Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, July 13, 2020

Pengukuhan struktur Liga Malaysia

Adakah struktur Liga Bolasepak Malaysia sudah kukuh? Jika ianya sudah pun kuat dan juga utuh, apakah ia perlu diperkukuhkan lagi? Pertanyaan-pertanyaan yang dilontarkan ini ada jawapannya. Jawapannya ada, tetapi sebaiknya ia perlu dicari dan bukannya diberi tanpa soal. Samada jawapan yang didapati itu tepat atau kurang tepat, terpulanglah kepada masing-masing untuk menghakiminya. Di sini cuma ingin dibentangkan suatu pandangan. Suatu pandangan yang terbuka untuk diterima mahupun tidak.

Liga Malaysia tahun 2020 sepatutnya menampilkan empat tingkatan liga, Liga Super, Liga Premier, Liga M3, dan Liga M4. Berikutan wabak COVID-19 yang sedang melanda (mudah-mudahan cepatlah berakhir), tidak pasti apa pula perancangan yang disusun untuk Liga M5 bagi musim hadapan. Yang pasti, selain Piala FA, Piala Presiden, dan Piala Belia yang telah pun dibatalkan, Liga M3 juga menerima nasib yang sama apabila turut dibatalkan pada tahun ini. Hanya liga dua divisyen teratas, di samping Piala Malaysia sahaja yang dijangka bakal bersambung sebelum berakhirnya penghujung tahun.

Selepas juara-juara sudah ditentukan nanti, tahun 2021 pula akan menjelma. Dengan izin Tuhan jua, tahun 2021 akan menyaksikan ulangtahun ke-100 bagi Piala Malaysia. Sejak tahun 1921, sejarah panjang kejohanan yang paling berprestij di dalam negara ini saban tahun terus mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia. Maka, amat wajar sekali sekiranya kewujudan serta nilai sejarahnya tetap dipertahankan, meskipun kejohanan-kejohanan peringkat benua dan antarabangsa adalah lebih tinggi tahapnya. Jangan sampai Piala Malaysia jadi seperti Pesta Bola Merdeka, sudah hilang pengiktirafannya di mata dunia.

Buat masa ini, pasukan-pasukan yang terlibat dalam pertandingan elit tempatan terdiri daripada persatuan-persatuan negeri serta agensi kerajaan, kelab-kelab, dan wakil-wakil universiti. Dalam suasana monopoli pasukan Harimau Selatan yang semakin mantap semenjak kebelakangan ini, pencabar-pencabar yang lain pula semakin layu. Sedikit demi sedikit, pasukan-pasukan kelab juga mula mengambil alih banyak tempat yang dahulunya diduduki oleh pasukan-pasukan negeri. Walaupun kedudukan pasukan-pasukan negeri kelihatan kian diasak, ancaman itu sebenarnya berpunca daripada mereka sendiri. Tudinglah jari ke mana pun, namun kelemahan dalaman jelas lebih mengancam berbanding serangan dari luar.

Namun begitu, pasukan-pasukan kelab belum boleh mendabik dada. Sudah berapa banyak kelab yang jadi macam biskut, kejap ada dan kejap tiada. NS Chempaka FC mungkin sudah lama dilupakan tetapi di mana MPPJ FC, Public Bank FC, Kuala Muda Naza FC, Sime Darby FC, Melaka Telekom FC, MK Land FC, UPB-MyTeam FC, dan Felcra FC? Mujurlah PJ City FC dan Felda United FC setakat ini masih bertahan, jikalau tidak hanya JDT FC yang tinggal. Tanpa menafikan kehebatan kelab yang dahulunya ditubuhkan sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor FC, kemudiannya Johor FC dan Darul Ta'zim FC, situasi di selatan tanahair sememangnya unik dan begitu berbeza.

Tatkala PBDKT T-Team FC menjadi Terengganu FC II, manakala PKNS FC dan PKNP FC masing-masing menjadi Selangor 2 dan Perak II, JDT II pula merupakan pasukan negeri. Salah geng Johor FA juga, sebab dulu agak lama terperuk di divisyen kedua. Kini, mereka langsung tidak berpeluang untuk dinaikkan ke liga utama dan terpaksa mempertahankan maruah sekadar di Piala Cabaran. Lagipun, boleh difahami bahawa sokongan rakyat Johor barangkali akan terpecah dua seandainya pasukan negeri kembali bersaing dengan pasukan kelab. Sedar atau tidak sedar, dilema ini jugalah yang sedang berlaku di peringkat kebangsaan.

Pemain seperti Eddy Helmi Abdul Manan
cukup sinonim dengan skuad Sang Lebah.
(kredit: azamnecrone.com)

Dilema apa yang dimaksudkan? Dilema samada untuk bertindak mengikut acuan sendiri ataupun cuba meniru gaya orang lain. Pertembungan antara mengekalkan tradisi ataupun berubah kepada cara lain. Pilihan biasanya salah satu daripada dua. Kanan atau kiri, terlampau banyak atau terlampau sedikit. Tiadakah pilihan yang ketiga? Tidak lebih dan tidak kurang, sederhana sahaja. Sesuai serta seimbang. Akan tetapi, salah satu perkara yang sering terlepas pandang semasa membuat pilihan adalah kegagalan untuk meluaskan pandangan. Terlupa untuk mengukur baju di badan sendiri. Terlalu terikut-ikut, atau mudah sangat terbawa-bawa dengan apa sahaja yang timbul.

Dalam konteks Malaysia, sokongan tidak berbelah bagi masih lagi kental terhadap kerangka kenegerian. Kesetiaan yang tinggi adalah pada negeri, bukannya bandar atau pekan seperti di England. Malaysia mungkin berlainan tetapi inilah realiti. Suatu hakikat yang mesti diterima, dan harus digunapakai. Cuba bayangkan JDT I mengekalkan nama PKENJ FC, adakah sokongannya akan sama seperti mana pada hari ini? Antara Johor Bahru dan Johor Darul Ta'zim, agak-agaknya penjenamaan yang manakah akan lebih mendapat sambutan? Percayalah, menggunakan nama negeri mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Begitulah keadaannya di sini.

Katakanlah suatu hari nanti, mungkin dalam tempoh beberapa dekad ke hadapan, generasi baharu rakyat Malaysia tidak lagi mahu menyokong mana-mana pasukan negeri. Sejumlah besarnya mahu menyokong pasukan-pasukan yang lebih kecil. Sokongan yang diberi tidaklah seramai dahulu tetapi sokongannya tetap padu, cukup untuk menampung survival pasukan. Kalau ke situlah arah tujuannya, maka ia perlu dilakukan secara berfasa. Tidak drastik, tidak juga cacamarba. Pertama, hendaklah diasingkan terlebih dahulu pasukan-pasukan negeri dalam sebuah liga, terpisah daripada pasukan-pasukan kelab atau bukan negeri. Kemudian, apabila sudah bersedia, boleh bubar kesemua pasukan negeri. Sekiranya eksperimen tersebut gagal, kembali sahajalah menyokong pasukan-pasukan negeri. Balik kepada asal.


4 comments:

Sheikh Shazwan said...

Sekadar pandangan peribadi, saya
tertarik dengan bab kesetiaan kepada negeri. Saya perasan sentimen ni banyak berlaku di negeri-negeri beraja/sultan. Contoh mudah boleh tengok saja mana-mana final, mesti ada kehadiran Sultan ataupun kerabat diraja.

Sebab itu saya lebih suka kalau 'satu negeri satu pasukan' terhad di 9 negeri tersebut (yang beraja) dan perlu diswastakan. Kalau masih bawah persatuan bola sepak, lagilah FA malas nak membangunkan bola sepak negeri seperti pembangunan akar umbi dan liga negeri. Sebaliknya duit berjuta dibantainya beli star sana, lorat ambil import sini, nak menang piala punya pasal..pembangunan bola sepak negeri? Yilek...

Untuk kelab bandar dan pekan, boleh dimulakan dengan negeri Melaka, Pulau Pinang, Wilayah2 persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Untuk Melaka/P.Pinang/WP, saya sengaja pilih negeri/wilayah ni sebab nama negeri/wilayah itu sendiri sama dengan nama bandar seperti Melaka dan Kuala Lumpur.

Sabah dan Sarawak pulak sebab nak beri peluang kepada lebih ramai pemain dari negeri2 Borneo untuk terlibat dalam liga profesional serta mengelakkan Liga M betsifat Semenanjung-centric.

Bukannya apa, contohnya luas Sarawak saja sudah hampir sebesar keseluruhan Semenanjung tapi diwakili satu pasukan je. Sayang sekali banyak bakat disia-siakan kerana peluang terhad. Itupun kalau pasukan negeri tu tak ambil import baik dari Semenanjung atau luar negara.

Peminat lagi kesian, bayangkan orang sejauh Miri terpaksa travel beratus kilometer hanya nak tengok home game Sarawak di Kuching. Kena fikir belanja minyak atau flight nak ke home stadium. Tak ubah seperti menonton game away je. Waima Sibu pun belum tentu.

Mungkin jika bukan bandar dan pekan atas sebab sustainablity pun, boleh juga berdasarkan bahagian-bahagian Sabah dan Sarawak yang masing-masing berkeluasan sebesar mana-mana negeri Semenanjung. Contohnya bahagian Kapit yang sama besar dengan negeri Pahang.

Sekian pandangan saya.

Dunia Bolasepak said...

Satu pandangan yang menarik.

Secara umumnya, pandangan sdr. Sheikh Shazwan memang ada asasnya. Ianya satu perspektif dari sudut yang sangat bernas dan membukakan mata.

Sekadar menambah, kami sememangnya menyokong usaha badan induk bolasepak dan pentadbir liga untuk menggalakkan penswastaan pasukan-pasukan Liga-M, namun kami juga berpendapat bahawa ia harus didahului dengan sikap profesionalisme. Selagi mana tipisnya profesionalisme maka swasta atau tidak, proses membangunkan sukan bolasepak sukar untuk berjaya. Lihat sahaja berapa pasukan yang mempunyai stadium sendiri, tempat latihan sendiri, dan akademi bolasepak sendiri. Boleh dibilang dengan jari dan tak banyak jari yang dipakai.

Menyebut tentang pembangunan akar umbi pula, ia harus bermula dari sekolah. Bukan sekadar Sekolah-sekolah Sukan Negeri dan Sekolah-sekolah Sukan Malaysia sahaja tetapi sekolah-sekolah yang lain juga. Memanglah bukan semua pelajar perlu bermain bolasepak, tapi cukup sekurang-sekurangnya satu pasukan bagi setiap sekolah.

Selepas sekolah, laluan terdekat lazimnya ialah Piala Belia dan Piala Presiden sebelum hendak ke Liga-M. Sayangnya, peluang tersebut tidak banyak membantu kerana begitu terhadnya tempat ke skuad utama di peringkat senior. Di sinilah, liga-liga negeri sepatutnya memainkan peranan. Sayang seribu kali sayang, liga negeri juga kurang diberikan perhatian.

Kita hanya mampu berharap, dan mungkin memberikan serba sedikit input serta pendapat, namun terletak di atas tangan pihak yang bertanggungjawablah untuk mencari suatu penyelesaian.

Ribuan terima kasih kepada saudara kerana sudi berkongsi pandangan.

Sheikh Shazwan said...

Terima kasih kembali tuan penulis. Pandangan saya ni pun sekadar pandangan saya sebagai peminat bola sepak biasa-biasa saja.😁

Dunia Bolasepak said...

Sama-sama dan pandangan yang diberikan amatlah dihargai.