Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Sunday, July 15, 2018

Malaysia juara Kejohanan Remaja B-19 AFF 2018

Kita juara!
(gambar: sports247.my)

Dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan, "Harimau Muda" Malaysia berjaya mengetepikan bekas juara dua kali Myanmar dengan jaringan 4-3 untuk meraih kejuaraan sulung dalam Kejohanan Remaja Bawah-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN tahun 2018. Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Awang Muhammad Faiz (3'), Nik Akif Syahiran Nik Mat (18', 90+3'), dan Shivan Pillay Asokan (76'), manakala Win Naing Tun (23', 26') dan Myat Kaung Khant (31') berada dalam senarai penjaring buat pasukan Myanmar. Win Naing Tun juga muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan jumlah 8 gol. Pasukan tuan rumah Indonesia yang bertemu dengan Malaysia dalam aksi sengit separuh akhir pula menduduki tempat ketiga selepas menewaskan bekas juara lima kali Thailand dengan kemenangan tipis 2-1.

Tahniah diucapkan kepada barisan pemain serta jurulatih negara di atas pencapaian yang membanggakan ini, yang kebetulan pula bersempena dengan pelantikan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru menggantikan mantan presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang kini merupakan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Datuk Hamidin menjadi Presiden FAM yang ketujuh sejak Bapa Kemerdekaan dan juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman. Alhamdulillah, semoga negara Malaysia terus memperoleh kejayaan demi kejayaan selepas ini. Malaysia Boleh!


Saturday, July 14, 2018

Separuh akhir Kejohanan Remaja B-19 AFF 2018

Sekali lagi negara Malaysia akan berada di pentas final. Di sepanjang sejarah penyertaan dalam Kejohanan Remaja Bawah-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN sejak tahun 2002, Malaysia sebenarnya sudah lima kali muncul sebagai naib juara iaitu pada 2003, 2005, 2006, 2007, dan terbaru adalah pada tahun lepas yakni 2017 manakala pernah juga sekali berada di tempat ketiga pada 2011. Selepas berjaya menduduki tangga pertama dalam Kumpulan B yang turut mengandungi Myanmar, Kemboja, Timor-Leste, dan Brunei, pasukan pelapis negara pada tahun ini berjaya maju ke peringkat separuh akhir untuk bertemu dengan tim sepak bola tuan rumah, Timnas Indonesia B-19 iaitu Garuda Muda pada 12 Julai 2018. Indonesia pula mara ke separuh akhir setelah berada di belakang Thailand dalam Kumpulan A, mengatasi Vietnam, Laos, Filipina, dan Singapura.

Penjaga gol muda Malaysia, Azri Ab Ghani muncul pemain terbaik
perlawanan ketika menentang Indonesia di separuh akhir.
(kredit: harnas.co)

Dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, pasukan Garuda Muda turun dengan penuh semangat apabila kesebelasan utamanya turut dibintangi oleh pemain muda yang semakin meningkat naik iaitu Egy Maulana Vikri. Bintang muda tersebut menjadi kebanggaan seluruh Indonesia kerana telah menandatangani kontrak untuk bermain di Poland bersama kelab Lechia Gdańsk dan namanya kian menjadi sebutan lebih-lebih lagi sesudah menjaringkan gol pembukaan perlawanan separuh akhir pada minit pertama menerusi jaringan penalti. Pasukan Malaysia B-19 kemudiannya dapat juga mengikat kedudukan melalui gol daripada ketua pasukan Muhammad Syaiful Alias yang juga pemain pertahanan tengah Kelantan FA pada minit ke-15. Permainan yang kekal buntu dengan jaringan satu sama terus berlanjutan sehinggalah penentuan sepakan penalti.

Egy Maulana menjadi penjaring terbanyak apabila mencetak
8 gol dalam edisi Kejohanan Remaja B-19 AFF 2017 yang lalu.
(kredit: liputan6.com)

Sebelum bermulanya penentuan sepakan penalti bagi menentukan pasukan mana yang akan menjadi finalis, Egy Maulana telah pun dikeluarkan oleh jurulatihnya Indra Sjafri pada minit ke-88 bagi memasukkan pemain gantian Hanis Saghara Putra. Pertukaran pemain tersebut dilihat gagal membuahkan hasil memandangkan pemain gantian tersebutlah yang menjadi pemain Indonesia terakhir yang gagal menjaringkan penalti. Kesudahannya, Malaysia menang penentuan sepakan penalti dengan jaringan 3 berbalas 2. A. Shivan Pillay, Nabil Hakim Bokhari, dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, kesemuanya berupaya menjaringkan penalti dan hanya Muhammad Zafuan Azeman sahaja yang terlepas peluang. Lanjutan daripada itu, kemenangan yang diperoleh Malaysia hanya sempat diraikan sebentar sahaja. Kegembiraan tiba-tiba berubah menjadi ketakutan selepas sebilangan penonton di stadium telah bertindak di luar batasan sehingga mengganggu sedikit ketenteraman. Mujurlah tidak berlaku apa-apa yang terlalu serius melainkan gangguan keselamatan yang boleh sahaja menjadi kritikal tanpa kawalan.

Tanpa semangat kesukanan, dukacita akibat kekalahan boleh
membawa kepada rasa sedih atau marah yang berlebihan.
(kredit: liputan6.com & siakapkeli.my)

Walau bagaimanapun, pihak penganjur setakat ini masih lagi mendapat kepercayaan ramai untuk memastikan perlawanan akhir pada hari Sabtu, 14 Julai 2018 jam 8 malam (waktu Malaysia) dapat berjalan dengan lancar serta aman. Meskipun skuad anak didik Bojan Hodak akan merindui kelibat ayam tambatan Akhyar Abdul Rashid yang sudah dihantar pulang bersama-sama pemain pertahanan skuad Piala Presiden Sabah FA iaitu Gerald Gadit akibat kecederaan, pemain-pemain utama seperti Muhammad Anwar Ibrahim, Mohd Norfais Johari, Muhammad Nizarruddin Jazi, K.Thivandaran, Muhammad Zahril Azri, Muhammad Hadi Fayyadh, dan yang lain-lainnya dijangka mampu menggalas tugas masing-masing dengan baik demi kepentingan bersama sepasukan. Myanmar (bekas juara 2 kali, tahun 2003 dan 2005) sebagai seteru di perlawanan akhir pula tidak sewajarnya dipandang enteng. Walaupun mereka sudah pernah ditewaskan dalam peringkat kumpulan, perlawanan akhir adalah perlawanan yang berbeza. Mereka juga mempunyai seorang penyerang berbisa yang perlu dikekang sehabis-habisnya, Win Naing Tun namanya. Jika dapat bermain secara berpasukan dan bukannya individu yang berseorangan, itu pun sudah dikira sebagai kejayaan walau apa pun keputusan.

Win Naing Tun kini berkongsi kedudukan teratas bersama
Bounphachan Bounkong dari Laos dalam carta
penjaring terbanyak dengan 6 gol setakat ini.
(kredit: bongdanet.vn)


#MalaysiaBoleh   #MalaysiaBerjaya   #MalaysiaBolehBerjaya

Friday, July 13, 2018

Malaysia masih mempunyai harapan

Meskipun harapan tinggi ingin diletakkan di atas bahu seorang
pemain seperti Wan Kuzain sebagai anak perantauan, bolasepak
masih lagi sukan yang dimainkan secara berpasukan.
(kredit: Google Images)

Harapan sentiasa ada. Harapan itu ada bagi yang belum berputus asa. Kalau jatuh, boleh bangun semula. Sesudah bangkit dan berdiri tegak, kuatkan langkah dan terus berlari. Terus sahaja berlari sekuat hati sampai mana mahu berhenti. Dalam sesebuah perlawanan bolasepak, dua pasukan yang akan menentang antara satu sama lain masing-masing mempunyai peluang yang sama untuk menang. 50-50. Sebelum tiupan wisel untuk sepak mula, kebarangkalian untuk mana-mana antara dua pasukan tersebut memperoleh keputusan akhir tidak pernah berubah. Salah satu pasukan mesti muncul pemenang dan satu lagi mesti kecundang sekiranya perlawanan kalah mati. Jika bukan kalah mati, serilah jawabnya kalau tidak kalah atau menang.

Pertembungan David Beckham dan Diego Simeone
semasa Piala Dunia 1998 di Perancis.
(kredit: thetimes.co.uk)
Apa yang nak dimalukan kalau jatuh? Okeylah, memang agak
memalukan apabila jatuh, terjatuh, atau dijatuhkan. Tapi, hidup
ini tidak sentiasa begitu kerana bila ada jatuh, ada bangunnya.
(kredit: huffingtonpost.com)

Namun begitu, sebaik sahaja wisel ditiup dan perlawanan pun bermula, kadangkala ilusi boleh sahaja mengatasi realiti. Di atas kertas, sebelas pemain tetap melawan sebelas pemain. Kesebelasan utama bagi setiap pasukan mempunyai seorang penjaga gawang dan sepuluh pemain yang lain. Sebiji bola menjadi rebutan untuk dimasukkan ke dalam gol lawan melebihi yang dibolosi jikalau boleh. Pengurus, ketua jurulatih, atau wakilnya hadir di tepi padang. Baju jersi, seluar, sarung kaki, alas tulang kering, kasut but, malah sarung tangan penjaga gol semuanya ada. Pengadil, penolong pengadil (penjaga garisan), pegawai perubatan, dan pengutip bola (budak milo) pun ada. Kalau nak, Video Bantuan Pengadil (VAR) pun boleh ada. Penonton, penyokong, penyorak, dan mungkin wartawan sedikit sebanyak juga ada. Jadi, mengapa pula tidak boleh menang? Kemungkinan 50% untuk menang bertukar menjadi 100% kalah hanya akan terjadi apabila langsung tidak yakin untuk menang ataupun terlalu yakin untuk kalah.

Liga-M sebagai batu loncatan buat para pemain negara

Rata-rata penduduk Malaysia mula bermain bolasepak ketika berada di bangku sekolah. Kebanyakan mereka adalah lelaki walaupun perempuan juga ada. Walaupun sudah ada di kalangan mereka yang diperkenalkan kepada sukan nombor satu negara dan juga paling popular di dunia ini sewaktu masih kecil lagi, tidak semua yang tahu bermain bolasepak akan bermain secara sepenuh masa. Untuk menjadi seorang pemain profesional, bukan sahaja memerlukan kecekapan, kemahiran, atau kehandalan, tetapi juga tawaran kontrak daripada mana-mana kelab bolasepak yang profesional. Di Malaysia, Liga Malaysia (Liga-M atau M-League) sudah tentulah menjadi saingan tertinggi bagi dunia bolasepak tanahair. Sudah semestinya ramai juga yang mengidam-idamkan kerjaya bolasepak di luar negara namun ternyata sukar, sekalipun buat pemain yang sudah menyarung jersi kebangsaan. Maka, tiada jalan mudah melainkan bermula dari bawah yakni, mewakili peringkat sekolah, daerah, negeri, dan begitulah seterusnya hingga boleh mewakili negara.

Kejayaan kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT FC) merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali ke-5 berturut-turut sememangnya wajar dipuji. Selepas menewaskan pencabar terdekatnya Perak di gelanggang lawan iaitu Stadium Perak di Ipoh pada hari Selasa, 10 Julai 2018, JDT FC telah pun mengesahkan kejuaraan liga walaupun masih berbaki empat perlawanan. Dengan kejuaraan tersebut, JDT FC juga telah sah menempah tempat automatik ke Liga Juara-juara AFC bagi musim 2019 itupun setelah sudah lima kali percubaan yang gagal sebelum ini. Meskipun kejayaan hebat tersebut sudah pasti dicemburui oleh pasukan-pasukan yang lain namun dari sudut yang positif, ini adalah permulaan tanda aras yang perlu dicontohi dalam era baharu arena bolasepak Malaysia. Kejayaan tidak datang bergolek, hanya dengan sikap seperti amanah, jujur, serta telus barulah ada peluang untuk berjaya. Jika tidak, lumrahnya akan terus ketinggalan di belakang.

Proses penswastaan bolasepak negeri Johor bergerak
dengan begitu pantas. Selepas tertubuhnya Southern Tigers
Sdn. Bhd., kini Yayasan JDT pula sudah diwujudkan.
(kredit: Azmil Aziz)

Di sebalik kejayaan yang tercipta, memanglah ada harga yang dibayar sebagai suatu bentuk pengorbanan. Tidak dinafikan bahawa setiap perkara di dunia ini ada baik dan buruknya. Begitu jugalah yang berlaku apabila dominasi yang melampau akan memberi impak atau kesan besar terhadap keseluruhan pembangunan bakat bolasepak negara. Sekiranya hanya pelajar-pelajar yang dikumpulkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang sahaja yang mempunyai peluang istimewa untuk menjadi pemain atau atlet kebangsaan padahal terdapat beribu-ribu sekolah lagi dalam Malaysia maka sudah tentulah ramai yang akan terpinggir akibat kekurangan tempat. Mungkin benar lebih ramai yang kurang berbakat berbanding yang betul-betul berbakat namun apa gunanya merungut atau mengeluh di kemudian hari jika sejak awal-awal lagi pilihan sudah menjadi terhad? Sudah berapa kali telah ditegaskan bahawa negara Malaysia, dengan izin Allah jua, tidak pernah ketandusan bakat bolasepak. Hanya bakat-bakat sahaja yang nampaknya banyak telah, sedang, dan akan disia-siakan.

Selain itu, pada ketika seluruh dunia sedang heboh dalam kerancakan Piala Dunia, di Malaysia pula masih kalut dan kelam kabut untuk menghabiskan musim bolasepak tempatan. Memanglah pasukan negara tidak layak ke pentas dunia pada waktu ini tetapi tidakkah mahu bersedia untuk adanya kemungkinan untuk layak pada masa hadapan? Ia menimbulkan persepsi, terutamanya bagi yang kurang ambil tahu, bahawa pasukan bolasepak kebangsaan seolah-olahnya langsung tiada harapan untuk layak maka sebab itulah ditumpukan sahaja perhatian kepada bolasepak domestik. Padahal, terdapat beberapa lagi liga di Asia yang turut masih berjalan antaranya Thai League (Thailand), J.League (Jepun), dan K League (Korea Selatan). Jepun dan Korea Selatan nampaknya boleh sahaja mengatur jadual supaya dapat memberi ruang untuk Piala Dunia meskipun liga tempatan masih lagi belum selesai. Berbeza dengan Persian Gulf Pro League (Iran), Saudi Professional League (Arab Saudi), dan liga negara dari benua Australasia yang bertanding ke Piala Dunia atas tiket Asia, A-League (Australia) yang mengambil jalan yang jauh lebih mudah apabila liga tempatan tamat sebelum Piala Dunia dan akan bermula semula selepasnya seperti liga-liga utama di Eropah.

Keperluan merancang sebagai persediaan selepas persaraan

Berdasarkan contoh-contoh yang boleh diambil dari luar negara di samping beberapa pengalaman Malaysia sendiri sebelum ini, sukan bolasepak samada peringkat lokal atau global yang berlangsung hampir sepanjang tahun pada setiap tahun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan manusia. Sebelum tahun 1930, Piala Dunia pun belum ada lagi, hanya ada pertandingan bolasepak dalam Sukan Olimpik. Akibat Perang Dunia Kedua pula, tiada Piala Dunia yang dianjurkan pada tahun 1942 dan 1946. Malah, Premier League di England yang sering digembar-gembur itu pun hanya bermula sejak 20 Februari 1992 selepas dipisahkan daripada Football League (ada 3 divisyen iaitu Championship, League One, dan League Two) yang didakwa merupakan liga bolasepak tertua di dunia apabila diwujudkan pada tahun 1888. Ini bermakna, sejarah telah membuktikan bahawa manusia boleh sahaja hidup tanpa permainan bolasepak tidak kiralah samada sesaat, 90 minit, mahupun bertahun-tahun. Ada atau tiadanya bolasepak bukanlah suatu masalah yang besar jikalau hendak dibandingkan dengan krisis seperti kebuluran yang boleh menyebabkan kematian ramai orang di beberapa tempat di atas muka bumi ini.

Zainal Abidin Hassan merupakan bekas kapten skuad
kebangsaan yang berjaya menceburi bidang perniagaan
apabila membuka sebuah restoran.
(sumber: kosmo.com.my)
Azman Adnan, bekas penyerang kebangsaan yang boleh
menggalas tugas sebagai jurulatih mahupun pengulas bolasepak.
(gambar: bhplus.com.my)

Masa itu emas. Masa yang sudah terlepas tidak boleh berundur kembali. Masa tidak menunggu siapa-siapa dan terus bergerak tanpa henti. Jadi, selagi masa masih ada maka harapnya jangan dibazirkan lagi selepas ini. Majoriti penduduk Malaysia adalah Muslim maka keputusan untuk mengadakan beberapa perlawanan Liga-M dalam bulan Ramadan, yang lazimnya dikhususkan untuk beribadat serta peluang bersama keluarga, semestinya lebih banyak merugikan daripada menguntungkan. Jika ada sekalipun negara-negara lain yang lebih gemar kepada perkara yang merugikan berbanding perkara yang menguntungkan, kenapa pula harus ditiru? Kerugian di sini bukan sekadar kekurangan penonton di stadium atau menyusutnya jumlah tontonan di televisyen, tetapi lebih kepada kerugian yang menyeluruh. Bukan setakat kerugian masa, tenaga, dan juga wang ringgit, kerugian yang dimaksudkan juga meliputi kehidupan manusia itu sendiri. Bukankah setahun mempunyai 12 bulan, penting sangatkah bolasepak sehingga diutamakan lebih daripada yang sepatutnya?

Karier seorang pemain bolasepak secara umumnya dianggarkan selama 10 hingga 15 tahun sahaja. Kalau pun lebih daripada itu, belum tentu seseorang pemain itu dapat mempamerkan aksi yang terbaik sepanjang kariernya. Bolasepak juga adalah sukan yang berisiko agak tinggi untuk mengalami kecederaan manakala proses pemulihan atau penyembuhan pula mengambil masa yang lama memandangkan rawatan yang diterima di dalam negara tidaklah secanggih ataupun sebaik di luar negara, terutamanya jika dibandingkan dengan negara-negara maju di hemisfera utara. Justeru itu, amat wajar sekali bagi mana-mana pemain bolasepak untuk melihat jauh ke hadapan melangkaui keseronokan bermain bolasepak yang sementara. Terpulanglah kepada masing-masing, jika tidak mahu menceburi bidang perniagaan atau pengiklanan misalnya, sukan bolasepak juga menawarkan pelbagai lagi skop pekerjaan. Jurulatih belia, ahli fisioterapi, pakar psikologi, pencari bakat, pengulas sukan, jurugambar, jurukamera, pengendali laman sesawang, dan sebagainya, yang kalau diikutkan tidaklah lari jauh dari dunia bolasepak.

Seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal turut
menerima jemputan untuk menjadi seorang pengulas bolasepak.
(kredit: Facebook)
Ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim bukan sahaja
bijak membuat hantaran di atas padang malah turut bijak
mengambil peluang dalam bidang pengiklanan.
(kredit: oldtraffords.com)

Oleh yang demikian, jika 12 pemain muda dan seorang jurulatih pasukan bolasepak Moo Pa (The Wild Boars) yang terperangkap selama lebih dua minggu dalam gua Tham Luang Nang Non yang dimasuki air di Chiang Rai, Thailand pun berjaya keluar setelah berpegang erat dengan harapan untuk terus hidup, maka adalah tidak mustahil bagi rakyat Malaysia seluruhnya terus bergantung harap untuk bukan sahaja hidup tetapi menggunakan nikmat kehidupan untuk mencapai sesuatu aspirasi yang lebih tinggi lagi malahan kelak juga boleh menjadi sebagai sumber inspirasi pula. Tidak kiralah yang muda ataupun yang kurang muda, kesemuanya mempunyai peranannya yang masing-masing terhadap pembangunan modal insan, termasuklah sebahagiannya untuk sukan bolasepak negara. Tiada siapa yang tahu entah bilalah negara kerdil Malaysia boleh melahirkan pemain seperti Cristiano Ronaldo, tatkala sudah berumur 33 tahun pun masih lagi dibeli oleh Juventus FC dengan harga kira-kira £100 juta dari Real Madrid CF. Tetapi percayalah, mempunyai pemain terbaik dunia atau tidak, Malaysia masih mempunyai harapan.


Wednesday, July 4, 2018

Nasib Malaysia menjelang Piala Dunia 2034

Tahun 2018 merupakan tahun diadakan pertandingan Piala Dunia iaitu kejohanan bolasepak antarabangsa yang terbesar di dunia. Selepas Brazil pada tahun 2014, telah tiba giliran Rusia pula menjadi negara tuan rumah bagi penganjuran edisi ke-21 (14 Jun hingga 15 Julai) sebelum Qatar pada tahun 2022. Daripada 200 lebih negara yang boleh menyertai pusingan kelayakan, hanya 32 pasukan sahaja yang selanjutnya mara ke peringkat kumpulan di Piala Dunia.

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe hanya mampu melihat
Piala Dunia dari jauh seperti mana rakyat Malaysia yang lain.
(gambar: mstar.com.my)

Seperti yang sedia maklum, Piala Dunia dianjurkan hanya 4 tahun sekali dan rasanya lebih seronok ditonton seandainya skuad kebangsaan, pasukan Harimau Malaya turut bertanding sekali. Boleh jadi lebih seronok lagi bagi para pemain bolasepak negara jikalau dapat sama-sama beraksi di Piala Dunia yang disaksikan oleh hampir seluruh penduduk dunia. Namun, sayangnya negara Malaysia yang tercinta hanya mampu berbangga apabila duduk sebaris dengan negara-negara yang tidak layak ke Piala Dunia pada kali ini seperti Itali, Belanda, Chile, Amerika Syarikat, Wales, serta beberapa lagi. Mungkin lain kali boleh cuba usaha lagi, mana tahu ada rezeki. Lebih-lebih lagi apabila terdapat cadangan untuk mengembangkan Piala Dunia kepada 48 pasukan mulai tahun 2026.

Menurut peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa yang terpakai setakat ini, wakil dari benua Asia hanya boleh membida untuk menjadi tuan rumah yang seterusnya adalah pada tahun 2034 memandangkan Qatar sudah pun terpilih sebagai negara tuan rumah bagi tahun 2022. Sekiranya Malaysia mahupun negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, dan Vietnam hendak membuat bidaan secara rasmi sebelum tarikh tutup pada tahun 2026, kemungkinan besar akan turut berebut dengan gabungan beberapa negara dari Timur Jauh iaitu Republik Rakyat China (China), Republik Rakyat Demokratik Korea (Korea Utara), Republik Korea (Korea Selatan), serta Jepun. Malah, negara Zimbabwe dari benua Afrika juga pernah menyuarakan hasratnya untuk turut membida.

Cristiano Ronaldo dan Leo Messi boleh dikatakan hampir
pasti tidak akan bermain di Piala Dunia pada 2034 nanti.
(kredit: newindianexpress.com)

Kalau ada yang berpendapat bahawa menjadi tuan rumah adalah jalan pintas ke Piala Dunia, dari satu segi memang ada benarnya tetapi ianya tidak semudah itu. Lihat sahajalah pengalaman Malaysia apabila menjadi tuan rumah bersama-sama Indonesia, Thailand, serta Vietnam bagi Piala Asia pada tahun 2007. Tatkala negara-negara tuan rumah yang lain berjaya menunjukkan corak permainan yang memberangsangkan, Malaysia pula dengan mudah sekali tersingkir di peringkat kumpulan setelah mempamerkan persembahan yang begitu longlai tanpa sebarang kemenangan. Secara keseluruhannya, maruah negara bukan sahaja setakat tercalar bahkan turut dirobek-robek dengan kekalahan-kekalahan yang besar. Jika ada pun perkara yang positif, mungkin hanya dua. Yakni, Indra Putra Mahayuddin menjadi satu-satunya penjaring gol tunggal negara dan kemunculan Aidil Zafuan Abdul Radzak sebagai bintang baru negara.

Indra Putra dalam perlawanan Kumpulan C Piala Asia
menentang China di Stadium Bukit Jalil pada
10 Julai 2007 apabila Malaysia tewas 1-5.
(kredit: fourthofficial.com)

Selain itu, cabaran atau dugaan sebagai tuan rumah kejohanan sukan sebesar Piala Dunia tidak hanya di atas padang. Cabaran atau dugaan yang sama besar jika tidak lebih besar adalah di luar padang. Penganjurannya bukan sekadar memerlukan perhatian khusus berkenaan pengurusan stadium, penjualan tiket, sistem pengangkutan awam, penyediaan penginapan, dan kawalan keselamatan sahaja malah turut membabitkan unsur-unsur yang boleh mendatangkan bahaya seperti perjudian, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perlakuan jenayah atau kerosakan harta benda, dan sebagainya. Seandainya semua itu tidak ditangani dengan berhemah maka kesan sampingannya adalah amat buruk sekali. Sewajarnya, sebarang tindakan berkaitan yang mahu diambil hendaklah dipertimbangkan dan difikirkan sedalam-dalamnya terlebih dahulu.

Tidak dinafikan bahawa tahun 2034 masih lambat lagi, tetapi masa yang ada ini seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai sudah terlewat baru hendak menyesal. Walaupun tahun 2018 ini Malaysia tidak ke pentas tertinggi dunia, namun terdapat sebanyak enam kejohanan bolasepak antarabangsa yang akan bermula tidak lama lagi. Yang pertama, Kejohanan Remaja B-19 AFF edisi ke-15 di Indonesia mulai 1 hingga 14 Julai dengan perlawanan sulung Malaysia adalah menentang Kemboja pada 4 Julai. Kedua, Kejohanan Remaja B-16 AFF edisi ke-13 juga di Indonesia pada 29 Julai hingga 11 Ogos manakala ketiga adalah Sukan Asia ke-18, pun di Indonesia (Jakarta Palembang 2018) pada 14 Ogos hingga 1 September. Keempat dan kelima adalah Kejohanan B-16 AFC pada 20 September hingga 7 Oktober di bumi bertuah Malaysia, dan satu lagi di Indonesia iaitu Kejohanan B-19 AFC pada 18 Oktober hingga 4 November.

Kehadiran Faiz Subri dalam skuad kebangsaan
ke Sukan Asia dan/atau Piala AFF sudah pasti
boleh mengangkat tinggi profil pasukan Malaysia.
(gambar: hmetro.com.my)

Keenam merupakan yang paling dinanti-nantikan setiap 2 tahun oleh negara-negara serantau, Piala AFF dari 8 November hingga 15 Disember. Kejohanan Remaja B-16 AFF, Kejohanan Remaja B-19 AFF, dan Sukan Asia masing-masing akan diwakili oleh skuad bawah-16 bimbingan Raja Azlan Shah Raja So'ib, skuad bawah-19 bimbingan Bojan Hodak, dan skuad bawah-23 bimbingan Ong Kim Swee, manakala skuad senior di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan mewakili negara ke Piala AFF. Anak buah Lim Teong Kim akan menjadi wakil negara bagi Kejohanan B-16 AFC dan untuk Kejohanan B-19 AFC pula, anak buah Bojan Hodak akan sekali lagi turun supaya dapat mengibar bendera Jalur Gemilang negara. Sebagai persiapan awal, skuad senior juga mempunyai beberapa perlawanan persahabatan, antaranya menentang Fiji pada 5 Julai jam 8.45 malam di Stadium KLFA, Cheras. Tidak berapa lama selepas juara dunia yang baharu dinobatkan di Stadium Luzhniki, Moskva (Moscow) pada 15 Julai 2018, satu lagi juara pula akan timbul pada hujung tahun yang akan mendapat sanjungan tinggi di Nusantara.


#FaizSubri13