lawan (mencuri bola). Keberkesanannya bergantung kepada pemilihan waktu dan membuat keputusan untuk melakukan terjahan dengan penuh ketangkasan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Alessandro Nesta.


A.14. Mempunyai teknik tertentu. Kepelbagaiannya bergantung kepada tingkat kebolehan seseorang pemain. Lebih tinggi tekniknya maka lebih banyak perkara yang boleh dilakukan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Zinedine Zidane.


[B] MENTAL

B.1. Pelanggaran. Permainan yang agresif adalah lebih bertenaga dan banyak bertempur. Permainan yang kurang agresif adalah tidak tegas dan suka menurut. Sifat agresif tidak berkait secara langsung dengan kekerasan kerana permainan yang kasar lebih bergantung kepada kelicikan dan semangat kesukanan seseorang pemain. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Patrick Vieira.


B.2. Penjangkaan. Kepandaian membaca permainan atau mengagak pergerakan pemain-pemain lain adalah sangat membantu dalam membuat keputusan sebelum berlakunya hantaran, larian, pemintasan, dan lain-lain. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah John Terry.


B.3. Keberanian. Pengorbanan yang akan dilakukan untuk mendapatkan kelebihan dalam permainan seperti memenangi bola ataupun mengelak gawang sendiri dibolosi walaupun terdapat risiko kecederaan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Carles Puyol.


B.4. Ketenangan. Kehandalan beraksi di sebalik tekanan samada daripada pihak lawan mahupun semasa ingin membuat jaringan atau hantaran pada saat penting. Keputusan yang bijak adalah bergantung kepada ketenangan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Frank Lampard.


B.5. Perhatian. Kemampuan untuk membuat keputusan serta jangkaan yang betul dalam tempoh masa yang panjang. Jika tidak, penumpuan atau konsentrasi yang rendah akan menyebabkan lebih banyak kesilapan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Marcel Desailly.


B.6. Kreativiti. Kebolehan mengenal pasti pilihan yang ada sebelum membuat keputusan yang bijak. Lebih kreatif bermakna lebih banyak pilihan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Ronaldinho.


B.7. Keputusan. Kemampuan untuk membuat keputusan yang baik adalah amat penting. Seorang pemain itu sentiasa disajikan dengan pelbagai pilihan, dan kemampuan itulah yang akan menentukan samada pilihan tersebut adalah yang terbaik serta bagaimana dan bila akan dilaksanakan. Keputusan adalah mengenai apa, bila, dan bagaimana. Keputusan turut bergantung kepada kreativiti dan juga teknik. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Juan Roman Riquelme.


B.8. Ketabahan. Kesungguhan pemain dalam memberikan 100% dalam perlawanan. Pemain yang tidak cukup tekad akan menyerah kalah lebih awal berbanding pemain yang berjuang habis-habisan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Michael Ballack.


B.9. Bakat. Kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang tidak diduga. Pemain berbakat mempunyai kelainan serta gaya yang luar biasa. Bakat tersebut membolehkannya mengatasi jangkaan pemain lawan melalui kreativiti, keputusan, dan apa sahaja kebolehan yang diperlukan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Rene Higuita.


B.10. Pengaruh. Kepimpinan boleh menentukan kehebatan seorang ketua pasukan. Sekiranya tiada pengaruh yang kuat, pemain-pemain lain tidak akan menghormati keputusan pemilihan kapten mahupun mendengar percakapannya semasa mesyuarat tergempar. Seorang kapten yang berpengaruh akan mewujudkan keharmonian di dalam skuad. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Gianluigi Buffon.


B.11. Tanpa bola. Kemampuan untuk memanfaatkan ruang apabila tidak memiliki bola adalah sangat mustahak. Bukan sahaja penting buat seorang pemain siap sedia untuk menerima bola, tetapi juga untuk menarik keluar pemain-pemain lawan dari kedudukan asal mereka agar dapat membuka ruang serta peluang bagi rakan-rakan sepasukan. Kemampuan ini bergantung kepada keputusan untuk menentukan bila, bagaimana, dan di mana untuk melakukan pergerakan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Francesco Totti.


B.12. Kedudukan. Kemampuan untuk meletakkan diri di posisi yang betul adalah berdasarkan keadaan yang berlaku di sekeliling pemain. Kedudukan yang baik turut bergantung kepada menjangka pergerakan pemain-pemain lain dan juga membuat keputusan ke mana mahu bergerak. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Claude Makelele.


B.13. Kerjasama. Kemampuan pemain untuk mengawal ego. Pemain yang kurang kerja berpasukan akan meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan bersama sebagai sebuah pasukan, seperti cuba melakukan tendangan ke arah gol daripada membuat hantaran kepada rakan sepasukan, walaupun hakikatnya rakan sepasukan berada di kedudukan yang lebih baik untuk menjaringkan gol. Pemain yang bekerja secara berpasukan akan membuat keputusan berlandaskan apa yang terbaik untuk pasukan, bukan apa yang terbaik untuk dirinya. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Andres Iniesta.


B.14. Kerajinan. Ketekunan akan menentukan berapa kerap seorang pemain itu sedang giat bermain. Pemain yang pasif tidak menghabiskan terlalu banyak masa dalam membuat keputusan ketika tidak memiliki bola, sebaliknya hanya menunggu sahaja peluang untuk muncul dan tidak cuba mencipta peluang untuk diri sendiri. Pemain yang aktif selalu bersiap sedia dan akan melibatkan dirinya dalam permainan sebanyak yang mungkin. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Wayne Rooney.


[C] FIZIKAL

C.1. Pecutan. Kepantasan seorang pemain mencapai kelajuan maksimumnya adalah berhubung rapat dengan tahap kecepatan. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Gareth Bale.


C.2. Kelincahan. Pergerakan dapat dilakukan oleh seorang pemain dengan mudah. Pemain yang kurang lincah kelihatan agak lesu permainannya manakala pemain yang lincah permainannya adalah sangat tangkas. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Neymar.


C.3. Keseimbangan. Ketahanan seorang pemain untuk kekal tidak jatuh walaupun dalam tekanan. Keseimbangan sering kali berkait rapat dengan tahap kekuatan dalam situasi bahu ke bahu, dan menentukan samada pemain terus dapat bertahan di atas kakinya sendiri apabila menghadapi tekanan seperti bentesan dan sebagainya. Pemain yang mempunyai keseimbangan yang baik akan bertahan lebih lama. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Lionel Messi.


C.4. Loncatan. Ketinggian maksimum yang boleh dicapai oleh seorang pemain apabila melompat. Lompatan adalah apabila kepala seorang pemain itu sejauh yang boleh dari tanah. Ketinggian pemain juga turut dikira, pertama sekali untuk menentukan samada pemain tersebut perlu melompat ataupun tidak. Umumnya, dua pemain yang boleh melompat dengan baik berupaya mencapai ketinggian yang lebih kurang sama. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Cristiano Ronaldo.


C.5. Kecergasan semulajadi. Pemulihan setelah kemerosotan tahap fizikal. Dalam tempoh jangka masa panjang, kecergasan mengawal kadar penurunan apabila merujuk kepada tahap fizikal. Di samping itu, kecergasan membolehkan seorang pemain yang mengalami kecederaan berupaya untuk sembuh dengan lebih baik. Pada dasarnya, kecergasan yang tinggi bererti kerjaya yang lebih panjang dan kesembuhan yang lebih cepat. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Ryan Giggs.


C.6. Kecepatan. Kelajuan maksimal bersangkut paut secara longgar dengan kebolehan membuat keputusan untuk menggunakan kelajuan pada waktu yang sesuai. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Cristiano Ronaldo.


C.7. Stamina. Keuletan mengawal kadar penurunan kondisi pemain. Apabila stamina lebih tinggi, lebih lama seorang pemain itu terus bermain tanpa rasa penat atau letih. Stamina berhubung sepenuhnya dengan keadaan perlawanan seseorang pemain. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Javier Zanetti.


C.8. Kekuatan. Ketegapan pemain hanya digunakan bagi menentang pemain lawan, membantu menentukan siapa yang akan memenangi gasakan, dalam situasi bahu ke bahu dan sebagainya. Salah seorang pemain contoh yang baik ialah Didier Drogba.


Sebagai rumusan, adalah sangat penting bagi tiap-tiap pemain yang ingin berjaya untuk sentiasa belajar dan memperbaiki diri dari masa ke semasa. Dalam dunia sukan bolasepak, setiap permulaan ada pengakhirannya seperti mana juga dalam kehidupan. Hanya segelintir yang bertuah sahaja yang diberi peluang, pilihan, dan perubahan. Oleh itu, hargailah apa jua kebaikan yang telah diperolehi dan berusaha untuk melakukan yang terbaik dengan harapan kebaikan turut hadir di penghujungnya.


3 comments:

yusoff said...

good information :)

http://www.bacasukan.blogspot.com

Unknown said...

terima kasih. membantu saya menjawab soalan pendidikan jasmani (^-^)

Dunia Bolasepak said...

Sama-sama. Sila rujuk juga dengan guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan untuk maklumat lanjut.