Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, May 20, 2020

Liga Raya Sedunia mungkin boleh diperkenalkan

Kehidupan di dunia ini sungguh tidak adil. Tuhan telah sediakan semuanya cukup tetapi ketamakan manusia telah merosakkan keseimbangan. Nama pun manusia, memanglah tidak adil. Yang paling adil sekalipun tetap ada kekurangan di sana sini. Hanya Tuhan yang Maha Adil kerana Dia sahajalah yang sempurna.

Kalau dunia ini pun sudah tidak adil, apatah lagi dalam permainan bolasepak. Ia kadangkala masih dianggap adil walaupun berat sebelah kepada sesuatu pihak. Adilkah begitu? Mungkin adil bagi satu pihak namun tidak adil bagi pihak yang lain. Keadilan yang direka-reka, palsu serta menipu. Apakah tujuannya? Menipu orang lain atau menipu diri sendiri?

Justeru, bukan mudah apabila mahu membincangkan tentang topik yang berkait dengan keadilan. Manusia cuma boleh berbincang tetapi teramat sukar untuk dilaksanakan. Maka, akui sahajalah kelemahan yang dimiliki namun tetap juga mempunyai keazaman untuk berusaha dengan sedaya mungkin bagi mengurangkan kezaliman. Mudah-mudahan, sama-sama dapat memperoleh kebaikan.

Tujuh benua dan tujuh lautan.
(gambar: Google)

Itu baru mukadimahnya, sekarang mari kita lihat isinya. Bumi ini mempunyai tujuh daratan luas. Tolak Antartika, di benua Asia, Oseania, Eropah, Afrika, Amerika Utara, dan Amerika Selatan, ramai sekali sejumlah penduduk di kalangan manusia yang sekurang-kurangnya tahu apa itu sukan bolasepak. Daripada yang ramai itu, bukan semuanya meminati bolasepak dan bagi yang meminatinya pula, lebih sedikit yang bermain bolasepak secara profesional.

Bermain bolasepak secara profesional bermakna menjadikannya suatu kerjaya, dilakukan sepenuh masa dan juga mendapat bayaran secara tetap sehingga bersara, sepatutnyalah. Daripada kira-kira 200 negara, hampir setiap negara mempunyai pasukan bolasepak kebangsaannya yang masing-masing. Namun, pada satu-satu masa, lebih kurang 23 pemain yang akan mewakili skuad utama, tidak termasuk skuad-skuad pelapis.

Kemudian, dalam setiap perlawanan pula, hanya 22 orang pemain berada di atas padang, selain kumpulan pengadil. Daripada 22 orang pemain yang mewakili dua pihak, sebelah pihak menyenaraikan 11 pemain dan begitu juga sebelah pihak yang satu lagi, kesebelasan utama mereka. Dengan ruang 3 pemain gantian, maka setiap negara hanya memerlukan 14 pemain sahaja setiap kali perlawanan. 14 orang yang dirasakan terbaik di kalangan pemain profesional.

Jadi, biarlah berjuta-juta, berpuluh-puluh juta, beratus-ratus juta, malah beribu-ribu juta penduduk sekalipun, 11, 14, hingga 23 orang sahaja yang akan mewakili negaranya dalam tempoh yang tertentu. Kalau sepanjang sejarah sudah tentu lebih ramai, namun bagi yang pernah mendapat panggilan untuk menyarung jersi kebangsaan sememangnya cukup beruntung. Mereka dikira bertuah kerana bukan semua orang dapat merasai salah satu nikmat dunia tersebut.

Oleh yang demikian, sekiranya diberi peluang dan berpeluang pula untuk bermain untuk negara maka mainlah dengan bersungguh-sungguh. Kenapa mahu menyia-nyiakan peluang yang diberi? Membazir wang, masa, dan tenaga sahaja. Bukankah lebih elok jika diberi peluang tersebut kepada yang tidak mahu mensia-siakannya? Ingatlah, peluang yang terlepas tidak akan kembali lagi. Walaupun mungkin ada peluang yang lain, ia sudah tidak sama lagi.

Berdasarkan isi dan huraian yang telah dibentangkan, ingin diberi contohnya pula. Tokoh yang tidak asing lagi, Allahyarham Mokhtar Dahari dianggap sebagai salah seorang lagenda ulung bolasepak Malaysia. Beliau bukan sekadar pemain biasa, tidak pula sekadar bagus dan hebat, tetapi lebih daripada itu. Sememangnya seorang pemain yang amat luar biasa. Satu dalam seribu, mungkin juga satu dalam sejuta atau lebih.

Meskipun jaguh Nusantara yang digelar Supermokh ini meraih pelbagai kejayaan namun beliau tidak sempat beraksi di pentas yang tertinggi yakni Piala Dunia, tidak seperti Maradona. Kononnya dia dilahirkan di tempat yang salah. Oleh sebab dilahirkan di Malaysia dan bukan di negara-negara kuasa besar bolasepak, boleh ada pula yang menganggap sedemikian. Kalau betullah begitu, cuba terangkan mengapa lagenda yang mengharumkan nama Real Madrid iaitu Di Stefano tidak ke Piala Dunia, bukankah dia dilahirkan di Argentina sama seperti Maradona?

Yang lepas sudah pun lepas. Yang sekarang ini pun sungguh cepat berlalu. Masa depan, belum tentu. Belum tentu kita berkesempatan untuk melihat apa yang akan terjadi, bakal terjadi. Sebenarnya, boleh kata semua perkara telah pun ditentukan, cuma kita sahaja yang tidak tahu. Umpamanya dalam satu perlawanan akhir, sudah pasti akan ada pemenangnya. Jika ada pemenangnya maka ada jugalah yang tewas. Yang menang tidak tewas, yang tewas tidak menang. Siapa di pihak mana, hanya akan diketahui selepas tamatnya perlawanan.

Sebelum melalut dan menjadi lebih panjang lebar, apa sebenarnya yang hendak disampaikan? Apa yang hendak disampaikan adalah idea berkenaan dengan saingan bolasepak antara negara selain daripada Piala Dunia. Di sebalik jadual yang sudah pun terlalu padat dan begitu sibuk dengan pelbagai pertandingan, tidak kiralah tempatan mahupun antarabangsa, masih ada ruangkah untuk kejohanan dunia dalam bentuk liga? Konsep liga biasanya lebih sinonim dengan pasukan-pasukan kelab, bukan pasukan-pasukan kebangsaan.

Kalau susah sangat hendak layak ke Piala Dunia, Liga Dunia pun jadilah ya? Sila bertenang. Harap jangan gelojoh, ia belum ada lagi. Sebelum ini, ada ura-ura yang mengatakan bahawa Piala Dunia Kelab mahu diubah formatnya agar sama macam Piala Dunia. Lebih banyak kelab akan terlibat hingga JDT pun tidak mustahil boleh beraksi. Itu kelab, kalau negara, bolasepak Eropah telah pun melaksanakan Liga Bangsa-bangsa atau boleh juga disebut Liga Negara-negara, bagi menggantikan perlawanan persahabatan antarabangsa yang tiada sistem mata lalu mengolahnya menjadi lebih sistematik.

Asia turut ada merancang untuk melakukan yang serupa tetapi adalah lebih baik jika dirancang dengan lebih teliti. Lebih menyeluruh daripada Piala Cabaran atau Piala Setiakawan. Kelayakan ke Piala Asia juga harus diperbaiki. Jika tidak, akan kelam-kabut jadinya. Malaysia juga mungkin perlu bersedia untuk menubuhkan lebih daripada satu skuad utama. Malaysia A, B, C, dan D, kalau bolehlah. Minimum, ada 44 orang pemain yang boleh mewakili negara.

Ini hanyalah sekadar cadangan, boleh juga dikatakan macam berangan. Harapannya, struktur yang lebih kemas tersusun dapat dibangunkan segera supaya negara seperti Malaysia boleh terbabit sama secara bertahap dalam memajukan bolasepak serantau bagi manfaat bolasepak sejagat.

ASIA: 44
ASIA TENGGARA
  1. Malaysia
  2. Thailand
  3. Indonesia
  4. Vietnam
  5. Singapura
  6. Myanmar
  7. Filipina
  8. Kemboja
  9. Laos
  10. Brunei

ASIA TIMUR
  1. Jepun
  2. Korea Utara
  3. Korea Selatan
  4. China
  5. Hong Kong*
  6. Macau*
  7. Taiwan (Taipei China*)
  8. Mongolia

ASIA TENGAH
  1. Iran
  2. Afghanistan
  3. Kyrgyzstan
  4. Tajikistan
  5. Turkmenistan
  6. Uzbekistan
  7. Kazakhstan

ASIA SELATAN
  1. India
  2. Pakistan
  3. Bangladesh
  4. Bhutan
  5. Nepal
  6. Sri Lanka
  7. Maladewa

ASIA BARAT
  1. Arab Saudi
  2. Syria
  3. Iraq
  4. Yaman
  5. Oman
  6. Jordan
  7. Lubnan
  8. Kuwait
  9. Emiriah Arab Bersatu
  10. Qatar
  11. Bahrain
  12. Palestin

OSEANIA: 26
AUSTRALASIA
  1. Australia
  2. New Zealand
  3. Papua New Guinea
  4. Timor-Leste
  5. Pulau Norfolk*

MELANESIA
  1. Nauru
  2. Kepulauan Solomon
  3. Vanuatu
  4. Fiji
  5. New Caledonia

MIKRONESIA
  1. Kepulauan Mariana Utara
  2. Guam*
  3. Palau
  4. Persekutuan Mikronesia
  5. Kepulauan Marshall
  6. Kiribati

POLINESIA
  1. Tuvalu
  2. Wallis & Futuna
  3. Tonga
  4. Niue*
  5. Tokelau
  6. Samoa
  7. Samoa Amerika
  8. Kepulauan Cook*
  9. Polinesia Perancis (Tahiti*)
  10. Kepulauan Pitcairn*

EROPAH: 52
EROPAH BARAT
  1. Austria
  2. Belgium 
  3. Perancis
  4. Jerman
  5. Ireland
  6. Liechtenstein
  7. Luxembourg
  8. Belanda
  9. Switzerland
  10. United Kingdom (England*)
  11. Ireland Utara*
  12. Scotland*
  13. Wales*
  14. Monaco

EROPAH SELATAN
  1. Itali
  2. Sepanyol
  3. Portugal
  4. Malta
  5. Greece
  6. Croatia
  7. Bosnia & Herzegovina
  8. Montenegro
  9. Albania
  10. Slovenia
  11. Turki
  12. Cyprus
  13. Serbia
  14. Macedonia Utara
  15. Andorra
  16. San Marino
  17. Kosovo*
  18. Kota Vatikan
  19. Gibraltar*

EROPAH TIMUR
  1. Bulgaria
  2. Hungari
  3. Ukraine
  4. Moldova
  5. Belarus 
  6. Rusia
  7. Slovakia
  8. Romania
  9. Poland
  10. Czechia (Republik Czech)

EROPAH UTARA
  1. Estonia
  2. Latvia
  3. Lithuania
  4. Denmark
  5. Finland
  6. Iceland
  7. Norway
  8. Sweden
  9. Kepulauan Faroe*

AFRIKA: 57
AFRIKA UTARA
  1. Maghribi
  2. Algeria
  3. Tunisia
  4. Libya
  5. Mesir
  6. Sudan

AFRIKA BARAT
  1. Benin
  2. Burkina Faso
  3. Cabo Verde
  4. Chad
  5. Côte d'Ivoire
  6. Guinea Khatulistiwa
  7. Gambia
  8. Ghana
  9. Guinea
  10. Guinea-Bissau
  11. Liberia
  12. Mali
  13. Mauritania
  14. Niger
  15. Nigeria
  16. Senegal
  17. Sierra Leone
  18. Togo

AFRIKA TIMUR
  1. Burundi
  2. Kenya
  3. Rwanda
  4. Sudan Selatan
  5. Tanzania
  6. Uganda
  7. Somalia
  8. Eritrea
  9. Djibouti
  10. Habsyah
  11. Comoros
  12. Mauritius
  13. Seychelles
  14. Réunion*
  15. Mayotte*
  16. Madagascar

AFRIKA SELATAN
  1. Botswana
  2. Eswatini
  3. Lesotho
  4. Malawi
  5. Mozambique
  6. Namibia
  7. Afrika Selatan
  8. Zambia
  9. Zimbabwe

AFRIKA TENGAH
  1. Angola
  2. Cameroon 
  3. Republik Afrika Tengah
  4. Chad
  5. Congo-Kinshasa
  6. Congo-Brazzaville
  7. Gabon 
  8. São Tomé & Príncipe

AMERIKA UTARA: 45
AMERIKA UTARA
  1. Kanada
  2. Amerika Syarikat
  3. Mexico
  4. Bermuda*
  5. Greenland*
  6. Saint Pierre & Miquelon*

AMERIKA TENGAH
  1. El Salvador
  2. Costa Rica
  3. Belize
  4. Guatemala
  5. Honduras
  6. Nicaragua
  7. Panama

KARIBIA
  1. Antigua & Barbuda
  2. Bahamas
  3. Barbados
  4. Cuba
  5. Dominica
  6. Republik Dominika
  7. Grenada
  8. Haiti
  9. Jamaica
  10. St. Kitts & Nevis
  11. St. Lucia
  12. St. Vincent & Grenadines
  13. Trinidad & Tobago
  14. Anguilla*
  15. Aruba*
  16. Bonaire*
  17. Kepulauan Virgin British*
  18. Curacao*
  19. Kepulauan Cayman*
  20. Pulau Clipperton*
  21. Guadeloupe*
  22. Martinique*
  23. Montserrat*
  24. Pulau Navassa*
  25. Puerto Rico*
  26. Saba*
  27. Saint Barthélemy*
  28. Saint Martin*
  29. Sint Eustatius*
  30. Sint Maarten*
  31. Kepulauan Turks & Caicos*
  32. Kepulauan Virgin Amerika Syarikat*

AMERIKA SELATAN: 15
AMERIKA SELATAN
  1. Argentina
  2. Bolivia
  3. Brazil
  4. Chile
  5. Colombia
  6. Ecuador
  7. Guyana
  8. Paraguay
  9. Peru
  10. Suriname
  11. Uruguay
  12. Venezuela
  13. Guiana Perancis*
  14. Kepulauan Falkland*
  15. Kepulauan Georgia Selatan & Sandwich Selatan*

LAIN-LAIN: 11
#
  1. Abkhazia
  2. Artsakh
  3. Cyprus Utara 
  4. Somaliland
  5. Ossetia Selatan
  6. Transnistria
  7. Sahara Barat
  8. Jersey*
  9. Guernsey*
  10. Isle of Man*
  11. Isle of Wight*

SELURUH DUNIA: 239 ++


Sunday, May 17, 2020

Kenapa mengundur ke belakang?

Dahulu amatur ke semi-pro, kemudian profesional. Sudahnya, mahu kembali ke semi-pro dan amatur balik? Gaji tidak mahu bayar. Tatkala negara-negara asing selangkah demi selangkah kian mara ke hadapan dalam arena sukan bolasepak, negara Malaysia yang tercinta pula setapak demi setapak makin mundur ke belakang. Mengapa? Pelik betullah. Kalau silap jalan, cepat-cepatlah pulang ke pangkal jalan. Jangan pula sudah tersilap, tetapi diteruskan juga perjalanan yang tidak pun menuju ke destinasi malah bertambah sesat hingga jauh tersesat.

Lihat sahaja Filipina, negara yang lebih menumpukan kepada sukan bola keranjang dipandang suatu ketika dahulu sebagai pasukan bolasepak yang kerdil dalam rantau Asia Tenggara, namun sekarang tidak lagi. Malaysia bukan sahaja sudah tidak mampu membelasah mereka dengan jaringan besar seperti yang pernah dilakukan dahulu, silap-silap Malaysia pula yang boleh dijadikan pasukan belasahan jika terus mengamalkan sikap acuh tidak acuh. Bangga sungguh digelar profesional meskipun hanya pada nama.

Tak tau dah nak cakap apa.
(gambar: Google)

Harap semua pihak yang berkenaan faham bahawa kemajuan pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia sangat-sangat bergantung kepada pembangunan pertandingan utama bolasepak domestik, apa lagi kalau bukan Liga-M yang termasuk juga Piala Malaysia. Oleh yang demikian, tolonglah, tolonglah sedar bahawa pada waktu, saat, dan ketika ini, ditambah pula dengan dugaan Penyakit Koronavirus 2019 yang datang mengganggu, bolasepak Malaysia malangnya sedang mengalami sakit teruk. Retak menanti belah.

Apakah penyakitnya? Penyakitnya adalah penyakit kronik yang sudah lama dibiarkan tanpa berubat malah dinafikan pula kewujudannya. Lantas, sejak dahulu sehingga kini, tiada rawatan bersesuaian yang diambil bagi menyembuhkan penyakit yang kini khabarnya sudah sampai ke tahap kritikal. Inilah dia penyakit cerdik tidak bertempat. Apabila sudah tenat baru hendak berubat maka pada waktu itu sudah pun terlambat.

Tidak perasankah bahawa kali terakhir skuad senior negara memenangi apa-apa kejuaraan sudah 10 tahun yang lalu? Sudah sedekad lamanya. Ya, JDT memang hebat tetapi bagaimana yang lain? Sekiranya semua pasukan yang lain gulung tikar dan hanya JDT yang tinggal, alamatnya saban tahun JDT akan terus-menerus dinobatkan sebagai juara dalam liga yang bukan setakat satu pusingan tetapi liga tanpa sebarang perlawanan. Bungkuslah kalau begitu.

Tahun 2020 atau bila-bila pun, bukannya masa untuk mementingkan diri sendiri. Walaupun perlu menjaga diri namun sifat mementingkan diri hanya akan memakan diri. Orang lain akan turut terkesan tetapi diri sendiri akan lebih terkesan. Kalau tidak percaya, tunggulah. Tunggulah masanya apabila orang-orang di sekeliling dibiarkan sahaja menjadi susah, dan dari susah menjadi terdesak. Akhirnya, yang senang juga akan menjadi susah dan sama-sama menjadi terdesak. Ini bukan landasan yang betul.

Benar, mungkin bercakap lebih mudah daripada bertindak. Yang bercakap akan terus bercakap. Yang menghentam akan terus menghentam, dan yang memberi nasihat akan terus menasihati. Persoalannya, bagaimana ingin merawat industri bolasepak tempatan yang separah ini? Apa yang rakyat Malaysia boleh buat? Bagi para peminat bolasepak tanahair, seandainya liga bolasepak lokal benar-benar sudah nazak maka dengan agak mudah boleh beralih ke pelbagai liga luar negara. Akan tetapi, siapakah yang bakal menanggung paling banyak kesusahan? Tidak kesiankah? Saudara, fikir-fikirkan.


Wednesday, May 13, 2020

Jaguh kampung menjadi bertaraf dunia?

Bolasepak dalam Bahasa Inggeris ialah association football, ringkasnya football walaupun turut disebut sebagai soccer terutamanya di Amerika Syarikat. Ia disebut soccer bagi membezakannya dengan sukan yang lebih banyak menggunakan tangan, tetapi tanpa malu dan segan dipanggil juga football atau American football.

Di Malaysia, rasanya boleh dikatakan hampir tiada seorang pun yang bermain American football ini. Kalau setakat bermain permainan video atau pernah menontonnya melalui Internet atau televisyen satelit, mungkin adalah. Itu pun rasanya boleh dibilang dengan jari, terlalu sedikit. Tidak sebanyak yang meminati bolasepak, sukan yang lebih banyak menggunakan kaki namun tangan boleh digunakan pada keadaan dan waktu yang tertentu.

Bolasepak pada zaman moden bermula di sekitar abad ke-19. Orang-orang Inggeris merupakan pelopornya dan sebahagiannya turut menjadi perintis apabila cara bermain bolasepak disebarkan pula kepada negara-negara bangsa yang lain. Walau bagaimanapun, menjelang abad ke-20, sebuah negara dari Amerika Latin iaitu Brazil pula dengan cantiknya sudah mula menguasai permainan kegemaran ramai ini.

Pasukan Great Britain hanya ada di Olimpik.
(gambar: Google)

Maka, tidak hairanlah mengapa pemilik nama penuh Edson Arantes do Nascimento iaitu Pelé digelar O Rei, yang bermakna Sang Raja. Tanpa keraguan munasabah, lagenda bolasepak dunia itu dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang abad yang lalu. Secara keseluruhannya, berbekalkan rekod 1,281 gol dalam 1,363 perlawanan di samping tiga kejuaraan Piala Dunia, Pelé juga adalah pemenang Piala Dunia yang paling muda yakni semasa berumur 17 tahun 249 hari.

Meskipun sebelum Pelé sudah ada beberapa pemain ternama seperti dua rakan senegaranya iaitu Arthur Friedenreich dan Leônidas da Silva, ataupun Giuseppe Meazza dari Itali, Matthias Sindelar dari Austria, Alfredo Di Stéfano dari Argentina, serta Ferenc Puskás dari Hungari, namun namanya kini sudah sebati dengan bolasepak. Seolah-olah beliau dilahirkan semata-mata untuk bermain bolasepak. Selepas munculnya Franz Beckenbauer, George Best, Johan Cruyff, dan Diego Maradona sekalipun, nama Pelé tetap disebut-sebut.

Siapa sangka, tokoh yang dikagumi Pelé sewaktu membesar adalah seorang pemain dari benua Afrika. Siapakah dia? Larbi Benbarek, asalnya dari Maghribi tetapi pernah juga mewakili negara angkatnya Perancis. Selain itu, pemain lagenda yang sezaman dengan Pelé dan menjadi kebanggaan Portugis iaitu Eusébio juga sebenarnya lahir di Afrika, negara Mozambique. Zinedine Zidane pula yang lahir di La Castellane, Marseille, sebuah kejiranan bagi pelarian Algeria, langsung tidak menghalangnya untuk menjadi lagenda Perancis dalam tempoh peralihan merentasi penghujung abad ke-20 ke awal abad ke-21.

Pada tahun 1998, Zinedine Zidane dan rakan-rakan telah berhasil membawa negara Perancis menjuarai Piala Dunia buat pertama kali di halaman sendiri. Dunia bolasepak seakan-akan sudah berputar cukup satu pusingan apabila 20 tahun kemudian, giliran Kylian Mbappé dan rakan-rakannya pula yang menjulang Piala Dunia buat kali kedua untuk negara kelahiran seorang pemain lagenda bernama Michel Platini. Tatkala baru di usia muda 19 tahun, Mbappé sudah pun menjadi johan di peringkat dunia.

Adakah Mbappé bakal diangkat menjadi lagenda dalam abad yang masih didominasi oleh dua nama, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi? Masa akan menentukan samada Mbappé ataupun pencabarnya Marcus Rashford, mahupun yang lain-lain, mampu mengikuti jejak langkah para pemain lagenda sebelum mereka. Jika dapat mengatasi sebarang pencapaian sebelum ini, maka itu lebih baik. Cuma apa pun yang berlaku, Pelé tetap Pelé, Mbappé tetap Mbappé. Begitulah yang seterusnya kerana setiap pemain adalah unik.

Berbalik kepada Malaysia, istilah 'jaguh kampung' seringkali maksudnya diberi konotasi yang negatif. Jaguh kampung difahami sebagai sekadar handal di kawasan setempat. Menjadi bagus apabila bersaing sesama sendiri tetapi belum tentu bagus sekiranya keluar dari zon selesa. Walhal, bukankah setiap pemain bintang yang berkelas dunia asalnya seorang jaguh kampung? Mana-mana pemain lagenda pun, selalunya mula menyerlah di tempat sendiri sebelum mengukir nama di tempat orang. Jikalau tidak di tempat sendiri, bermula di tempat kecil sebelum ke tempat yang lebih besar.

Perbezaan yang jelas ketara antara seorang jaguh kampung dengan pemain bertaraf dunia hanya satu. Yang jaguh kampung masih kekal sebagai jaguh kampung, manakala pemain bertaraf dunia sudah tidak lagi menjadi jaguh kampung. Yang faham sahaja yang akan faham. Kalau belum faham, cuba faham-fahamkan. Kalau tidak, memang tidak akan faham. Bagaimana hendak faham kalau sejak awal-awal lagi memang tidak mahu faham. Mulakan dengan niat. Niat yang baik, hasilnya pun baik. Niat yang buruk, maka hasilnya pun buruk. Bila niat dapat satu, bila buat boleh dapat berkali-kali lipat ganda.

Benar, rezeki sudah diatur. Ada yang dapat lebih, ada yang dapat kurang. Akan tetapi, Tuhan yang Maha Kaya juga Maha Adil. Kalau ada lebih di sana, akan kurang di sini. Kalau ada kurang di sana, akan lebih di sini. Pokoknya, Tuhan itu adil seadil-adilnya. Jika ada yang tidak adil makanya datang daripada diri sendiri. Mari kita lihat beberapa contoh. Azmi Muslim dahulu mengambil peluang untuk menyertai sebuah rancangan TV realiti iaitu MyTeam lalu berjaya, sampailah mewakili negara. Adam Nor Azlin pun begitu, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pernah memasuki program Mencari Ramli dan akhirnya hingga dipanggil beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Ramai sungguh alumni SSBJ yang berkesempatan menyarung jersi kebangsaan. Razman Roslan, Stanley Bernard, Shakir Shaari, Amirul Hadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha, anak kembar Abdul Radzak iaitu Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, serta tidak ketinggalan juga ialah Nazmi Faiz Mansor. Bekas juragan (captain/skipper) Malaysia, Safiq Rahim pun dari sana. Sekolah-sekolah sukan sememangnya menjadi lubuk untuk mencari yang terbaik di kalangan yang terbaik. Namun begitu, usahlah terlalu terkejut seandainya ada lagi yang tersorok malahan lebih baik lagi daripada apa yang disangkakan sudah pun terbaik.

Realitinya, dari awal hingga akhir, prosesnya tetap sama. Mungkin sedikit berlainan jika di luar negara, dalam negara semuanya lebih kurang sama. Bermula dari peringkat sekolah, kemudian daerah, dan selanjutnya negeri. Di peringkat negeri pula ada beberapa lapisan, boleh jadi untuk pertandingan Piala Emas Raja-raja, Sukan Malaysia (Sukma), Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Piala Belia, atau Piala Presiden. Bahkan lebih penting daripada semua itu adalah menandatangani kontrak profesional dengan pasukan yang bermain di Liga Malaysia (Liga-M) mahupun liga-liga antarabangsa sekiranya mampu. Jika bernasib baik, dapatlah bermain paling lama pun kira-kira 10 hingga 15 tahun. Nasib baik lagi kalau sempat pula bermain untuk negara, tanahair yang tercinta.

Wallahu a'lam.


Tuesday, May 12, 2020

Optimistic or pessimistic?

Do we need heritage and naturalised players? It depends. Local football fans may have different opinions. Even non-fans have opinions. Everyone is entitled to have an opinion or several opinions. By saying that, no one should impose their opinion or opinions upon others. That should be the correct way, a right thing to do. Again, it's all up to each one of us.

Going back to the main question, the question is clearly subjective. Therefore, the answer should also be subjective. Meaning, there is no right or wrong answer. The most suitable answer is based on or influenced by personal feelings, tastes, or opinions.

Let's be honest, Harimau Malaya the national team, no longer has Mokhtar Dahari, Abdul Ghani Minhat, or even Dollah Don. But it does have players like Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Luqman Hakim Shamsudin, Syafiq Ahmad, Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari, Dominic Tan, Adam Nor Azlin, and many more.

To be clear, this is not a flag. It's just a design of a logo.

Plus, it also has heritage players such as Matt Davies, Corbin-Ong, and Brendan Gan. Besides Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi is also eligible to play if coach TCH so chooses. As long as the players are fit, motivated, not injured, and not suspended, all the squad needs is a group of in-form players.

Now a new question has come up. Should we be optimistic or pessimistic about foreign players? You guys and gals should be able to answer it for yourselves. Nobody is going to force or stop you from anything that you think is the answer. Nobody but you. That's why we all need to think for ourselves.

However, if you let us share our opinion, we should neither be too optimistic nor pessimistic about foreign-born players. Quite obviously, we should just be realistic. If Malaysia really needs heritage and naturalised players, then sure, why not. If Malaysia doesn't actually need them, then don't. Yes, no, maybe, or don't know. Any answer is correct if answered correctly.

Forgive us if there's anything wrong and thank you for reading this. Gratitude.


Monday, May 11, 2020

Bolasepak Malaysia di abad ke-21

Apabila tamadun Kedah Tua sudah mulai wujud di Lembah Bujang semenjak tahun 582 Sebelum Masihi, penduduknya belum lagi terdedah dengan sukan bolasepak yang kita kenali pada hari ini. Malah, sewaktu tumbangnya Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 selepas dijajah beberapa Benggali Putih dari Peringgi, pun masih tiada siapa yang tahu tentang bolasepak, tidak kiralah samada daripada kalangan kerabat diraja, bangsawan, pendekar, saudagar, rakyat jelata, mahupun hamba sahaya. Bolasepak moden belum wujud, cuma kalau permainan tradisi sepak raga itu memang ada dimainkan sejak sekitar abad ke-15 atau lebih awal lagi.


Mana tidaknya, kelab bolasepak terawal di dunia iaitu Sheffield FC pun hanya ditubuhkan pada 24 Oktober 1857, lebih kurang 100 tahun sahaja sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Perlawanan antarabangsa rasmi yang pertama yakni Scotland bertemu England pula berlangsung jauh lebih lewat pada 1872. Pada penghujung abad ke-19 inilah, empayar Uthmaniyyah juga semakin menghampiri kemusnahannya seperti mana telah runtuhnya empayar Safavid dan empayar Mughal sebelum itu. Memasuki abad ke-20, Piala Malaya mula diperkenalkan di "British Malaya" pada 1921 yakni setahun selepas "Mandatory Palestine" dibentuk dengan penuh tipu daya. Tatkala perhatian ramai sedikit demi sedikit berjaya dialihkan maka khalifah terakhir pun turut berakhir pada 1924.

Memandangkan Piala Malaya dimulakan selepas Perang Dunia Pertama, ia tidak terkesan sehinggalah pada 1942 apabila Jepun datang menggantikan British sebagai penjajah baru. Sebelum Perang Dunia Kedua, Dolfattah adalah bintang bolasepak yang terkemuka hingga ke seluruh semenanjung. Dia begitu terkenal sampaikan digelar Raja Bola Malaya. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, anak didik Dolfattah pula yang menjadi bintang. Dialah Dollah Don, pemain yang pertama diberi nama jolokan Harimau Malaya. Pemain-pemain lagenda memang sukar dicari ganti namun kemunculan Abdul Ghani Minhat tidak berapa lama selepas itu bagaikan patah tumbuh hilang berganti.

Dolfattah dari Singapura,
Raja Bola yang pertama.

Dengan sokongan padu daripada tokoh yang bukan sembarangan, Abdul Ghani Minhat sebagai Raja Bola yang baharu betul-betul menggembirakan rakyat termasuklah Perdana Menteri yang sangat meminati bolasepak. Tunku Abdul Rahman bukan setakat mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka tetapi juga mengasaskan Pesta Bola Merdeka, kejohanan bolasepak jemputan yang bertaraf antarabangsa. Seolah-olahnya, bolasepak dan kemerdekaan negara berpisah tiada. Walaupun Pesta Bola Merdeka seringkali dilupakan semenjak akhir-akhir ini, hubung kait sejarahnya dengan tanahair tercinta ikut mana pun tidak boleh dipadamkan begitu sahaja. Sebagaimana tidak terpadamnya legasi hebat yang telah ditinggalkan oleh Mokhtar Dahari.

Meskipun Supermokh, Towkay, Spiderman, dan rakan-rakan seangkatan mereka yang lain tidak berjaya menjejakkan kaki ke Piala Dunia, kejayaan mereka yang paling diingati adalah dengan menjadi sumber inspirasi yang sangat penting. Inspirasi bagi ramai pemain yang lahir di penghujung abad ke-20 mahupun yang lahir selepas masuknya alaf baru, abad ke-21. Jika kehebatan era Dolfattah, Dollah Don, dan Abdul Ghani Minhat hanya boleh dibaca dan tidak sempat dilihat, kegemilangan zaman Mokhtar Dahari boleh sahaja ditonton sekiranya pandai mencari. Begitu juga dengan zaman Azman Adnan dan Akmal Rizal Rakhli, jika tidak dapat dicari maka cuba bertanya kepada pihak RTM (Radio Televisyen Malaysia). Mana tahu boleh membantu.

Adik-beradik kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha yang dahulunya muda belia kini sudah pun mencecah umur 30-an. Kedua-duanya cukup berbakat dan cukup berpengalaman. Sebelum pandemik Covid-19 melanda, mereka masih lagi aktif bermain. Khairul Fahmi, Safiq Rahim, Norshahrul, bahkan Presiden Persatuan Pemain- pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) iaitu Safee Sali pun belum menggantungkan kasut but. Seandainya apabila wabak semakin reda nanti dan aktiviti bolasepak dapat bersambung kembali, adakah khidmat mereka masih ditagih serta diperlukan? Mengapa pula Faiz Subri sehingga sekarang belum pernah menyarung jersi negara walaupun sudah diiktiraf dengan anugerah istimewa di peringkat antarabangsa?

Memang tidak dinafikan bahawa bakat-bakat seperti Safawi Rasid, Akhyar Abdul Rashid, mahupun Luqman Hakim Shamsudin patut terus digilap demi kepentingan masa hadapan Malaysia. Apatah lagi ketika ditambah dengan kehadiran Matt Davies, Mohamadou Sumareh, dan seumpamanya yang semakin mendapat tempat. Namun, selagi ada kemahuan dan juga kebolehan, apa salahnya jika peluang diberikan secara adil dan saksama kepada semua yang berhak. Tiada apa yang rugi melainkan rugilah jikalau tidak memanfaatkan segala peluang yang hadir dengan sebaiknya. Ingatlah, tiada yang baru jika tiada yang lama. Di dunia ini, walaupun yang baru akan menggantikan yang lama, setiap permulaan ada pengakhirannya. Baru atau lama, lama atau baru, bila sampai masanya, semua akan berakhir.