Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, December 4, 2015

Selamat tinggal dan jumpa lagi, Singapura.

Malaysia dan Singapura, benci tapi cinta.

Inilah yang dikatakan ironi. Hampir 21 tahun yang lalu iaitu pada 17 Disember 1994, Singapura telah menumpaskan pasukan Pahang dengan jaringan 4-0 di Stadium Shah Alam untuk menjulang piala berprestij Piala Malaysia buat kali ke-24 dan juga yang terakhir. Namun begitu, nasib tidak menyebelahi mereka lebih kurang 21 tahun kemudian apabila pasukan wakil Singapura yakni LionsXII kali ini tewas kepada juara bertahan Pahang 4-3 secara agregat walaupun menang 2 gol tanpa balas dalam perlawanan timbal balik peringkat suku akhir di tempat sendiri, Stadium Jalan Besar pada 28 November 2015 yang lalu. Dengan tersingkirnya pasukan ini daripada Piala Malaysia edisi ke-89 tahun 2015, maka berakhir jugalah penyertaan Singapura dalam bolasepak Malaysia setelah perjanjian persefahaman antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) tidak lagi disambung bagi musim hadapan.

Dari sudut sejarah Piala Malaysia, Singapura merupakan salah satu pasukan yang terawal menyertai pertandingan yang mula diasaskan pada tahun 1921 ini. Apabila Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Borneo Utara (Sabah), dan Sarawak bergabung membentuk gagasan Malaysia pada 16 September 1963, Singapura masih menyertai pertandingan tersebut walaupun menjadi sebuah negara yang asing dua tahun kemudian pada 9 Ogos 1965. Hanya beberapa kali Singapura tidak terlibat atas sebab-sebab tertentu yakni dari tahun 1968 hingga 1969, 1982 hingga 1984, dan 1995 hingga 2011. Adakah Singapura akan kembali lagi ke arena bolasepak Malaysia pada masa yang akan datang? Entahlah, nampaknya mungkin tidak lagi, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini.

Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang jua.

Biar pun terdapat berbagai reaksi tentang perkembangan terbaru ini, ramai pihak terutamanya di Malaysia menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi menyeberangi Tambak Johor untuk perjalanan yang perlu dibayar dengan harga yang sangat tinggi. Mereka menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi memikirkan tentang tanggungan kos yang semakin membebankan akibat kejatuhan mendadak nilai wang Ringgit Malaysia sejak kebelakangan ini. Selain itu, pemain-pemain dari Malaysia yang kurang gemar bermain di atas padang rumput tiruan juga nampaknya bertambah lega dan redha sedangkan pemain-pemain dari Singapura sebaliknya tidak merasakan yang serupa. Kalau diperhatikan, pasukan LionsXII dan juga para penyokongnya kelihatan amat teruja dapat mengimbau kembali kenangan lama apabila dapat berentap dengan pasukan-pasukan seteru lama mereka. Malah, mungkin ada di antara mereka yang sampai mengidamkan kejayaan yang boleh mengatasi rekod cemerlang pasukan Selangor sebagai juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali. Impian seperti ini sekiranya ada, tidaklah dianggap angan-angan Mat Jenin sebelum ini, lebih-lebih lagi Singapuralah satu-satunya pasukan terdekat yang mampu memberikan cabaran serius.

Walau bagaimanapun, di sebalik berita yang kurang enak di Malaysia mengenai pembubaran pasukan Harimau Muda, Singapura pula sudah mula memandang agak jauh ke hadapan. Sekiranya Liga Singapura (S.League) sebelum ini lebih banyak terdedah sebagai suatu bentuk pertaruhan berbanding permainan sukan, kini mereka sedang mengorak langkah untuk meningkatkan serta mengukuhkan jenamanya. Lebih dahsyat lagi, Singapura sudah pun bercita-cita untuk mencipta nama di peringkat yang lebih tinggi. Liga Super ASEAN (AFF Super League) yang masih menantikan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk dijalankan pada tahun 2016 adalah pentas baru yang mana telah dicadangkan bahawa pemenangnya akan terus layak ke Liga Juara-juara AFC tanpa melalui Piala AFC. Jika Hariss Harun yang mewakili kelab Johor Darul Ta'zim FC menjadi pemain Singapura yang pertama memenangi pingat johan Piala AFC, maka tunggu sahajalah nanti kelibat pemain-pemain baru dari Singapura yang suatu hari kelak mampu menempa nama sebagai lagenda baru Singapura. Sudah pasti banyak yang dipelajari oleh Singapura daripada Malaysia, jadi terletak di tangan Malaysia pula untuk mempelajari sesuatu daripada Singapura.

Piala Malaysia pernah menjadi gelanggang terciptanya sejarah
bagi pemain lagenda Singapura, Fandi Ahmad.
(gambar: bazookapenaka.my)

Selamat tinggal Singapura. Semoga kita berjumpa lagi pada lain kali. Kalau bukan di Liga-M (M-League) atau Piala Malaysia, jumpa sahaja di pentas antarabangsa.

#PialaMalaysia #FandiAhmad #MajulahSingapura


1 comment:

JUNAIDI said...
This comment has been removed by a blog administrator.